“Saya tidak boleh menyiapkan anak saya yang sulung untuk masuk tidur.
Sepanjang hari, saya asyik berfikir apabila dia bermula sekolah esok, membuatkan saya berasa sedih dan mata saya berair.
Jadi, saya berikan tugas itu kepada ayahnya.”
Kita pasti boleh mengaitkan diri dengan pengalaman si penulis post FB di atas, terutamanya apabila anak sulung kita akan memulakan persekolahan mereka.
Peliknya, saya tidak pernah terfikir yang saya akan menangis apabila anak sulung saya mula sekolah!
Tetapi sekarang, saya sedang duduk di bilik adiknya, sementara ayahnya menyiapkan dia untuk masuk tidur kerana saya sedang menangis!
Untuk pengetahuan anda, anak sulung saya adalah ‘guru’ pertama saya.
Diantara kesemua anak-anak saya, saya telah melalui pengalaman sebagai ibu bapa untuk pertama kalinya bersama anak sulung saya.
Kami telah ketawa dan menangis, dan bergaduh pun bersama (macam lirik lagu Black dan Malique pula!).
Kalau anda hendak tahu, saya telah didera semasa membesar.
Sebelum ini, tingkah laku ibu saya yang tidak menentu yang telah membuatkan saya sentiasa berhati-hati dan berasa takut dalam sebahagian besar hidup saya.
Jeritan marahnya sering diikuti dengan tamparan.
Dan, hingga ke hari ini, bunyi laci dibuka dengan kuat ketika seseorang sedang marah akan membuatkan saya mengimbas kembali di mana tempat sudu kayu disimpan dan bagaimana ia telah digunakan untuk memukul saya!
Sering kali saya terpaksa mengunci diri di dalam bilik mandi kami hanya untuk melepaskan diri dari kemarahan.
Dan, ia bukanlah satu memori yang senang untuk dilupakan.
Saya mengingatkan diri saya supaya tidak mewarisi sifat-sifat ini; bahawa saya akan menjadi seorang ibu yang sempurna untuk anak-anak saya.
Sekarang saya berdiri di tepi katilnya, saya merenung senyuman pertamanya, ketawa pertamanya, langkah dan juga kata-kata pertamanya.
Dan, saya juga mengingat semula kemarahan saya yang pertama terhadapnya – perkara kecil yang dilakukan oleh anak saya yang mengakibatkan saya telah melepaskan “api kemarahan” yang berada di dalam diri saya!
Saya jadi terkejut dengan emosi ini sehingga saya berasa mual, dan beberapa jam selepas itu, saya menangis.
Saya boleh berkata dengan jujur bahawa kemarahan saya tidak pernah melampaui batas seperti ibu saya telah lakukan.
Saya tidak pernah melintasi garisan itu, tidak pernah menjadi ganas.
Tetapi itu tidak bermakna saya tidak mempunyai perasaan kemarahan itu di dalam diri saya; ia berada di dalam diri saya nun jauh di lubuk hati dan perasaan.
Walaupun saya seorang dewasa, saya masih memilih untuk mengunci diri saya di dalam bilik mandi untuk memastikan saya tidak akan menyakiti sesiapa!
Dari mana penyakit senang marah ini datang?
Saya tahu asal usulnya (dari ibu saya!) dan saya jijik dengan diri saya sendiri dan sangat malu.
Ia bukan mudah. Tetapi saya pilih yang terbaik. Keadaan saya berbeza daripada ibu saya, itu yang pastinya!
Saya mempunyai suami sebagai sahabat rapat dan kayu sokongan, serta kawan-kawan yang juga banyak membantu.
Tetapi lebih dari itu, saya mempunyai pilihan. Saya memilih anak saya daripada ego saya.
Ada suara dalam diri saya yang sentiasa mengatakan:
“Saya boleh melakukannya. Saya boleh kawal diri saya!”
Saya tidak bersedia untuk membesarkan seorang anak yang hidup dalam ketakutan seperti mana saya telah dibesarkan.
Saya tidak mahu anak saya menjadi seorang kanak-kanak yang sentiasa takut pada setiap pergerakan atau bimbang tentang tingkah laku ibu bapa mereka!
Saya tidak mahu mencipta persekitaran dalam rumah yang penuh dengan ketakutan, seperti yang saya telah lalui semasa kecil dahulu.
Saya telah berusaha untuk memastikan rumah saya kekal tenang dan berbeza dengan keadaan saya semasa saya membesar.
Dengan kekuatan dan tip yang saya pelajari dari kaunselor dan suami yang menyokong, saya tidak mudah berasa marah lagi.
Saya menghirup dan menghembus nafas!
Saya menyanyi, bukannya berteriak. Saya membuat mantra simple yang saya akan ulangi sehingga saya tidak lagi marah.
Sebaik sahaja ia ditangani, saya dapat melihat dengan jelas.
Perkara-perkara kecil masih mengganggu saya, tetapi kemarahan tidak pernah mengikuti emosi tersebut secara membabi buta.
Jadi, anda pasti telah dapat memahami mengapa saya menangis.
Anak sulung telah memberikan pengalaman keibubapaan yang pertama buat kita
Anak saya yang pertama, dialah yang menjadi cermin saya dan refleksi saya. Dan, dia menjadi ‘guru’ saya yang terbaik.
Saya yakin saya akan dapat melupakan mimpi buruk yang saya alami sebagai seorang kanak-kanak.
Jadi saya menangis, bersyukur ke atas hadiah yang diberi kepada saya, dan saya menangis kerana rasa bersalah masih ada di dalam hati saya.
Saya tidak kebal kepada hakikat bahawa saya bergelut dengan kemarahan dan masih lagi kadang-kala membuat kesilapan.
Tetapi, saya berharap saya dan anak sulung saya akan dapat menempuhi sejuta kebahagiaan dan menghadapi lembah-lembah gelap yang telah saya lalui semasa kecil dahulu.
Saya bercakap secara terbuka dan mendalam tentang kemarahan saya, kerana saya enggan membiarkan penyakit itu berterusan terpendam, tidak diluahkan.
Jika kita mengelak daripada bercakap tentang perkara-perkara, bilakah lagi masanya untuk berterus terang?
Sekiranya tiada siapa yang bercakap tentang kemarahan atau tentang hal ibu yang mudah marah ini, maka kita akan terus membesarkan generasi kanak-kanak yang akan hidup dalam ketakutan yang berterusan!
Dan saya tidak akan berbuat demikian. Adakah anda bersetuju dan berasa begitu juga?
Rencana diterjemahkan daripada Scary Mommy.
Baca juga:
Bagaimana Saya Menjadi Seorang Ibu Yang Tenang
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!