Daftar kelahiran anak merupakan satu perkara penting yang perlu dilakukan oleh ibu ayah bagi mengesahkan kelahiran anak berlaku di Malaysia.
Tidak dinafikan bahawa selepas isteri melahirkan anak, beberapa minggu pertama anda pastinya agak sibuk menguruskan kedua-duanya. Jadual harian menjadi lebih padat bila bayi mengalami kuning dan perlu ulang alik ke klinik.
Isi Kandungan
Panduan daftar kelahiran anak
Sebelum daftar kelahiran anak, ibu ayah disarankan untuk melengkapkan beberapa dokumen untuk mendaftar kelahiran bayi.
Perlu diingatakan bahawa tempoh daftar kelahiran anak adalah sebelum usianya 60 hari.
Bagi ibu ayah yang baru pertama kali menerima kehadiran cahaya mata, anda mungkin tidak tahu prosedur dan cara daftar kelahiran anak. Justeru, kami kongsikan sedikit info berguna ini bagi memudahkan urusan anda.
Pemohon yang ingin membuat pendaftaran kelahiran perlu hadir ke mana-mana kaunter Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dengan membawa bersama dokumen daftar kelahiran iaitu:
#1. Dokumen daftar kelahiran: kanak-kanak (asal dan salinan)
- Borang daftar kelahiran JPN.LM01 diisi dengan lengkap
- Borang Pengesahan Kelahiran dari hospital atau surat Akuan Bidan/Doktor bagi kelahiran di rumah (asal)
- Buku pink ibu mengandung (Buku Rawatan Mengandung) asal dan salinan
#2. Dokumen daftar kelahiran: ibu dan bapa (asal dan salinan)
- Kad pengenalan atau Permit Masuk atau Pasport bagi ibu dan bapa kanak-kanak serta individu yang melaporkan kelahiran (asal dan salinan)
- Sijil kematian ibu dan bapa kanak-kanak (asal dan salinan jika berkaitan)
- Sijil perkahwinan atau perceraian
#3. Dokumen Pemaklum (asal dan salinan)
- Kad pengenalan atau Permit Masuk atau Pasport
Sekiranya ibu ayah daftar anak baru lahir dalam tempoh masa 60 hari selepas dillahirkan, tiada sebarang bayaran akan dikenakan.
Manakala jika anda tidak daftar anak baru lahir dan masih belum memiliki sijil kelahiran ketika usianya melebihi 60 hari (dilahirkan di Semenanjung Malaysia), ibu ayah atau penjaga yang sah hendaklah mempunyai bukti bahawa dia dilahirkan di Semenanjung Malaysia.
Permohonon Daftar Lewat Kelahiran boleh dibuat dimana-mana kaunter JPN dan perlu membayar denda sebanyak RM50.
Daftar anak baru lahir tidak sah taraf atau luar nikah
Nama kanak-kanak dalam Sijil Kelahiran boleh diubah atau ditukar melalui Permohonan Pembetulan Maklumat jika umurnya belum mencapai satu tahun.
Walau bagaimanapun, maklumat bapa bagi kanak-kanak yang lahir di luar nikah tidak akan dicatatkan dalam daftar kelahiran kecuali dengan permohonan bersama ibu dan orang mengaku dirinya sebagai bapa kepada kanak-kanak berkenaan.
Seseorang yang mengaku sebagai bapa perlu menandatangi daftar kelahiran bersama-sama ibu bayi berkenaan.
Setiap anak perlu ada sijil kelahiran atau surat beranak
Pihak JPN daftar kelahiran tanpa mengira status. Ini kerana, jika bayi berkenaan lahir di Malaysia, maka perlu didaftarkan di Malaysia dan memiliki sijil kelahiran.
Jika tidak daftar, ia boleh menyebabkan kesukaran pada masa akan datang. Walau bagaimanapun, jika ibu ayah terlambat mendaftarkan kelahiran, anda masih boleh berbuat sedemikian.
Jika orang ramai mempunyai masalah berkaitan cara daftar kelahiran anak, boleh berurusan di mana-mana pejabat JPN daftar kelahiran di seluruh negara bagi mendapatkan khidmat nasihat dan kemukakan permohonan, termasuklah di Pusat Transformasi Bandar (UTC) di seluruh negara yang beroperasi di luar waktu pejabat biasa iaitu 7 hari seminggu, bermula dari 8:30 pagi sehingga 9 malam.
Untuk sebarang maklumat lanjut, boleh layari portal rasmi JPN.
Kepentingan sijil kelahiran atau surat beranak
Sijil kelahiran atau surat beranak adalah rekod penting dokumen kelahiran seorang anak. Istilah “sijil kelahiran” boleh merujuk kepada samada dokumen asal yang mengesahkan keadaan yang lahir atau untuk salinan atau perwakilan berikutnya pendaftaran lahir tersebut.
Ibu bapa diingat supaya daftar kelahiran anak. Hal ini kerana tanpa pendaftaran yang sah, ia memberi masalah terutama ketika anak memasuki pengajian lebih tinggi.
Menurut Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah berkata, masalah kanak-kanak tidak mempunyai dokumen seperti sijil lahir atau kewarganegaraan bermula apabila mereka bersekolah.
“Bagi kanak-kanak tidak mempunyai sijil lahir atau surat beranak, mereka tidak dapat menikmati manfaat daripada kemudahan persekolahan yang disedia kerajaan termasuklah membayar yuran dan tidak mendapat buku teks percuma,” katanya.
Jelasnya, peringkat sekolah rendah dan menengah mereka mungkin masih boleh akses tetapi apabila mendapat keputusan cemerlang dan mahu melanjut pengajian ke peringkat lebih tinggi selepas tingkatan 5, masalahnya bermula di situ.
“Ini kerana mereka perlu mempunyai dokumen atau kewarganegaraan bagi memboleh mereka membuat permohonan. Proses ini akan berbalik semula kerana mereka perlu memohon membuat sijil lahir dan kemudian kad pengenalan,” katanya.
Fatimah yang juga Pengerusi MWKS berkata, malah ia juga mungkin menyebab keciciran kepada kanak kanak berkaitan bukan sahaja disebab ketiadaan dokumen surat beranak itu sendiri, tetapi tidak mampu membayar yuran terutama keluarga berpendapatan rendah.
Bagi peringkat sekolah kata beliau terutama pelajar memohon ke pengajian lebih tinggi tetapi tidak mempunyai dokumen atau surat beranak, pihak sekolah seperti pengetua atau guru cuba membantu mereka.
“Namun ia masih memerlu butiran ibu bapa pelajar dan jika ibu bapa tidak mempunyai dokumen atau kewarganegaraan, proses itu akan mendatangkan masalah.
“Kita amat menekan supaya ibu bapa mendaftar kelahiran anak supaya perkara seperti ini tidak berlaku atau dapat dielak bagi memudah anak akses pendidikan,” katanya.
Cara untuk daftar Mykid anak
Setelah siap bahagian sijil kelahiran, ibu ayah boleh terus memohon MyKid di pejabat Jabatan Pendaftaran Negara.
Jika dibandingkan dengan sijil kelahiran, penggunaan kad MyKid ini adalah jauh lebih mudah untuk dibawa dan ia dilengkapi dengan teknologi keselematan bagi mengelakkan penyalahgunaan.
Jangan ambil mudah tentang sijil kelahiran ini kerana ia sangat diperlukan bagi urusan kesihatan bayi, vaksinasi dan tujuan keselamatan.
Sekiranya anda memerlukan lebih penerangan lanjut atau berdepan kesukaran dalam prosedur mendaftar kelahiran ini, boleh rujuk pegawai di kaunter atau terus menghubungi Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) berhampiran. Ibu ayah juga boleh melayari laman web rasmi JPN.
Jika sijil kelahiran hilang, rosak atau musnah, ibu ayah, pemilik sijil kelahiran atau wakil yang sah (waris/peguam) boleh memohon Cabutan Sijil Kelahiran dengan hadir ke kaunter JPN.
Anda perlu membawa kad pengenalan atau dokumen pengenalan diri, seterusnya perlu mengisi borang JPN.LM12 dan dikenakan bayaran tunai RM5.00.
Semoga artikel ini dapat membantu ibu ayah di luar sana dalam pengurusan pendaftaran kelahiran anak-anak.
- Jabatan Pendaftaran Negara (n.d) Pendaftaran Kelahiran Biasa. www.jpn.gov.my/my/perkhidmatan/kelahiran/semenanjung/pendaftaran-biasa-sm
Di theAsianparent Malaysia, penting bagi kami untuk membekalkan anda maklumat yang betul, penting dan tepat pada masanya. Tetapi ini tidak berfungsi sebagai alternatif untuk nasihat perubatan atau rawatan perubatan. theAsianparent Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap mereka yang memilih untuk mengambil ubat berdasarkan maklumat daripada laman web kami. Jika anda mempunyai sebarang keraguan, kami mengesyorkan agar anda berunding dengan doktor anda untuk mendapatkan maklumat yang lebih jelas.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Proses daftar dan cara buat surat beranak untuk anak luar nikah (anak tak sah taraf)
Baca Juga: Jadual Simpan Duit Dalam Tabung Anak, Ibu Boleh Cuba Praktikkan 3 Cara Berguna Ini!
Baca Juga: Tiada KWSP Macam Orang Lain, Pasangan Ini Nekad Pecah Tabung Buat Beli Baju Raya