Beri hadiah untuk orang kahwin menjadi sesuatu kemestian lebih-lebih jika pasangan pengantin tersebut merupakan kenalan rapat atau ahli keluarga.
Namun perkongsian yang tular baru-baru ini mengenai pemberian berunsur lucah sekumpulan lelaki kepada pengantin menimbulkan reaksi kurang senang dalam kalangan netizen.
Apa maklumat lanjut yang akan anda baca dalam artikel ini?
- Hentikan budaya hadiah untuk orang kahwin yang berunsur lucah dengan niat ‘nak bergurau’
- Adab menghadiri majlis perkahwinan
Tiada masalah untuk memberikan hadiah kahwin di atas pelamin ketika acara bersanding, namun mengulas mengenai kejadian itu, Ustazah Asma’ Harun menasihatkan agar hentikan budaya jenaka lucah sedemikian.
Hentikan budaya hadiah untuk orang kahwin yang berunsur lucah dengan niat ‘nak bergurau’
Menerusi gambar yang dikongsikan, pasangan mempelai dipercayai menerima beberapa kotak kondom pelbagai jenis daripada rakan pengantin lelaki.
Mereka juga sempat bergambar dengan hadiah yang diberikan namun kelihatan pasangan pengantin itu tertunduk malu dan nyata tidak selesa dengan apa yang diterima.
Ikuti perkongsian Ustazah Asma’:
Trend hadiah kahwin tidak bermaruah
“Tular baru-baru ini satu video yang dimuat naik oleh sekumpulan lelaki yang menghadiri sebuah majlis kahwin. Dalam video tersebut menunjukkan kawan-kawan pengantin lelaki sedang beratur memberikan hadiah, amat mengejutkan apabila hadiah yang diberikan membawa unsur L*CAH. Allahu Akbar.
“Sebenarnya saya yang menonton pun jadi malu, apatah lagi bila melihat kedua-dua pengantin lelaki dan perempuan tertunduk sambil tutup muka dengan pemberian mereka yang tiada sedikitpun rasa malu.
“Saya mohon, janganlah budayakan jenaka lucah sebegini, fikirkanlah apa kesannya kepada sesiapapun yang melihat.
Budaya memberi hadiah di pelamin sekarang menjadi satu trend, namun tak seharusnya diikuti jika tujuan untuk publisiti dan maruah digadai. Berbaloikah?
“Malu itu salah satu sifat mulia kerana ia melindungi kita daripada melakukan perkara yang dilarang oleh Allah. Dengan malu, kita takut nak bermaksiat, sakiti orang lain, melihat perkara haram, mendedahkan aurat, buat perkara yang menjatuhkan maruah.
“Tidak salah ingin memberi, tidak salah ingin bahagiakan kawan ketika jadi raja sehari, tapi bila sampai mencemarkan adab depan orang ramai, bahkan ditontonkan pula secara terbuka di media sosial sebenarnya memang sangat melampau.”
Adab menghadiri majlis perkahwinan
Beliau turut berkongsi ada menghadiri majlis perkahwinan. Ia termasuklah:
#1. Wajib hadir apabila dijemput
Apabila sesuatu jemputan diterima, maka hendaklah hadir melainkan sekiranya ada halangan yang menghalang untuk hadir.
#2. Niat
Niatkan kehadiran kita sebagai ibadah dan memenuhi hak sesama Muslim kerana setiap perbuatan yang diniatkan sebagai ibadah kepada Allah, pasti ada ganjaran pahala yang sentiasa mengalir termasuk dalam setiap langkah kita ke majlis tersebut.
#3. Menutup aurat
Memakai pakaian yang menutup aurat dan sopan sama ada lelaki atau wanita, kerana pakaian yang tidak sopan menyebabkan orang sekeliling terganggu dan mendatangkan dosa jika tidak menutup aurat.
#4. Menjaga adab-adab makan
Islam agama yang sangat indah, banyak panduan yang diberikan termasuk adab ketika makan.
#5. Memberi hadiah
Hadiah adalah satu bentuk atau tanda kasih sayang daripada seseorang kepada seseorang, ia dituntut dalam Islam dan merupakan sunnah baginda Nabi SAW kerana memberi hadiah dapat menghilangkan dendam dan eratkan silaturrahim dengan lebih mendalam.
#6. Mendoakan tuan rumah kerana memberi makan
Selain mendoakan pengantin, panjangkan juga doa kita kepada tuan rumah yang telah bersusah payah untuk hidangkan makanan buat semua tetamu yang hadir, mudah-mudahan mereka mendapat keberkatan dan kebaikan.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Kejutan Rare Sempena Hari Guru, Ibu Murid Hadiahkan Rotan Untuk Cikgu Sekolah
Baca juga: Senarai Hadiah Kahwin Yang Unik & Sangat Berguna Untuk Pasangan Pengantin Baharu
Baca juga: 10 Hadiah Terbaik Untuk Ibu Baru, Inilah Masa Gembirakan Yang Tersayang!