Sekarang sedang tular sebuah kisah tentang seorang driver van yang dikatakan telah bertindak melakukan gangguan seksual ke atas seorang pelajar perempuan yang menggunakan perkhidmatan vannya untuk ke sekolah.
Apa yang anda boleh baca dalam artikel ini?
- Tindakan driver van keterlaluan, anak mula buka mulut buat luahan
- Gangguan seksual dari pemandu van ketika hantar ke sekolah, ayah terus ambil tindakan
- Ayah berhadapan dengan pemandu van, minta penjelasan secara tenang
- Kenalkan anak kepada pengetahuan gangguan seksual dan apa dia perlu buat
Kisah tersebut telah dikongsikan oleh ayah kepada pelajar perempuan tersebut yang menggunakan nama Tuan Amir Danau di laman Facebook. Di laman tersebut, Tuan Amir telah berkongsi juga dua buah video yang menjadi tular di sosial media.
Tindakan driver van keterlaluan, anak mula buka mulut buat luahan
Pada awal perkongsian Facebook ayah pelajar ini, dia telah menceritakan bagaimana dia boleh mendapat tahu bahawa pemandu van tersebut telah melakukan gangguan seksual terhadap anak perempuannya.
Isteri kepada Tuan Amir telah mengadu kepada suaminya bahawa dia berasa pelik kerana telah menerima sebuah mesej Whatsapp dari anak perempuan mereka yang bertulis,
“Ibu, esok boleh tak suruh Abang Anish hantar Neno pergi sekolah? Driver ni suspiciouslah.”
Namun, apabila ibunya membalas mesej tersebut, dia tidak mendapat balasan semula oleh sebab anak perempuan mereka sudah tidur sejak dari balik sekolah hinggalah keesokan paginya.
Pada malam itu, Tuan Amir telah meminta isterinya berjumpa dengan anak perempuan mereka untuk bertanyakan hal mesej tersebut dan dari situlah, terbongkar segalanya yang telah dilakukan oleh si pemandu van. Namun, anak perempuannya takut hendak menceritakan perkara sebenar kepada si ayah.
Gangguan seksual dari pemandu van ketika hantar ke sekolah, ayah terus ambil tindakan
Menurut anak perempuan Tuan Amir, dia ialah orang pertama yang diambil oleh pemandu van pada jam 6.20 pagi. Pada awalnya, pelajar perempuan ini akan memilih untuk duduk di bahagian belakang van namun kemudian, akan disuruh duduk di hadapan oleh pemandu van tersebut.
Pada hari pertama, pemandu van tersebut telah bertanyakan nama pelajar perempuan berkenaan dan kemudian, mula memujinya dengan panggilan seperti cantik dan comel lalu mula mencubit-cubit pipi pelajar ini.
Keesokan harinya, pemandu tersebut mula memegang tangan pula. “Dia gosok-gosok, ramas-ramas tangan anak aku.” tulis Tuan Amir di laman Facebooknya.
“Lepas tu siap tepuk-tepuk peha anak aku siap dia tunduk rapatkan muka ke peha anak aku masa tu.”
“Dia kata jangan risau. Takda apa-apapun. Dia tanya anak aku, ada nombor Whatsapp tak? Dia bagi keychain ada nombor Whatsapp dia. Dia kata nanti add lah. Siap bagi air kotak. Dia janji esoknya nak bagi coklat cadbury pulak.”
Ayah mana yang tidak akan panas hati apabila mendengar cerita sebegini dari mulut anak perempuan mereka sendiri. Pada malam itu juga, si ayah telah mengambil tindakan menelefon seorang lagi pemandu van yang telah memperkenalkan keluarga mereka kepada pemandu van kini.
Tuan Amir telah bertanyakan tentang perangai pemandu van ini dan terkejut mendapat tahu bahawa ia bukanlah kali pertama kes ini terjadi melibatkan pemandu van berkenaan.
Namun, ia berlaku kepada ibu seorang pelajar. Pemandu tersebut telah bermesej melalui Whatsapp secara berlebihan dengan ibu berkenaan.
Malah, dengan isteri Tuan Amir sendiri pun pemandu tersebut pernah mengajak untuk bertelefon secara video!
Ayah berhadapan dengan driver van, minta penjelasan dan buat laporan polis
Dalam perkongsian Facebook Tuan Amir, dia juga telah melampirkan dua buah video yang menunjukkan dia berjumpa dengan pemandu van tersebut dan telah meminta penjelasan dari pemandu tersebut.
Menurut Tuan Amir, kanak-kanak kecil yang tidak mendapat pendedahan dengan hal-hal seksual tentu tidak berani untuk mengadu kepada ibu dan ayah tentang apa yang telah terjadi kepada mereka. Malah, mereka hanya akan berasa keliru dengan apa yang telah terjadi.
Tentu banyak persoalan yang akan bermain di kepala si manja sekiranya mereka diganggu secara seksual, namun mereka tidak tahu pun bahawa mereka telah diganggu!
Kenalkan anak dengan pengetahuan gangguan seksual dan apa yang perlu mereka buat
“Psikologi pasal seksual ni, predator ni akan mainkan sampai kita keliru. Dia akan bawa watak caring, bawak watak sebagai orang yang jaga kita, yang baik sangat. Bila dia raba kita tu, kita jadi serba salah. Jadi tak menentu. Bagitau mak ayah kang, kesian pulak nanti predator ni kena sebab predator ni orang baik.”
Tuan Amir telah menulis dalam perkongsian Facebooknya bahawa inilah salah satu cara sex grooming. Pemangsa seksual akan bermain-main dengan sentimen yang pelbagai sehinggalah mangsa akan kalah dan keliru.
Pemangsa akan mula-mula membuatkan mangsa berasa selesa dengan dirinya, sehingga lama-lama mangsa akan kasihankan si pemangsa sekiranya hendak melakukan apa-apa laporan ke atasnya.
Tapi, tidak! Sebagai ibu ayah, kita perlu ajar si manja kita baik lelaki mahupun perempuan tentang tanda-tanda gangguan seksual dan pastikan anak berasa cukup selamat dengan kita untuk mengadukan hal-hal yang mengganggu mereka.
Semoga anak-anak kita sentiasa dilindungi dari anasir-anasir jahat yang boleh berada di mana sahaja.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Lindungi Anak Anda Daripada Dicabul. Ajar Mereka Tentang Penderaan Seksual
Baca juga: Pakar Psikiatri Didakwa Beri Gangguan Seksual Terhadap Pesakit
Baca juga: Nak cegah penderaan seksual pada kanak-kanak bermula dari rumah – parents buat tak langkah ini?