Sewaktu tempoh PKP ini bukanlah sesuatu yang mengejut jika kita mendengar berita kehamilan orang ramai. Namun jika anda orang yang mendapat berita anda sendiri tiba-tiba hamil satu bulan tanpa dijangka, tentunya terkejut bukan kepalang!
Sama ada anda sudah pun mempunyai anak dan masih dalam ‘family planning’ atau baru berkahwin dan tidak bercadang untuk menimang cahaya mata buat masa sekarang, berita ini tentunya menjadi kejutan buat anda dan pasangan.
Ya memang banyak yang perlu difikirkan jika tiba-tiba anda mendapat berita sudah hamil satu bulan! Bukanlah tidak mahu, tapi semua itu memerlukan planning yang betul bukan? Dan jika ia terjadi tiba-tiba seperti sekarang banyaklah yang perlu difikir dalam 9 bulan ini.
Rileks, ambil masa untuk bernafas dan berfikir sewajarnya. Fikirkan bayi yang comel bakal menjadi tambahan untuk keluarga nanti, tentu lebih meriah kan?
Baiklah jika itu masih tidak dapat menenangkan anda, cuba tiga perkara di bawah ini sambil tarik nafas dengan tenang:
Dapatkan Sistem Sokongan
Apa-apa pun anda mempunyai suami anda dalam mengharungi perjalanan baru ini. Tentu anda dalam keadaan keliru sekarang, dan ada kalanya emosi anda bercampur baur. Ada rasa marah, sedih, kecewa, gembira dan sebagainya. Tapi jangan risau semua itu normal.
Dan lebih elok juga jika anda bawakan kerisauan anda kepada keluarga. Dapatkan pandangan kakak-kakak atau abang-abang jika mereka pernah mengalami kehamilan mengejut ini.
Kemudian hubungi rakan-rakan anda, dan minta pandangan mereka akan apa perancangan yang boleh dibuat dalam menanti kelahiran ahli baru nanti. Rileks, anda masih di peringkat awal, anda baru hamil satu bulan bukan?
Percayalah anda akan berasa lebih lega mendengar pendapat mereka nanti. Paling tidak mereka akan menghulurkan sedikit bantuan mungkin dari segi penjagaan bayi nanti untuk sementara dan sebagainya.
Berfikiran positif
Jika anda melihatnya dari sudut negatif, maka negatif lah dia. Jadi cuba anda fikirkan yang baik-baik saja, ingatlah anak itu adalah rezeki dan amanah. Walaupun anda tidak merancangnya, Allah itu lebih tahu apa yang terbaik untuk anda sekarang.
Ambil ia sebagai satu keberkatan, adalah tu sebabnya si kecil itu hadir pada waktu ini. Disebalik apa yang berlaku ada hikmahnya. Jadi anda sekarang hanya perlu merancang apa yang terbaik untuk menyambut kelahiran si kecil ini nanti.
Cuba anda fikirkan ramai tau pasangan-pasangan yang berdoa setiap hari untuk mendapatkan anak. Macam-macam prosedur perubatan yang mereka perlu lalui untuk memiliki seorang cahaya mata.
Jadi anggaplah anda ini antara yang bertuah dapat cahaya mata dengan mudah. Walaupun anda sudah mempunyai anak yang ramai, janganlah bimbang akan sentiasa ada bantuan untuk anda yang memiliki anak ramai ini.
Sediakan Pelan
Rancang kewangan anda sebaiknya, pada waktu ‘accident’ yang telah pun terjadi ni, apa yang anda perlu lakukan adalah persediaan.
Jika kewangan menjadi kerisauan anda, fikirkan alternatif untuk kelahiran yang menjimatkan tapi tetap sempurna. Anda boleh lahirkan anak di hospital kerajaan, dan hanya membuat pemeriksaan kehamilan di klinik-klinik awam.
Sekiranya anda mempunyai duit lebih sedikit anda boleh bersalin di hospital kerajaan tetapi dapatkan layanan bak hospital swasta dengan pakej FPP (Full Paying Patient).
Dan sebaik anak anda lahir nanti fikirkan alternatif untuk jagaan anak pula. Buat percaturan jika menghantar anak ke pusat jagaan lebih baik ataupun minta tolong ahli keluarga untuk menjaga sementara bayi masih kecil.
Untuk ibu yang berkerja pula, berbincanglah dengan ketua anda tentang ‘handover’ dan sebagainya waktu anda cuti bersalin nanti. Dan bincang bersama rakan sekerja apa yang patut dilakukan dahulu sebelum anda tiada nanti.
Bila anda mula berkerja selepas kelahiran nanti pastinya anda akan lalui satu fasa iaitu ‘mom’s guilt’ ia satu perasaan di mana anda rasa bersalah tidak dapat luangkan lebih masa bersama anak kerana berkerja.
Namun kata Dr. Susan Fletcher, Ph.D., Penulis Parenting in the Smart Zone di dalam American Baby magazine isu Ogos 2011, “apa yang paling penting adalah bagaimana anda meluangkan masa ketika anda bersama anak anda , bukan kerisauan tidak banyak meluangkan masa bersama.”
Untuk keperluan bayi pula sentiasalah berpada-pada, elakkan membeli barangan yang hanya dipakai sekejap saja. Cuba dapatkan nasihat ibu-ibu lain tentang apa yang betul-betul PATUT dibeli.
Kesimpulannya, kehamilan mengejut ini bukanlah sesuatu yang menakutkan jika difikir dengan positif. Jangan pernag rasa anda tidak layak menjadi ibu yang baik apabila mendapat berita mengejut ini. Namun jika anda masih rasa terbeban cuba hubungi pihak-pihak yang mampu membantu memberi sesi rundingan. Anda boleh hubungi Bahagian Pembangunan Kesihatan Keluarga atau LPPKN.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Sumber: HelloDoktor, Parents
Baca juga:
16 Jenis Perancang Keluarga Yang Terbaik Untuk Suami Isteri Cuba, Selamat & Berkesan
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!