Gambar Ultrasound 4D Ini Menunjukkan Kesan Rokok Pada Janin

Gambar ultrasound 4D ini membandingkan pergerakan janin di dalam kandungan ibu untuk mendedahkan kesan merokok pada bayi. Ikuti hasilnya.

Kesan rokok pada bayi

Merokok memang teruk untuk kesihatan. Tapi akibat ketagihan, sesetengah ibu hamil menghadapi cabaran untuk menghentikan tabiat yang buruk ini.

Walaupun jika ibu hamil tersebut tidak merokok, namun pendedahan kepada nikotin daripada pasangan dan orang sekeliling juga mampu membawa akibat.

Tapi hari ini, dengan kemajuan teknologi yang canggih, kita boleh lihat kesan rokok kepada janin semasa kehamilan.

2 baris gambar imbasan ultrasound 4D

Pergerakan janin ibu perokok (atas) dan janin ibu bukan perokok (bawah); Sumber: Dr Nadja Reissland, Universiti Durham

Cuba tengok janin dengan muka berkerut di baris atas. Janin itu seolah-olah menutup mukanya dan mahu “mengelak” sesuatu.

Ibunya merokok sebanyak 14 batang rokok setiap hari. Manakala gambar ultrasound baris kedua menunjukkan janin dalam keadaan tenang. Ibunya bukan seorang perokok.

Disebabkan teknologi, sekarang kita boleh melihat apa yang tersembunyi sebelum ini dan mendedahkan kesan rokok dan bagaimana ia boleh menjejaskan perkembangan janin,” kata Profesor Brian Francis dari Lancaster University.

Ini mengukuhkan lagi bukti kesan negatif merokok semasa kehamilan.

Kesan kepada janin apabila ibu merokok

Berdasarkan imbasan ultrasound 4D tersebut, para penyelidik mendapati janin terdedah kepada asap rokok ibu menunjukkan kadar pergerakan mulut yang jauh lebih tinggi daripada kadar pergerakan normal janin.

Ini disebabkan oleh sistem saraf pusat janin yang tidak dapat berkembang pada kadar yang sama seperti janin ibu yang tidak merokok.

Kajian sebelum ini juga mendapati kesan rokok kepada perkembangan proses pertuturan bayi apabila mereka masih dalam perut ibu.

Tekanan ibu hamil dan kemurungan juga boleh memberi kesan kepada kadar pergerakan janin.

Namun, pergerakan mulut dan sentuhan ini jauh lebih banyak, jika ibu janin seorang yang merokok.

Ini adalah sesuatu yang membimbangkan kerana apabila kehamilan semakin berkembang, pergerakan ini sepatutnya berkurangan.

“Penemuan ini membuktikan kita perlu cuba mengawal tekanan dan kemurungan ibu hamil kerana ia boleh memberi kesan yang besar kepada pergerakan janin.

Tetapi keputusan ini juga membuktikan kepada kita yang pendedahan kepada nikotin mempunyai kesan kepada perkembangan janin yang lebih teruk berbanding kesan tekanan dan kemurungan,” kata Dr Nadja Reissland dari Durham University.

Kajian yang lebih mendalam diperlukan untuk mengesahkan keputusan ini supaya kesan-kesan tertentu, termasuk kaitan antara tekanan ibu dan merokok dapat dikaji.

Sumber: Universiti Durham

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman The AsianParent Malaysia

Baca juga: 

Ibu Ini Terjumpa Rokok Yang Patah 3 Di Lantai Bersama Bayinya Yang Telah…

Penulis

Rosanna Chio