Dosa tidak solat adalah antara dosa yang harus dijauhkan. Sudah menjadi kewajipan kita sebagai umat Islam untuk menunaikan rukun Islam tersebut.
Setiap ibu bapa pasti mahu anak mereka berjaya bukan sahaja di dunia tetapi juga di akhirat. Mereka ingin melihat anak mereka membesar menjadi umat Islam yang beriman.
Tetapi, jika anak tidak melaksanakan solat fardhu, adakah dosa mereka akan ditanggung oleh ibu bapa?
Apa yang anda boleh baca daripada artikel ini?
- Ibu ayah perlu didik anak mengenai dosa tidak solat sejak kecil
- Anak boleh dirotan jika culas menunaikan ibadah solat
- Dosa tidak solat anak, ibu ayah tidak menanggungnya
Ibu ayah perlu didik anak mengenai dosa tidak solat sejak kecil
Sudah menjadi kewajiban ibu bapa untuk memberikan didikan serta bimbingan kepada anak, selain daripada memberikan nafkah dan memerlukan keperluan mereka.
Tidak ketinggalan juga dalam urusan agama. Ibu bapa perlu mengajar anak untuk mengerjakan perintah ALLAH SWT iaitu solat fardhu lima waktu sejak kecil lagi.
Ada kalanya, didikan dan bimbingan sudah diberikan, namun si anak malah tetap tidak menunaikan solat walaupun sudah menginjak usia remaja dan dewasa.
Puas dileter dan memberikan teguran, jika anak masih culas untuk menunaikan ibadah, maka ibu bapa boleh merotan mereka.
Anak boleh dirotan jika culas menunaikan ibadah solat
Menurut artikel Irsyad Fatwa Siri ke-666 yang diterbitkan di laman sesawang Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, sabda Rasulullah SAW, ibu bapa harus mendidik anak untuk mendirikan solat ketika usia mereka memasuki tujuh tahun.
Jika anak masih tidak menunaikan solat apabila usia mereka memasuki 10 tahun, mereka boleh dipukul atau dirotan namun pukulan itu tidak boleh mencederakan mereka sebagai tujuan untuk mendidik.
Sebagaimana yang disebutkan dalam sebuah hadis yang mana Rasulullah SAW bersabda, “Perintah anak kamu agar mendirikan solat ketika mereka berusia tujuh tahun dan pukullah mereka (jika mereka tidak mahu melaksanakan solat) ketika mereka berusia 10 tahun, dan pisahkanlah tempat tidur di antara mereka.” (Hadis Riwayat Abu Daud)
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan turut menjelaskan, anak adalah amanah yang dianugerahkan ALLAH SWT, jadi sudah jadi tanggungjawab ibu bapa untuk menunaikan amanh itu sebaik mungkin.
Gagal menjaga amanah tersebut, akan dipersoalkan di sisi ALLAH SWT.
Dosa tidak solat anak, ibu ayah tidak menanggungnya
Bertepatan dengan firman ALLAH SWT:
“Dan (ketahuilah), seseorang pemikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain; dan jika seseorang yang berat tanggungnya (dengan dosa), memanggil (orang lain) untuk menolong memikul sama bebanan itu, tidak akan dapat dipikul sedikit pun daripadanya, walaupun orang yang diminta pertolongannya itu dari kerabatnya sendiri.” (Surah al-Fatir, ayat 18)
Dari firman yang dikongsikan itu, jelas sudah bahawa seorang Muslim tidak akan menanggung dosa saudaranya yang lain. Begitu juga dengan ibu bapa tidak akan menanggung dosa anak mereka.
Jika ibu bapa sudah mendidik dan membimbing anak untuk menunaikan solat tetapi si anak masih tidak menunaikannya maka dosa itu akan ditanggung sendiri oleh si anak.
Tetapi, sebaliknya jika ibu bapa turut culas dalam melaksanakan tanggungjawab mereka untuk mendidik anak maka setiap dosa maksiat yang dilakukan si anak akan turut ditanggung oleh orang tuanya.
Semoga bermanfaat!
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Silap Didikan dan Dera Emosi Menyebabkan Anak Jadi Lebih Nakal, Perlu Lebih Alert Ya Parents
Baca juga: Ibu Ayah WAJIB Ajar Anak Solat Seawal Usia, Ini Tips Berkesan Mengikut Umur Mereka
Baca juga: Kenapa Penting Sebut NAMA ANAK Dalam Doa Selepas Solat? Ini Jawapan Pakar Psikologi