Tabiat suka membersihkan telinga menggunakan besi dan putik kapas menyebabkan seorang pesakit merana apabila dia mengalami gegendang telinga pecah dan bocor.
Menerusi perkongsian Pakar Bedah Telinga, Hidung dan Tekak (ENT), Dr. Mohd. Shaiful Nizam memberitahu, pesakit itu mempunyai tabiat tersebut sudah agak lama malah, dia sendiri menunjukkan besi kecil itu kepada beliau sewaktu mendapatkan rawatan.
“Pesakit tersebut mengalami gejala seperti sakit di telinga kiri, kurang dengar serta bunyi berdesing,” katanya dalam sebuah hantaran menerusi Twitter, MedTweetMy.
Gegendang telinga pecah adalah keadaan di mana gegendang telinga bocor atau koyak. Gegendang telinga memisahkan telinga luar dari telinga tengah (yang mempunyai struktur penting). Fungsi gegendang juga melindungi telinga tengah daripada cuaca sejuk, angin, tahi telinga dan pelbagai lagi.
Gegendang telinga menyerap bunyi dan memindahkan bunyi tersebut kepada tulang-tulang kecil di telinga tengah . Kebocoran gegendang akan mendedahkan telinga tengah serta telinga dalam kepada risiko kerosakan atau trauma. Kebocoran gegendang juga boleh menyebabkan risiko kurang pendengaran.
Punca-Punca Gegendang Telinga Pecah
Punca utama kebocoran gegendang ialah jangkitan telinga tengah (otitis media), trauma dan perubahan tekanan yang mengejut adalah antara punca-punca lain yang dikenalpasti ialah:
- Menggunakan alat tajam untuk mencuci telinga
- Tekanan tinggi
- Perubahan mengejut tekanan udara semasa penerbangan, berenang, menyelam atau duduk berhampiran dengan bunyi letupan.
Tanda Dan Gejala
Dalam kebanyakan kes, tiada gejala-gejala yang ketara. Sekiranya ia disebabkan oleh jangkitan telinga tengah, pesakit selalu mengadu tentang sakit yang tajam secara tiba-tiba (ini disebabkan oleh pengumpulan nanah di telinga tengah).
Sakit akan hilang apabila nanah keluar daripada telinga tengah. Kebocoran disebabkan oleh trauma selalunya menyebabkan rasa tidak selesa serta sedikit pendarahan mungkin berlaku.
Selain itu, anda akan turut mengalami bunyi berdesing di dalam telinga (tinnitus), kurang pendengaran dan telinga berair atau bernanah.
Telinga Tidak Perlu Dikorek
Beliau menjelaskan, tahi telinga atau dikenali sebagai earwax (lilin telinga) tidak perlu dikorek kerana mempunyai mekanisme tersendiri melalui kunyahan mulut, pergerakan rahang dan pertumbuhan kulit dalam telinga yang akan menolaknya keluar.
Katanya, earwax bersifat kali air iaitu mencegah air daripada masuk ke salur telinga dan bersifat antibakteria untuk melindungi telinga daripada jangkitan dan pembiakan bakteria serta kulat.
“Ia juga bersifat asid untuk melembabkan kulit halus sekitar saluran telinga, menghalang kemasukan serangga-serangga kecil seperti semut, lalat dan nyamuk serta mengeluarkan kotoran dan habuk dalam saluran telinga.
Menurutnya lagi, kerana itu doktor pakar ENT melarang pesakit mereka mengorek telinga. Apabila tahi telinga sentiasa dikorek, secara tidak langsung akan menyebabkan ia tertolak ke bahagian tengah saluran telinga seterusnya akan berkumpul dan tersumbat.
Ujarnya, keadaan ini boleh mengakibatkan masalah pendengaran (berdesing dan kurang dengar). Lebih parah lagi ia boleh menyebabkan luka serta radang telinga luar dan tengah selain kecederaan pada gegendang telinga.
Jika terlalu banyak tahi telinga dan rasa tersumbat, gunakan ubat titis telinga untuk melembutkan tahi yang keras atau segera mendapatkan pemeriksaan pakar ENT jika masih tersumbat dan bergejala.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga : Awas Ibu Ayah, Jangan Sesuka Hati Cuci Telinga Bayi, Ada Caranya!
Baca juga : Ibu Tidak Sedar Anak Dalam Diam Korek Telinga Sampai Gegendang Pecah, Awas!
Baca juga : Bayi Sentiasa Menarik Telinga Sendiri, Awas! Anak Mungkin Terkena Jangkitan Telinga!