Pasti ramai yang pernah dengar tentang penyakit asma atau mengalaminya sendiri. Penyakit ini bukan sahaja menyerang orang dewasa, malah golongan wanita hamil dan kanak-kanak. Namun berita baiknya, gejala asma ini tidak berjangkit atau cenderung menyebabkan kematian!
Bagi kebanyakan orang, asma adalah keadaan jangka panjang – terutamanya jika ia mula terjadi apabila telah dewasa.
Asma didefinisikan sebagai penyakit kronik akibat tindak balas luar biasa sistem pernafasan terhadap pelbagai punca. Serangan asma menyebabkan saluran pernafasan di dalam paru-paru bengkak sehingga menjadi sempit dan mengalami radang dari semasa ke semasa sehingga berlaku perubahan pada struktur organ.
Gejala Asma Boleh Menyebabkan Sesak Nafas!
Ia juga merupakan keadaan jangka panjang yang biasa yang boleh menyebabkan batuk, berdesir, sesak dada dan sesak nafas. Selalunya, asma boleh dikawal pada kebanyakan masa walaupun sesetengah orang mungkin mempunyai masalah yang lebih berterusan.
Ada beberapa tanda boleh dikesan apabila berlaku serangan seperti gejala asma di bawah:
- Kesukaran untuk bernafas atau semput
- Dada terasa ketat
- Bunyi
- Batuk-batuk
- Bunyi bersiul apabila sedang bernafas
- Susah bercakap
- Muka kelihatan pucat
- Berpeluh
- Pernafasan yang laju
Tanda-tanda gejala asma agak ketara, tetapi boleh menjadi agak berbahaya ya. Tambahan lagi sekiranya pesakit berseorangan atau apabila pesakit tidak dapat mengawal keadaan.
Stress Boleh Menyebabkan Asma
Jadi apa yang menyebabkan penyakit asma ini? Kenapa sesetengah orang boleh menghidapinya walaupun orang sekelilingnya, misalnya adik beradiknya tidak pula ada penyakit asma?
Berkaitan: Pengalaman Asma Semasa Mengandung
Asma disebabkan oleh keradangan tiub kecil dipanggil bronchi yang membawa udara masuk dan keluar dari paru-paru. Bagi pesakit asma asma, bronkus akan meradang dan jadi lebih sensitif daripada biasa!
Apabila bersentuhan dengan sesuatu yang mengiritasi paru-paru, saluran udara akan menjadi sempit, otot-otot di sekelilingnya mengencang dan terdapat peningkatan pengeluaran lendir melekit (kahak). Faktor-faktor ini dikenali sebagai pencetus.
Antara pencetus asma termasuklah:
- Jangkitan pernafasan dan selsema
- Terdedah kepada asap rokok
- Reaksi alahan atau alergi kepada debunga, kulat, bulu haiwan, bulu, habuk, makanan, dan lipas
- Pencemaran udara dalaman dan luaran, termasuk ozon dan pencemaran zarah
- Pendedahan kepada udara sejuk atau perubahan suhu secara tiba-tiba
- Tekanan (stress)
- Latihan (senaman)
- Ubat-ubatan termasuk aspirin dan ubat anti-radang jenis bukan steroid seperti asid mefenamic (ponstan) atau ibuprofen
Rawatan Untuk Serangan Asma
Walaupun tiada ubat untuk asma, terdapat beberapa rawatan yang dapat membantu mengawal keadaan dari berlakunya penyempitan saluran udara yang kekal dan masalah yang lebih berterusan.
Ubat penyelamat diambil apabila tanda serangan asma bermula dan ia boleh menghentikan serangan tersebut secara serta-merta.
Antara ubat yang digunakan:
- Beta-agonis dalam bentuk alat sedut (inhalation): Salbutamol, Terbutaline, Fenoterol.
- Anticholinergic dalam bentuk alat sedut (inhalation): Ipratropium bromide (Atrovent).
- “Systemic steroids” memerlukan penggunaan secara suntikan IV: Lazimnya digunakan untuk merawat serangan asma yang tidak pulih dengan ubatan pil atau jenis alat sedut.
Bagi mengawal gejala asma dalam jangka masa panjang, doktor mungkin akan memberi preskripsi ubat terkawal kepada pesakit. Apabila ubat asma telah diberi, pesakit asma yang baru akan diletakkan di bawah pemerhatian ahli farmasi atau doktor untuk memastikan penggunaan alat sedut dengan teknik yang betul.
Ubat-ubatan asma yang biasa dipertimbangkan adalah:
- “Bronchodilators” yang bertindak cepat untuk jangka masa pendek (SABA)
- “Inhaled steroids” (ICS) Terapi anti-keradangan untuk mereka yang mengidap asma tahap serius.
- “Bronchodilators” yang bertindak untuk jangka masa panjang (LABA): Boleh digunakan bersama ICS sebagai terapi kombinasi. LABA tidak boleh digunakan sebagai rawatan tunggal asma.
- “Leukotriene modifiers” :Berfungsi sebagai agen anti-radang.
- “Anticholinergic agents” :Membantu mengurangkan penghasilan lendir mukosa permukaan saluran pernafasan.
- Rawatan anti-IgE : Boleh digunakan dalam asma akibat alahan.
- Rawatan anti-IL5 :Boleh digunakan dalam asma jenis “eosinophilic”.
- “Theophylline” :Membantu untuk membuka saluran udara tetapi jarang digunakan dalam rawatan akibat kesan sampingan.
- “Monoclonal antibodies” :Rawatan tambahan yang masih memerlukan kajian mendalam.
- “Immunotherapy” atau “allergy shots”
Jangan sekali-kali beli atau dapatkan ubat yang disenaraikan di atas tanpa preskripsi atau dos yang dicadangkan doktor ya, apatah lagi jika pesakit sedang hamil atau menyusukan anak. Tidak salah untuk bertanya di media sosial tetapi bertindak menggunakan ubat semata-mata atas saranan pendapat orang ramai adalah tidak digalakkan sama sekali.
Semoga bermanfaat!
Untuk dapatkan lebih banyak informasi dari theAsianparent Malaysia, boleh terus download Aplikasi Keibubapaan #1 Di Asia Tenggara kami.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Sumber: Artikel ini telah disadur dari Doctor On Call, atas kebenaran mereka.
Baca juga: