Siapa yang tidak sedih apabila mendapat berita daripada doktor bahawa dia sedang hadapi komplikasi kehamilan seperti hamil luar rahim, masalah serviks mahupun previa plasenta? Lebih-lebih lagi apabila komplikasi tersebut terpaksa menyebabkan ibu menjalani pembedahan bagi menggugurkan kandungan mereka.
Pelakon tempatan, Noor Hashimah Anuar, 31 atau lebih ramah dikenali dengan nama Shima Anuar berkongsi berita sedih apabila terpaksa menjalani pembedahan menggugurkan kandungan selepas disahkan hamil di luar rahim.
Apa anda boleh baca dalam artikel ini?
- Penjelasan tentang hamil luar rahim dan bagaimana ia terjadi
- Keadaan Shima Anuar sekarang
- Tanda-tanda hamil luar rahim bakal ibu perlu tahu
Apakah itu mengandung di luar rahim?
Secara sudut medikal, hamil di luar rahim bermaksud ectopic pregnancy yang secara umumnya diketahui sebagai ‘di tempat yang salah’.
Hamil di luar rahim adalah kondisi yang sangat berisiko bagi para ibu, kerana jika dibiarkan berterusan ia boleh membawa risiko yang mengakibatkan tiub fallopio pecah dan kemudian berlakunya pendarahan dalaman.
Oleh sebab itu, Shima Anuar terpaksa menjalani pembedahan bagi menggugurkan kandungannya yang telah mencecah usia tiga bulan, dan pembedahan tersebut telah menyebabkannya kehilangan banyak darah.
“Ia sangat menyakitkan. Saya masih berada di unit rawatan rapi.”
“Saya kehilangan banyak darah ketika pembedahan dan saya hilang anak yang berusia tiga bulan dalam kandungan kerana hamil luar rahim.”
Shima juga berterima kasih pada netizen yang mendoakan kesihatannya. Selepas Shima mengumumkan kehamilannya pada 17 Februari lalu, beliau telah membatalkan semua tawaran kerja di set penggambaran kerana bimbang dia dan kandungannya terdedah kepada jangkitan Covid-19.
Pada malam Ahad, Shima juga telah dilihat memuat naik satu hantaran di Instagram Story memohon maaf dan doa sebelum beliau menjalani pembedahan.
Shima telah mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan, Mohd Solih Toha, 54 dan pasangan ini telah dikurniakan dua cahaya mata iaitu Marian Sophia, 3 dan Mikhael Iman, 2.
Bagaimana hamil di luar rahim boleh berlaku?
Seperti yang kita ketahui dan telah pelajari di dalam kelas Sains sejak di bangku sekolah lagi, bagi kehamilan normal, zigot akan bergerak melalui tiub fallopio dan memasuki ruang rahim – tempat di mana sperma dan ovum yang telah disenyawakan akan mula melekat dan dan proses janin membesar akan berlaku.
Bagi kehamilan di luar rahim, ia berlaku apabila tiub fallopio tersumbat atau terlalu sempit, lalu menyebabkan zigot tidak dapat bergerak untuk masuk ke rahim, sebaliknya ia akan terhenti dan melekat di tiub fallopio.
Dalam kebanyakan kes kehamilan ektopik ini, pengguguran adalah cara terbaik untuk menyelamatkan nyawa si ibu. Walaupun keputusannya sukar untuk dilaksanakan, tetapi para ibu bapa perlu memikirkan kesihatan dan keselamatan ibu.
Siapa yang berisiko menghadapi kehamilan ektopik?
Malangnya, kehamilan ektopik ini boleh berlaku pada mana-mana wanita sahaja. Walaupun begitu, sesetengah individu mungkin lebih mudah untuk mengalami kehamilan ektopik ini.
Sekiranya si ibu pernah mengalami hamil di luar rahim, kehamilan seterusnya juga mungkin si ibu akan mengalami komplikasi yang sama.
Tetapi, terdapat juga beberapa faktor yang boleh meningkatkan risiko kandungan ektopik:
- Mempunyai masalah jangkitan kelamin klamidia (chlamydia) atau sebarang penyakit kelamin STD yang lain, boleh menyebabkan penyakit radang pelvik
- Pernah melakukan prosedur pembedahan pada bahagian perut, termasuk apendiks, caesarean atau sebarang pembedahan berkaitan tiub fallopio
- Pernah mengalami masalah endometriosis
- Mempunyai lebih daripada satu pasangan seksual
- Ibu yang hamil lebih berusia
- Mengalami masalah ketidaksuburan untuk lebih daripada dua tahun, sama ada dirawat atau tidak
- Jika anda melakukan kehamilan melalui kaedah IVF, disarankan untuk membuat imbasan awal bagi memastikan embrio diimplantasikan pada bahagian yang betul
- Bicornuate uterus
- Wanita dengan tabiat merokok
- Pernah menggunakan IUD yang mengeluarkan hormon progesteron atau mengambil pil mini pencegah kehamilan
Apakah tanda-tanda hamil di luar rahim?
Setiap komplikasi dan ketidaksihatan pasti akan membawa simptom. Oleh sebab itu, para wanita (terutamanya sang ibu!) perlu mengambil tahu simptom-simptom yang mungkin boleh membawa erti bahawa mereka sedang hamil di luar rahim.
- Pendarahan faraj. Sekiranya ibu mengalami pendarahan dari faraj ketika hamil, ia tidak bermakna anda telah keguguran. Pendarahan yang dialami mungkin tidak normal dengan kuantiti darah yang keluar berbeza dari keadaan haid normal, sama ada lebih banyak atau sedikit. Warna darah juga akan kelihatan lebih gelap dari biasa.
- Sakit berterusan. Ibu mungkin akan berasa sakit yang secara tiba-tiba dan berterusan. Sakit tersebut juga akan mulai berasa merebak ke seluruh bahagian perut, dan ibu juga mungkin akan berpeluh dan berasa seolah-olah akan pitam. Ibu juga mungkin akan cirit-birit atau terdapat najis di dalam darah.
Sekiranya anda sedang hamil dan mengalami simptom ini, segeralah berkunjung ke pakar sakit puan anda untuk mendapat pemeriksaan dan nasihat yang lebih mendalam! Tetapi, tidak kira apa simptom yang dialami pun, pastikan anda sentiasa periksa keadaan diri dengan yang lebih pakar dan dengarlah nasihat mereka.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia.
Baca juga: Doktor Keguguran Semasa Menyambut Bayi, Rupanya Dia Sendiri Mengandung Luar Rahim!
Baca juga: Kes 1-Dalam-625-Juta: Ibu Kehamilan Ektopik Berjaya Melahirkan Anak Cukup Umur
Baca juga: Kisah Benar: Pengalaman Ibu Bersalin Caesarean Selepas Bayi Terbelit Tali Pusat