Disebabkan berlaku peningkatan kes yang Covid-19 di negara ini, mereka yang ingin mengambil dos penggalak ketiga boleh walk-in sahaja ke klinik.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, prosedur pengambilan vaksin itu juga boleh dilakukan secara janji temu menerusi aplikasi digital, MySejahtera.
“Nak walk in di klinik kesihatan boleh, nak buat janji temu pun boleh, kita (KKM) beri kemudahan ambil dos penggalak.
“Stok vaksin masih mencukupi buat masa ini, terutama sekali untuk mereka yang mempunyai risiko atau berkomorbiditi tinggi,” katanya dalam satu sidang media.
Dr Muhammad Radzi menambah, pihaknya tidak menolak kemungkinan berlaku peningkatan kes menjelang minggu cuti tahun baharu, persekolahan dan Hari Natal akan datang.
Bagaimanapun jelasnya, KKM akan terus memantau perkembangan kes Covid-19 termasuk varian baharu agar situasi berada dalam keadaan terkawal.
“Kita harap dengan langkah pencegahan yang dibuat ini akan berlakunya penurunan kes Covid-19,” ujar beliau.
Ditanya mengenai kegusaran orang awam tentang kemasukan pelancong asing ke dalam negara, KKM akan terus melakukan pemantauan sama ada melibatkan warga asing dan tempatan.
Dalam pada itu, beliau turut memberitahu bahawa pihaknya tidak bercadang untuk membuka semula pusat pemberian vaksin (PPV) buat masa ini.
Pakai Pelitup Muka
Dalam pada itu, individu berisiko tinggi seperti warga emas, individu dengan penyakit kronik, individu dengan imuniti rendah atau ibu mengandung terutama ketika berada di tempat sesak dan kawasan pengudaraan kurang baik pula, amat digalakkan memakai pelitup muka.
Selain itu individu bergejala respiratori juga digalakkan memakai pelitup muka bagi mengelakkan jangkitan kepada orang lain dan semasa berada dalam perkhidmatan pengangkutan awam.
Menurut Pakar Perunding Nefrologi, Dr Rafidah Abdullah yang setiap hari berdepan pesakit Covid-19, warga emas merupakan golongan yang mengalami simptom teruk.
“Saya hari-hari merawat pesakit Covid-19. Apa yang saya nampak mereka yang teruk antaranya orang-orang tua. Mereka ini banyak masalah ko-morbid,” ujarnya.
Menerusi perkongsian di Twitter miliknya, Dr Rafidah memohon orang ramai agar anak-anak lebih cakna kepada golongan tersebut.
“Saya sangat berharap, jaga-jaga bila kita dekat dengan ibu bapa kita atau saudara mara kita yang sudah tua.
“Tak payah peluk cium semua. Kasihanilah mereka,” katanya.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga : Kes Covid 19 Malaysia Meningkat, Tiada PKP KKM Sedia Hadapi Gelombang Baru
Baca juga : Kesan ‘Long Covid-19’ Pada Anak Yang Ibu Ayah Wajib Peka, Ini Penjelasan Tepat Dari Pakar
Baca juga : Cara Jaga Anak Yang Positif Covid Di Rumah, Ibu Pastikan Buat 11 Perkara Penting Ini