Boleh dikatakan ibu bapa semestinya menjaga keselamatan anak dengan baik supaya tiada kecederaan pada si jantung hati itu. Tapi, dalam kita mencegah itu pasti kita tidak dapat lari daripada dugaan yang bermacam-macam seperti kejadian anak tercekik duit syiling ini.
Tertelan duit syiling ini nampak saja seperti kemalangan kecil namun ia boleh menyebabkan pelbagai risiko yang serius seperti kesukaran bernafas dan lain- lain.
Baca perkongsian lanjut daripada wanita ini apabila anaknya yang bernama Reza tercekik duit syiling yang berada di sekitar kerongkongnya.
Anak tercekik duit syiling, ibu ayah please alert keselamatan anak!
Boleh dikatakan ini adalah kecuaian daripada pihak kami di mana kanak-kanak dalam peringkat umur ini sedang aktif dan suka explore segala benda yang berada di sekitar mereka.
Ya, anak saya Reza tercekik duit syiling! Ia berlaku pada jam 10 malam semasa nak masuk tidur. Semasa itu semua sudah masuk tidur kecuali suami saya yang masih bekerja. Kemudian pada jam 11 malam, Reza mencari daddynya. Namun, suami saya terlena di sofa di ruang tamu.
Kemudian, Reza keluar dan masuk semula ke dalam bilik sambil menepuk saya yang tengah tidur. Saya dapat dengar dia macam tersedak dan nampak tercungap serta sukar bernafas.
Sementara saya terus menepuk belakang dia, kononnya nak buat langkah seperti mana yang saya pernah tengok orang buat untuk anak yang tercekik.
Namun, ia tidak mudah seperti yang disangka kerana Reza keraskan badannya. Malah kepala pula didongakan dan cuba mencari nafas.
Apatah lagi, sebelah tangan saya tak mampu nak angkat badan dia dengan sebelah lagi tangan tepuk belakang. Lagi pula, dia meronta sangat kuat dan terus saya jerit panggil suami. Lantas suami tepuk dan angkat tangan Reza. Akhirnya dengar bunyi Reza nangis. Leganya Ya Allah!
Tengah menangis Reza muntah susu yang dia minum pada jam 10 malam tadi. Tapi hanya susu yang keluar.
Panik! syak anak tertelan sesuatu
Saya beritahu suami yang Reza macam tertelan sesuatu tapi kami tidak tahu benda apa yang telah ditelan. Kemudian dia muntah lagi. Reza juga nampak lemah pucat. Selepas dia tertidur, saya hanya monitor nafasnya sambil tangan kalut google info.
Semasa dia tengah tidur, air liur banyak keluar. Ini simptom dia tertelan sesuatu! Terus saya ajak suami pergi klinik pada jam 11.30 malam.
Dalam perjalanan, Reza muntah lagi dan sampai klinik pun muntah sampai giliran jumpa doktor (fast lane), namun tiada X-Ray di Klinik Azzahran (rosak katanya) doktor bagi reference letter untuk kami terus ke Hospital Annur Bangi.
Kemudian, baru aku perasan yang Reza tidak bercakap selepas tercekik tadi, dia lemah mungkin mengantuk. Tengah X-Ray dia muntah lagi dan ternyata dia memang tertelan duit syiling 20 sen atau 50 sen! Panik masa tengok tu, sebab syiling itu tersekat di anak tekaknya di antara saluran pernafasan dan pemakanan.
Kemudian pada jam 1.30 pagi kami dicadangkan ke KPJ Kajang dengan cepat dan perlu monitor nafas Reza takut bertukar kebiruan. Sepanjang perjalanan ke sana reza tidak bercakap dan hanya angguk geleng sahaja bila disoal!
Hospital reject anak dengan alasan bilik penuh!
Sampai saja di hospital tersebut, receptionist terus cakap sorry bilik untuk kanak-kanak sudah penuh dan mencadangkan supaya kami pergi ke hospital lain saja. Masa ni memang nak marah hingga rasa nak menangis!
Hanya sebab bilik tak ada, terus mereka tak mahu merawat anak saya. Kalau masa itu juga anak saya pengsan, bagaimana?
Kemudian datang manager memberitahu bahawa hospital mereka tiada Pakar Bedah Kanak-Kanak. Terus saya marah mereka di situ kerana mula-mula tadi cakap bilik penuh tapi rupanya tiada pakar bedah pula!
Mesti anda tertanya kenapa kami pilih hospital swasta, ia menjadi pilihan sebab nak cepat dan ia adalah hospital penal syarikat suami.
Akhirnya, hospital yang terdekat adalah Hospital Kajang dan kami terus ke situ.
Sampai saja di Zon Kritikal, doktor terus check degupan jantung Reza dan oksigen, yang semua masih terkawal cuma nafasnya saja tersangkut-sangkut.
Kemudian datang seorang doktor bernama Dr Ahmad Afiq yang memberi penerangan yang sangat jelas supaya dapat hilangkan panik dan kegusaran kami. Terima kasih semua staf kecemasan Hospital Kajang. Kemudian Reza masuk ward pada jam 5 pagi.
Kemudian, doktor buat lagi X-ray untuk tahu perjalanan duit syiling itu ke mana sementara jururawat masih monitor keadaa Reza.
Keesokannya X-ray kali kedua duit syiling itu masih tidak bergerak dan dicadangkan ke HKL kerana Kajang tiada peralatan yang cukup untuk pembedahan.
Pada jam 3.30 petang sampai di HKL dan pembedahan pada jam 6.30 petang terpaksa ditangguhkan kerana Reza minum air.
8.30 malam masuk dewan pembedahan, saya pangku Reza yang sedang tidur kelesuan sebab hampir 20 jam berpuasa. Saya masuk sama-sama dalam OT sambil doktor biuskan Reza dalam dakapan.
Beberapa saat, Reza lembik dengan air liur banyak keluar berbuih-buih. Doktor bius sambil suruh aku cium dan doakan dia supaya kuat dan selamat.
Alhamdulillah, akhirnya jam 10 malam duit syiling berjaya dikeluarkan.
Ingin nasihatkan ibu bapa lain, jika anda diuji perkara yang sama terus ke Hospital Besar Daerah masing-masing dan jangan bertangguh. Di harap kejadian ini tidak berulang kepada anda.
Terima kasih kepada semua staf Hospital Kajang dan HKL- Hospital Wanita & Kanak-Kanak Kuala Lumpur yang melayani kami sangat baik.
Untuk dapatkan lebih banyak informasi dari theAsianparent Malaysia, boleh terus download Aplikasi Keibubapaan #1 Di Asia Tenggara kami.
Sumber: Songket Gedungsulam
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga
5 Peraturan Keselamatan Penting Yang Anak Anda Perlu Tahu – WAJIB Ajar Mereka Dari Usia Muda
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!