Peringatan untuk ibu bapa di luar sana yang selalu memuat naik foto anak di laman sosial Facebook dan Instagram kerana dalam diam ada individu lain yang memerhatikan tingkah laku anda tanpa di sedari.
Ini seperti yang berlaku kepada Auni Ameera yang mendedahkan taktik terbaru pengamal pedofilia yang masih wujud di zaman 2020 ini.
Taktik mereka adalah dengan meminta foto anak tanpa berpakaian yang mereka berselindung dari niat untuk membantu.
Minta foto anak di bahagian alat sulit
Ikuti perkongsian Auni Ameera di laman Facebook miliknya ini:
“Akaun pelaku pedofilia dikesan, di mana individu terbabit meminta gambar private part kanak-anak dari seorang ibu yang susah.
“Cara mereka adalah dengan mencari ibu-ibu atau keluarga susah yang memerlukan bantuan. Kemudian mereka akan bercakap tentang anak.
“Kemudian, jika nak bantuan, si ibu kena hantar foto anak dahulu termasuklah gambar lucah dan selepas itu, barulah bantuan akan diberikan.
“Sedangkan bantuan itu tidak wujud pun, termasuklah akaun Facebook itu juga miliki lelaki pedofilia yang menyamar menggunakan gambar orang lain.
” Jadi, hati-hati semua yang ada anak kecil,” katanya.
Tawar lampin pakai buang dan janjikan wang bernilai RM80
Di permulaan suspek kononnya ingin menawarkan bantuan lampin pakai buang kepada keluarga yang layak.
Kemudian individu tersebut menjanjikan wang tunai RM80 dengan syarat memberi gambar kemaluan anak selain nama, umur dan beberapa info peribadi yang lain.
Lebih pelik lagi, kononnya kalau kemaluan anak kelihatan merah, wang tunai RM80 beserta krim akan diberikan.
Individu tersebut juga dengan yakin mengatakan dirinya dari badan bukan kerajaan (NGO) yang membantu memberikan bantuan kepada keluarga susah yang terkesan oleh kerana penularan Covid-19.
Namun nasib baik ibu tersebut tidak percaya bulat-bulat dan merasakan individu tersebut adalah scammer atau pelaku pedofilia yang cuba menyamar.
Fakta mengejutkan tentang pedofilia
Ibu dan ayah sekalian, sejauh manakah pengetahuan anda tentang pedofilia ini?
Menurut seorang Pakar Seksologi di University of Toronto, Dr Ray Blanchard berpendapat bahawa pedofilia adalah satu tingkah laku seksual yang mana seseorang individu itu bernafsu seks terhadap kanak-kanak di bawah umur 13
tahun.
Selain itu, pedofilia juga adalah apabila seseorang itu ingin memenuhi nafsu seksnya dengan membabitkan kanak-kanak di bawah umur.
Pedofilia ini biasanya membabitkan lelaki golongan dewasa yang tertarik kepada kanak-kanak lelaki atau perempuan.
Di mana mereka ini suka menyentuh tubuh kanak-kanak tersebut tanpa kanak- kanak itu mengetahui akan tujuan si pelaku itu.
Pedofilia adalah sejenis penyakit mental
Persatuan Psikiatri Amerika menyifatkan, nafsu terhadap kanak-kanak atau pedofilia adalah berada dalam kategori penyakit mental.
Apatah lagi, banyak kes culik dan rogol yang membabitkan kanak-kanak di Malaysia.
Namun masih ramai masyarakat yang tidak sedar, hal ini sangat berkait rapat dengan kes pedofilia yang berlaku secara senyap tanpa kita sendiri sedari.
Seperti statistik dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, terdapat 4998 kes individu yang dilaporkan hilang pada tahun 2013 dan hanya 2382 yang berjaya ditemui semula.
Lebih sadis lagi, 45 peratus daripada bilangan kes yang hilang itu membabitkan remaja dan kanak-kanak yang berumur 18 tahun ke bawah.
Langkah-langkah untuk mengekang gejala buruk ini
1) Jangan sesekali memberitahu lokasi anak bersekolah, tidak berkongsi lencana sekolah anak atau di mana saja anak berada.
2) Tidak memuat naik gambar anak tidak berpakaian atau berpakaian kurang sopan di Facebook tidak kira anak perempuan atau lelaki.
3) Terang dan latih anak agar berkata tidak kepada individu yang cuba memegang tubuh atau kemaluan mereka.
4) Perhatikan jika anak berasa tidak selesa atau takut dengan seseorang hingga membuatnya kemurungan
5) Jangan membiarkan anak pergi ke kedai berseorang diri terutama jika perlu lalu di kawasan sunyi atau lorong-lorong gelap.
Untuk dapatkan lebih banyak informasi dari theAsianparent Malaysia, boleh terus download Aplikasi Keibubapaan #1 Di Asia Tenggara kami.
Sumber: Auni Ameera, Says.Com
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga
https://my.theasianparent.comcara-mengesan-pedofilia-pengalaman-ibu
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!