Setiap pasangan yang berkahwin tidak akan bahagia setiap masa, ada ketikanya dilanda ujian seperti letusnya Perang Dunia Kedua. Namun jauh di dasar hati seorang isteri, dia inginkan yang terbaik dalam hubungan.
Setiap rumah tangga pasti ada pasang surutnya. Ia bergantung kepada kemampuan suami isteri dalam mengemudi hubungan yang telah terbina. Jika lihat pada generasi kita sebelum ini, nenek moyang kita memiliki ikatan perkahwinan bahagia sehingga kekal hujung usia.
Tidak susah untuk menjaga hati seorang isteri
Mengikut perkongsian seorang lelaki, Mohd Fhais, dia terkedu apabila ramai suami pada hari ini kerap mengadu berasa penat dan rimas apabila mendengar isteri membebel di rumah.
Tidak cukup dengan itu, ada juga yang sanggup bercinta dengan wanita lain dan curang di belakang isteri hanya kerana kononnya tidak tahan dengan sikap pasangan suka membebel.
Namun tahukah anda apakah punca utama isteri menjadi seorang yang kerap membebel? Pada awalnya mungkin ingat bahawa para wanita kuat berleter ini hanya kerana suka-suka atau fitrah mereka yang dikatakan mulut cakap banyak sehingga tidak boleh berhenti.
Namun, ini salah!
Para isteri tidak akan sesekali membebel tanpa sebab. Mereka melakukan demikian apabila mahu suami ‘mendengar’ bahawa dirinya sudah rasa sangat penat, rimas, sibuk dan tertekan menguruskan rumah seorang diri.
Perasan tak, makin anda buat tidak tahu, semakin kuat dan panjanglah bebelan isteri.
Ada sebab isteri berleter
Selalunya isteri seorang sahaja yang sentiasa rimas dan tidak keruan apabila melihat keadaan rumah bersepah macam terbiar, anak-anak tidak mandi, timbunan baju belum basuh dan lipat, dapur kotor dan bilik air berbulan tidak disental.
Anda yang mendengar deretan tugas ini pun sudah terbayang akan rasa penatnya, apatah lagi bila membiarkan isteri menyelesaikannya seorang diri. Mesti rasa 2 kali ganda penat!
Tidak cukup dengan itu, keadaan ini pula ditambah dengan tekanan tempat kerja, tekanan peribadi dan anak-anak membuatkan hati seorang isteri mudah sensitif. Lalu, memancut-mancutlah keluar suara merungut dan mengungkit perkara yang lepas.
Lebih bahaya apabila mereka pendam perasaan ini di dalam hati secara senyap-senyap. Pada masa ini, benda kecil pun sudah cukup membuatkan si dia menjadi mudah marah dan beremosi. Akhirnya, anak-anak kecil menjadi tempatnya melepaskan jiwa yang kacau itu!
Oleh sebab itu, saya ingin berpesan kepada suami di luar sana, janganlah cepat melenting dan buruk sangka apabila si isteri mula berleter dan mengomel. Sebaliknya bertenang, dan cuba menjadi pendengar yang setia kerana setiap bebelan keluar dari mulut dia itu ibarat detoksfikasi racun merosakkan jiwa.
Rupanya mendengar bebelan isteri mengelakkan diabetes
Bahkan ada kebaikan mendengar bebelan isteri ini. Menurut kajian yang dilakukan oleh Universiti Michigan, lebih kerap isteri membebel pada suami, ia dapat mengurangkan risiko suami menghidap penyakit kencing manis.
Lebih baik anda tadah telinga mendengar bebelan wanita yang menjadi teman hidup anda. Tidak ada rugi apa pun daripada terkena penyakit kencing manis, nanti kena potong kaki!
Nampak sahaja isteri membeli tak henti-henti janganlah anda melarikan diri dengan keluar melepak berjumpa kawan atau seronok makan di luar seorang diri. Cuba peluk isteri, atau panggil dia duduk di sebelah.
Ajak dia berbincang dari hati ke hati. Tanya pada dia sebab-sebab yang membuatnya marah atau tertekan. Bukan itu sahaja, suami juga perlu memastikan keperluan fisiologi seperti makan, tidur dan rehat isteri mencukupi.
Barulah perkataan yang keluar dari mulut mereka menyenangkan hati kita. Justeru, anda patut menjadi ‘ubat’ penenang apabila isteri tidak dapat mengawal emosi. Bukannya menjadi api yang menambahkan lagi derita emosi mereka.
Tidak akan dilabel sebagai takut isteri pun jika anda mendengar cakap isteri, malah rumah tangga akan jadi lebih bahagia apabila anda bersama-sama bertolak ansur dan ada di sisinya pada saat dirinya memerlukan anda.
Saya percaya masih ramai yang selalu terikut-ikut dengan emosi. Kesudahannya, mula rasa menyesal dengan tindakan terburu-buru.
Rumah tangga yang dibina bertahun-tahun boleh musnah sekelip mata jika anda hanya tetap dengan ego dan tidak mampu bertolak ansur ketika isteri tertekan.
Sumber: Mohd Fhais
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga:
https://my.theasianparent.comrumah-tangga-tidak-bahagia