Masalah gastrik ketika hamil dan pedih ulu hati merupakan perkara normal. Hampir 80 peratus wanita mengaku pernah mengalaminya. Dyspepsia dalam kalangan ibu hamil boleh berlaku dengan mudah apabila asid yang berada di perut tiba-tiba naik ke atas saluran pemakanan esofagus dan menyebabkan pedih ulu hati (heartburn).
Kadang kala ia dikenali sebagai reflux dan boleh dialami oleh kebanyakan ibu mengandung. Ketidakselesaan ini menjadi lebih teruk sekiranya ibu sudah mengalami peptic ulcer disease sebelum hamil (sakit gastrik).
Baca juga: Peritnya Sakit Migrain Ketika Hamil, Bolehkah Ibu Mengandung Ambil Ubat Panadol?
Punca yang menyebabkan masalah gastrik ketika hamil
Ketika berbadan dua, tubuh wanita akan mengalami banyak perubahan dan salah satunya ialah penghasilan gas oleh badan menyebabkan rasa kurang selesa. Ia adalah perkara normal bagi setiap ibu hamil terutamanya ketika dalam trimester kedua dan ketiga.
#1. Kesan hormon progesteron
Hormon ini adalah salah satu penyebab gastrik ketika hamil. Ia mendorong penghasilan gas secara berlebihan. Badan bertindak menghasilkan lebih banyak progesteron ketika mengandung.
Fungsinya adalah untuk melegakan otot-otot di dalam badan termasuklah otot usus. Kesannnya, proses pencernaan ibu mengandung mengambil masa lebih lama kerana otot usus bergerak perlahan.
Keadaan ini turut menyebabkan gas dalam badan terhasil lebih banyak, menyebabkan masalah kembung perut dan ibu mengandung mungkin akan kerap sendawa bagi mengeluarkan angin.
#2. Makan ketika perut kosong
Sesetengah ibu mengandung menyangka pengambilan buah-buahan dan makanan tenusu adalah baik terutamanya ketika perut kosong. Namun malangnya pendapat ini adalah salah dan tidak digalakkan.
Selain itu anda juga perlu mengelakkan dari mengambil roti dan pastri ketika perut kosong. Ini kerana kandungan yis boleh membuatkan perut berangin serta tidak selesa.
Manakala, produk tenusu seperti yogurt boleh menghasilkan asid hidroklorik bagi bertindak balas dan membunuh bakteria asid laktik. Anda juga perlu mengelakkan buah pir, tomato, timun dan sayuran hijau, pisang serta makanan berempah sewaktu perut masih kosong.
#3. Bayi semakin membesar
Perkembangan bayi memberikan tekanan secara fizikal terhadap saluran penghadaman anda. Ketika berada di peringkat akhir kehamilan, simptom gastrik boleh terjadi disebabkan oleh rahim yang semakin membesar.
Secara fizikalnya, saiz bayi yang semakin membesar memberikan tekanan pada saluran penghadaman.
Selain rasa pedih ulu hati, ibu hamil boleh mengalami rasa tidak selesa di bahagian atas abdomen, rasa loya, mahu muntah, mudah kembung perut dan cepat rasa kenyang selepas makan.
Tanda-tanda ini boleh datang jarang-jarang sekali atau akan ada sepanjang masa.
Petua bagi mengurangkan masalah pedih ulu hati mengikut saranan doktor
#1. Elakkan makanan berangin
Sakit gastrik ketika mengandung boleh dielakkan. Antaranya adalah ibu tidak boleh mengambil makanan yang pedas, masam (berasid), bergoreng atau berlemak.
Manakala, minuman seperti air berkarbonat adalah musuh utama gastrik. Kandungan gula yang tinggi boleh menganggu proses pembekalan darah ke perut.
Gantikannya dengan makanan protein rendah lemak seperti ayam dan ikan, sayuran hijau, makanan tinggi serat (roti meal penuh) serta minuman probiotik.
#2. Jaga kedudukan badan
Sewaktu melakukan kerja-kerja harian, ibu hendaklah memastikan untuk sentiasa duduk dalam keadaan tegak dan jangan membongkok.
Selain itu juga, anda tidak digalakkan untuk terus berbaring sekurang-kurangnya 1 jam selepas makan. Jika anda sering mengalami masalah gastrik pada waktu malam, gunakanlah banyak bantal untuk meninggikan bahagian kepala.
Kesan graviti dapat membantu mengekalkan asid perut di tempat yang sepatutnya bagi mengelakkan masalah gastrik.
#3. Kerap melakukan senaman ringan
Senaman ringan seperti berjalan, menaiki tangga dan menarik nafas dapat memberikan kesan positif kepada masalah gastrik ketika mengandung. Selain itu, ia turut membantu melancarkan proses pencernaan dan mengatasi sembelit.
Selain baik untuk kesihatan tubuh badan, senaman mampu mengeluarkan peluh dan mengelakkan ibu hamil berasa tertekan.
Kesimpulannya, jika anda berasa tidak selesa sehingga perlu menahan sakit yang berterusan, segeralah untuk berjumpa doktor agar mereka dapat memberikan jenis ubat yang tepat.
Sesetengah ubat jenis alginate atau antacid boleh didapati di farmasi. Namun pastikan anda periksa dahulu dengan doktor agar ibu selamat diambil ketika hamil.
Pengambilan sebarang supplemen atau ubat boleh memberikan kesan sampingan, malah mungkin menyebabkan gasrtik menjadi lebih teruk!
Sumber: Xtra
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia