Hari Raya Aidilfitri merupakan hari perayaan yang disambut pada 1 Syawal oleh umat Islam di seluruh dunia. Kita digalakkan untuk meraikannya dengan penuh keinsafan dan kegembiraan mengikut amalan sunnah Rasulullah SAW.
Isi Kandungan
Sejarah Bermulanya Hari Raya Aidilfitri
Dari segi bahasa, Eid al-Fitr atau Aidilfitri membawa maksud perayaan buka puasa. Ia turut dikenali sebagai Hari Raya Puasa, Hari Raya Fitrah atau Hari Lebaran.
Penentuan hari raya ditentukan dengan cara melihat anak bulan ataupun secara kiraan.
Sejarah bermulanya hari raya pada tahun 691 Masihi ketika baginda Nabi Muhammad SAW berusia 40 tahun. Baginda sering berulang-alik ke Gua Hira’ untuk bertafakur kerana tidak bersetuju dengan kezaliman dan kejahilan masyarakat di Mekah.
Pada 17 Ramadan, Malaikat Jibril turun mendatangi Rasulullah SAW dan menyampaikan wahyu pertama iaitu Surah AL-Alaq iaitu “Bacalah”.
Antara ajaran yang diturunkan melalui potongan ayat-ayat al-Quran yang diturunkan adalah berpuasa. Ia menjadi rukun ketiga dalam rukun islam.
Dengan adanya Aidilfitri menandakan hari untuk meraikan kejayaan umat Islam setelah menunaikan ibadah puasa selama sebulan bermula terbit fajar sehingga terbenam matahari pada bulan Ramadan.
9 Cara Menyambut Aidilfitri Ikut Sunnah
Bagi mendapat keberkatan dalam menyambut perayaan ini, kita diminta untuk menzahirkan kesyukuran kepada Allah SWT dengan menghayati sunnah-sunnah Nabi Muhammad SAW.
Berikut merupakan amalan sunnah yang boleh dipraktikkan dalam kehidupan seharian.
1. Bertakbir Pada Malam Raya & Pagi Raya
Kita disunatkan untuk bertakbir pada malam raya dan pagi raya di mana sahaja kita berada kecuali ketika di tandas.
2. Menghidupkan Malam Raya
Menghidupkan malam raya dengan beribadat kepada Allah SWT seperti melakukan solat, berzikir, membaca al Quran, bertasbih, bertahmid, beristighfar dan sebagainya.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Sesiapa yang menghidupkan dua malam raya ikhlas kerana Allah, nescaya hatinya tidak mati pada hari yang mati segala hati” -Hadis Riwayat Ibnu Majah
3. Mandi Sunat Hari Raya
Jangan terlupa untuk mandi sunat hari raya bermula dari pertengahan malam dan sunat dilewatkan sehingga menghampiri waktu solat sunat Aidilfitri.
Tidak dilupakan sunat untuk memakai pakaian yang baik dan bau-bauan sebelum keluar ke masjid.
4. Pergi Masjid Lebih Awal
Bagi makmum sunat untuk pergi ke masjid lebih awal manakala Imam disunatkan datang lewat sedikit iaitu ketika hendak mendirikan solat.
5. Makan Sebelum Solat Raya
Berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik RA berkata :
“Sesungguhnya Rasulullah s.a.w tidak keluar pada pagi hari Raya Aidilfitri, sehinggalah Baginda makan terlebih dahulu beberapa biji tamar dan Baginda memakannya dalam jumlah yang ganjil.” -Hadis Riwayat Bukhari.
6. Sedekah
Sekiranya berkemampuan, kita disunatkan untuk memperbanyakkan sedekah terutama kepada orang terdekat yang memerlukan seperti ahli keluarga atau sanak saudara.
7. Pergi & Balik Guna Jalan Berbeza
Mungkin ada yang tidak tahu lagi, pergi solat melalui jalan lain dan balik ke rumah mengikut jalan lain juga termasuk dalam amalan sunnah nabi.
8. Ucapan Baik
Di pagi raya, alangkah manisnya jika menzahirkan rasa gembira dengan mengucapkan ucapan yang baik jika bertemu orang mukmin dan saling ziarah-menziarahi bagi mengeratkan silaturrahim.
Para sahabat Rasulullah SAW juga mengamalkannya ketika bertemu pada hari Raya dengan menyebut,
تقبل الله منا ومنك
Maksudnya: Semoga Allah menerima amal kami dan juga amalmu.
9. Tidak Berjabat Salam Dengan Bukan Mahram
Hendaklah kita menjaga batas antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram dengan tidak berjabat salam. Golongan yang bukan mahram termasuklah ipar, isteri bapa saudara atau suami emak saudara dan seumpamanya.
Mufti Terengganu, twinkl
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Tengok Anak Bulan Tentukan Bila Hari Raya Aidilfitri
Baca juga: Panduan Lengkap Mandi Sunat Hari Raya Aidilfitri Yang Mungkin Terlepas Pandang
Baca juga: 12 Adab Beraya Di Rumah Orang, Elak Tuan Rumah Berkecil Hati