Genetik manusia yang bergelar ibu ayah akan mempunyai pengaruh tersendiri dalam menurunkan kepada anak-anak. Sudah semestinya anda pernah tertanya-tanya tidak kira sama ada pada awal kehamilan atau selepas bersalin, wajah si manja nanti akan ikut siapa?
Hal ini sebenarnya secara tidak langsung boleh mencetuskan pertelingkahan kecil apabila si ibu dan ayah mahukan anak mengikut kriteria diri masing-masing.
Genetik manusia akan ikut ibu atau ayah?
Persoalan ini menjadi perdebatan hebat antara ibu ayah yang mungkin tidak akan pernah habis. Jika sebelum ini tular dalam media sosial tentang pernyataan bahawa anak bijak akan mewarisi IQ dari si ibu, tapi kali ini ramai tertanya-tanya siapakah yang menentukan kebanyakan genetik bayi.
#1. Bahagian mata
Menurut kajian, dikatakan bahawa kebanyakan genetik mata adalah mengikut genetik si ibu. Bukan mata sahaja, hidung, bibir dan bentuk wajah juga dikatakan mewarisi genetik ibu.
#2. Bulu mata
Cuba perhatikan pada bulu mata si anak dan ayahnya, ada persamaan atau tidak? Hal ini kerana genetik bulu mata si anak dikatakan mewarisi daripada bulu mata si ayah.
#3. Bahagian telinga
Tidak hanya bulu mata sahaja, bahagian telinga turut diwarisi daripada si ayah. Tetapi anda jangan risau kerana ada juga genetik telinga yang datangnya dari ibu.
#4. Ketinggian anak
Berbeza pula dengan ketinggian di mana genetik ini diwarisi secara separuh oleh ibu dan ayah. Jadi anda tidak perlulah berebut mengatakan bahawa anak-anak mewarisi anda seorang kerana semuanya sudah dibahagikan sama rata, ya!
#5. Kecerdasan
Anda memiliki anak-anak aktif dan banyak mulut? Hal ini kerana tahap kecerdasan mereka diwarisi daripada seorang ibu. Maknanya jika anak merupakan seorang yang aktif dan bijak, mereka sebenarnya mewarisi kecerdasan ibunya.
#6. Sikap dan tingkah laku
Kalau dari segi sikap dan tingkah laku anak-anak, ibu ayah mungkin akan mengatakan ”ha itulah ikut perangai mak dia.” Tetapi sebenarnya perangai anak-anak kebanyakannya datang dari genetik ayah.
Kalau anda perasan, anak-anak akan mudah dipengaruhi sekiranya mereka melihat ayah melakukan sesuatu perkara. Sebab itulah ada pepatah mengatakan, ”bapak borek, anak rintik.”
Justeru, bahagian anggota badan dan keperibadian diri anak-anak merupakan hasil gabungan genetik manusia bergelar ibu dan ayah. Anda tidak perlulah menunding jari kepada pasangan sahaja sekiranya anak memiliki perangai kurang baik kerana tiada manusia yang sempurna.
Rahsia personaliti anak mengikut kategori
#1. Anak pertama
Anak pertama atau sulung merupakan cahaya mata nombor satu dalam sesebuah keluarga dan menjadi tumpuan kasih sayang ibu ayah sehinggalah dia memperoleh adik baru. Namun, apabila sudah membesar dan meningkat remaja, mereka lebih pandai membawa diri masing-masing dan sanggup berkorban demi adik-adiknya.
Ciri-ciri yang ada pada anak sulung:
- Sering dikaitkan dengan sikap pelindung, suka bertolak ansur dan mengurangkan ego.
- Kemungkinan berjaya dalam hidup sangat tinggi.
- Lebih pandai mengambil hati orang tua.
- Mempunyai nilai tanggungjawab yang tinggi.
#2. Anak tengah
Biasanya anak tengah memiliki perangai yang sedikit pelik berbanding adik-beradik yang lain. Mereka tidak suka dihalang dan lebih suka berdikari dalam melakukan halnya sendiri.
Golongan anak tengah juga banyak mengalah kepada si sulung atau dengan si bongsu kerana tidak ingin mengeruhkan lagi keadaan. Sebab itulah anak tengah kadang kala mudah dilanda pelbagai tekanan. Jadi mereka akan cuba melakukan yang terbaik buat diri sendiri tanpa mengharapkan bantuan orang lain.
#3. Anak bongsu
Selalunya ramai yang menganggap anak bongsu akan mengada-ngada dan memperolehi apa sahaja diinginkan. Malah sering digambarkan sebagai anak manja, besar kepala dan mahukan orang lain mengikuti kehendak mereka sahaja.
Bukan itu sahaja, anak bongsu memerlukan orang lain untuk melakukan apa sahaja dalam hidupnya. Dikatakan mereka kurang berjaya dalam hidup memandangkan sikap ibu ayah yang tidak percayakan kebolehannya.
Mungkin ibu ayah sentiasa berasakan anak bongsu memerlukan perlindungan untuk selama-lamanya.
#4. Anak tunggal
Mungkin ramai yang sangka bahawa menjadi anak tunggal adalah sangat seronok memandangkan hanya mereka satu-satunya anak dalam keluarga. Tidak perlu berebut, malah menjadi tempat sepenuhnya tumpuan, perhatian dan curahan kasih sayang ibu ayah.
Dari sudut hubungan bersama ibu bapa, tidak dinafikan bahawa hubungan anak tunggal lebih kukuh dan erat. Mereka saling memerlukan antara satu sama lain, saling menyokong dan menggalakkan.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Ibu & Ayah, Berhentilah Ucap 2 Kata-Kata Ini, Ia Beri Kesan Sangat Buruk Kepada Emosi Anak!