Tahukah anda bahawa kesan ‘Long Covid-19’ kepada kanak-kanak dalam bentuk simptom yang berpanjangan terhadap kesihatan selepas ujian Covid-19 menjadi negatif sering berlaku kepada golongan ini?
Satu kajian yang diterbitkan menerusi Journal of Medical Association menjelaskan bahawa kira-kira 1 daripada 25 kanak-kanak dilaporkan mengalami sekurang-kurangnya satu simptom gangguan kesihatan yang berlangsung lebih daripada 12 minggu. Walau bagaimanapun, terdapat risiko yang nipis untuk anak-anak anda mengalami keadaan gangguan kesihatan yang berpanjangan seperti ini.
Namun, adalah penting untuk ibu ayah memahami bagaimana ia boleh menjejaskan kesihatan mereka. Ini kerana gejala Long Covid-19 yang berpanjangan boleh memberi kesan kepada kehidupan seharian kanak-kanak seperti anak menjadi lemah dan enggan melakukan aktiviti.
Bagi membincangkan kesan long covid-19 terhadap kanak-kanak dengan lebih mendalam, theAsianparent membincangkannya dengan Pakar Perunding Pediatrik mengenai topik Penyakit Berjangkit Tropika & Pediatrik di Hospital Pondok Indah, Prof. Dr. dr. Hinky Hindra Irawan Satari, Sp.A (K), M. TropPaed.
Apa Itu Long Covid-19?
Pakar Pediatrik Hinky Hindra Irawan Satari menjelaskan kepada theAsianparent Indonesia bahawa Long Covid adalah keadaan di mana pesakit Covid-19 masih merasakan simptom penyakit itu untuk jangka masa yang lama, meskipun telah diisytiharkan sembuh daripada wabak tersebut.
“Jika kanak-kanak telah terdedah kepada Covid-19, namun masih mengalami satu simptom yang berterusan sekurang-kurangnya 12 minggu selepas keputusan ujian saringan pertama, iaitu lebih kurang 3 bulan dan tiada jangkitan lain ditemui – perkara itu boleh dianggap bahawa kanak-kanak berkenaan telah dijangkiti Long Covid,” kata doktor yang berlatih di Hospital Pondok Indah.
Mengenai berapa lama Long Covid-19 akan bertahan, Dr. Hinky menjelaskan tempoh sebenar Covid-19 tidak dapat diramalkan.
“(Tempoh masa Covid bertahan) bergantung kepada sistem imun kanak-kanak, keganasan virus, dan persekitaran,” kata doktor Hinky.
Namun ibu bapa tidak perlu risau, doktor Hinky turut menegaskan kesan Covid yang berpanjangan kepada anak ini boleh sembuh dan hilang sepenuhnya.
Kesan Long Covid-19 Kepada Anak Yang Harus Ibu Ayah Ketahui
Ibu ayah mungkin tertanya-tanya mengapa anak-anak boleh terdedah kepada kesan Long Covid ini? Bukankah pada awal pandemik dikatakan bahawa hanya terdapat sedikit peluang bahawa kanak-kanak akan terjejas oleh Covid-19?
Menjawab soalan ini, doktor Hinky Hindra Irawan Satari menjelaskan bahawa semua golongan dan peringkat umur boleh dijangkiti Covid-19 – termasuklah kanak-kanak yang juga berisiko dan boleh dijangkiti Covid-19 serta mengalami Long Covid.
Pejabat Statistik Kebangsaan UK menganggarkan bahawa sekitar 13-15% kanak-kanak mengalami Long Covid selama lebih daripada lima minggu.
Malah, di Itali – lebih separuh daripada kanak-kanak dengan Covid-19 mempunyai sekurang-kurangnya satu simptom yang berterusan selama 17 minggu selepas diagnosis. Mengapa ia berlaku pada kanak-kanak? Sehingga kini, pakar masih belum menemui jawapan yang tepat.
Gejala Ringan & Berat Oleh Kanak-kanak Yang Mengalami Kesan Long Covid-19
“Gejala Long Covid boleh memberi kesan kepada kehidupan seharian kanak-kanak seperti anak menjadi lemah dan enggan melakukan aktiviti,” kata doktor Hinky Hindra Irawan Satari kepada theAsianparent.
“Data dari Hospital Persahabatan pada Mac 2021 menunjukkan bahawa tiga simptom yang paling biasa dialami oleh penghidap Long Covid adalah keletihan, batuk dan sakit otot,” ujarnya.
Seperti yang dipetik dari halaman kesihatan CDC, gejala umum Long Covid adalah seperti berikut:
- Kesukaran bernafas
- Keletihan
- Gejala yang bertambah teruk selepas aktiviti fizikal atau mental
- Kesukaran berfikir atau menumpukan perhatian (kadang-kadang dirujuk sebagai “kabus otak”)
- Batuk
- Sakit dada atau perut
- Sakit kepala
- Degupan jantung yang cepat atau sentiasa berdebar
- Sakit sendi atau otot
- Rasa tertusuk jarum
- Cirit-birit
- Masalah tidur
- Demam
- Pening apabila berdiri (kepala terasa berat)
- Ruam
- Perubahan emosi
- Perubahan bau atau rasa
- Perubahan kitaran haid
Sehubungan itu, Dr Hinky menjelaskan bahawa simptom Long Covid pada kanak-kanak adalah berbeza pada setiap individu.
“Ada yang mengalami sesak nafas, batuk dan lemah. Jika simptom tersebut dikesan bukan dari penyakit lain, kanak-kanak tersebut disyaki mempunyai simptom Long Covid.
“Kadang-kadang, ada satu simptom yang berterusan dan tidak hilang, ia mengikut kepada individu tersebut. Ada yang hanya mengalami sesak nafas yang datang dan pergi, ada merasa lemah secara berterusan, ada yang sering batuk. Jadi, jika itu bukan penyebab penyakit lain, maka individu tersebut sah mengalami Long Covid,” kata doktor Hinky.
Bahaya Kesan Long Covid-19 Pada Kanak-kanak
Untuk pengetahuan anda, kesan Long Covid pada kanak-kanak boleh bertahan dalam jangka masa panjang – sehingga boleh mengganggu aktiviti harian, menurut Dr Hinky.
Apakah Itu MIS-C – Salah Satu Kesan Long Covid Pada Kanak-kanak
Sumber gambar: Los Angeles Times
Satu lagi kesan Long Covid pada kanak-kanak ialah sindrom Mis-C atau Multisystem Inflammatory Syndrome pada Kanak-kanak di mana keadaan yang jarang dan melampau tindak balas sistem imun badan terhadap serangan virus korona ini.
“Multisystem inflammatory syndrome in children (MIS-C) ialah keadaan di mana bahagian tubuh yang berlainan boleh meradang, termasuk jantung, paru-paru, buah pinggang, otak, kulit, mata, atau organ pencernaan,” jelas Dr Hinky.
Menurutnya, simptom MIS-C yang mungkin dirasai kanak-kanak antaranya adalah sakit perut, mata merah, cirit-birit, pening, ruam, dan muntah. Walaupun begitu, doktor Hinky juga menjelaskan bahawa potensi kanak-kanak menghidap MIS-C selepas terdedah kepada Covid adalah sangat jarang berlaku.
Tiada rawatan khusus untuk kanak-kanak yang mengalami MIS-C. Menurut doktor Hinky, matlamat rawatan hanyalah untuk setiap simptom yang timbul. Jadi, bagaimana untuk mengelakkan kanak-kanak daripada mendapat MIS-C?
“Jangan biarkan kanak-kanak dijangkiti Covid-19 dan berikan suntikan imunisasi,” katanya.
Penyebab Long Covid Pada Kanak-kanak
Jadi, apa yang menyebabkan Long Covid pada kanak-kanak? Adakah semua kanak-kanak yang dijangkiti Covid berpotensi untuk mengalaminya?
Menjawab soalan ini, Dr Hinky menyatakan sehingga kini punca Long Covid masih tidak diketahui. Tidak semua kanak-kanak mengalami gejala Long Covid, bergantung kepada keseimbangan antara sistem imun badan, keganasan jenis virus, dan persekitaran.
Rawatan Long Covid Buat Kanak-kanak
Apabila seorang kanak-kanak telah disahkan sembuh daripada positif Covid-19, persoalan seterusnya yang mungkin difikirkan oleh ibu bapa ialah, adakah terdapat sebarang rawatan khas buat kanak-kanak pasca-Covid untuk mengelakkan kemungkinan Long Covid-19?
“Tiada rawatan khusus, tetapi kanak-kanak perlu mengekalkan stamina dengan makanan berkhasiat, rehat yang mencukupi, dan ambil suntikan imunisasi. Jangan lupa juga untuk sentiasa mematuhi protokol kesihatan,” kata doktor Hinky.
Beliau juga menjelaskan bahawa rawatan Long Covid adalah sama dengan rawatan Covid yang lain. Doktor Hinky turut mengatakan bahawa kanak-kanak yang dijangkiti mungkin perlu menjalani rawatan di hospital atau hanya tinggal di rumah.
“Bergantung kepada simptom yang dialami, tahap ringan dan sederhana boleh dirawat di rumah. Jika anda menunjukkan simptom teruk seperti sesak nafas dan demam panas, serta tidak mahu makan dan minum, anda mesti dibawa ke hospital,” jelasnya.
Doktor Hinky mengesyorkan beberapa ubat preskripsi dalam rawatan Long Covid pada kanak-kanak, antaranya adalah Vitamin D3, Zink, dan vitamin C boleh membantu meningkatkan sistem imun si kecil.
Beliau juga menjelaskan bahawa tiada sekatan pemakanan tertentu untuk kanak-kanak yang mengalami Long Covid ini.
“Kanak-kanak yang telah divaksinasi mempunyai kadar Long Covid-19 yang jauh lebih rendah daripada kanak-kanak yang tidak diberi vaksin,” tambahnya.
Ujian Untuk Kanak-kanak Yang Mengalami Long Covid
Jadi, adakah ujian/saringan khas untuk mengetahui sama ada kanak-kanak menghidap Long Covid?
“Tiada ujian, tetapi pemeriksaan CRP, D-dimer, dan beberapa ujian lain boleh meramalkan kehadiran tindak balas keradangan pada kanak-kanak, hanya doktor yang boleh menentukan jenis pemeriksaan yang boleh dilakukan pada setiap kanak-kanak,” jelas doktor Hinky.
Berkenaan persoalan bila perlu berjumpa doktor jika anda mengesyaki kanak-kanak menghidap Long Covid, Dr Hinky menjelaskan bahawa Long Covid dilihat pada kanak-kanak yang mempunyai sejarah jangkitan SARS CoV-2 dengan sekurang-kurangnya satu simptom yang berterusan selama sekurang-kurangnya 12 minggu – selepas keputusan saringan pertama dan tiada diagnosis lain yang disahkan.
“Anda mesti berjumpa doktor jika simptom tersebut memberi kesan kepada aktiviti harian dan berterusan atau berlaku selepas Covid-19. Keadaan ini boleh datang dan pergi dan berulang,” jelas doktor Hinky.
Di atas merupakan penjelasan yang mendalam tentang perkara yang berkaitan dengan kesan Long Covid kepada kanak-kanak dan pengendalian yang harus difahami oleh ibu ayah. Semoga perkongsian ini dapat memberikan manfaat.
Prof. Dr. dr. Hinky Hindra Irawan Satari, Sp.A (K), M.TropPaed.
Dokter Spesialis Anak Konsultan Penyakit Infeksi & Pediatri Tropis
RS Pondok Indah – Pondok Indah
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Ibu Ayah Elak Bawa Anak Kecil Ke Bazar, Imun Badan Mereka Rendah & Mudah Dijangkiti
Baca juga: Penyakit Kawasaki Mudah Menyerang Kanak-Kanak, Doktor Jelaskan Bahaya Penyakit Ini
Baca juga: Walau Demam Dah Kebah, Ibu Kena Teruskan Antibiotik Anak Sampai Habis, Doktor Kongsi Akibatnya!
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!