Hidung berdarah ketika mengandung antara perkara yang perlu ibu hamil beri perhatian sekiranya terjadi pada diri mereka.
Ini kerana ia mungkin masalah kecil tetapi boleh menjadi masalah besar kepada ibu dan bayi jika ia dibiarkan.
Ia sama juga dengan kes hidung berdarah bagi anak-anak kecil atau sesiapa saja, ia bukanlah perkara yang boleh dipandang remeh dan dianggap biasa-biasa saja.
Hidung berdarah ketika mengandung, ibu perlu peka
Ia memang menjengkelkan, tetapi hidung berdarah sebenarnya adalah normal semasa mengandung, terutamanya mulai trimester kedua.
Hormon kehamilan progesteron dan estrogen menyebabkan pembuluh darah anda terbuka semakin luas atau membesar. Pada masa yang sama, bekalan darah dalam badan yang bertambah memberi tekanan kepada urat halus pada hidung.
Lapisan lembab atau membran mukus di dalam hidung anda juga akan membengkak dan menjadi kering.
Ia biasanya berlaku terutamanya apabila cuaca sejuk dan kering. Ini menyebabkan pembuluh darah di dalam hidung anda lebih senang untuk terbuka dan pecah, menyebabkan pendarahan kecil.
Jangan panik, anda boleh selesaikannya
Apakah langkah yang perlu dilakukan? Menurut seorang doktor telinga, hidung dan tekak, Dr Ezairy M Sallih, anda boleh lakukan langkah penting di bawah
- Duduk dalam keadaan menegak dan tunduk ke depan secara membongkok. Bernafas melalui mulut.
- Picit bahagian bawah hidung yang lembut selama 15 minit.
- Letakkan ketulan ais dipangkal hidung atau dahi untuk mengurangkan pengaliran darah dibahagian tersebut.
- Lepaskan picitan pada hidung. Selepas 5 minit periksa sama ada pendarahan telah berhenti atau tidak.
- Jika pendarahan masih berlaku, ulang langkah di atas.
- Jika pendarahan masih berterusan segeralah berjumpa doktor. Anda akan dibantu
Bagi menghalang pendarahan berlaku semula dalam masa 12 jam berikutnya, elakkan daripada:
- Menggerakkan kepala lebih rendah daripada paras jantung anda
- Melakukan kerja-kerja berat
- Menghembus hidung
Apakah yang boleh saya lakukan untuk mengelak hidung berdarah?
Berikut adalah beberapa perkara yang boleh anda cuba:
- Jangan biarkan hidung anda kering. Semasa cuaca sejuk dan kering, sapukan gel petroleum pada bahagian hujung hidung anda.
- Berlembutlah dengan hidung anda! Jangan korek hidung, hembus dengan perlahan dan hanya apabila anda betul-betul perlu menghembus. Hembusan yang kuat boleh menyebabkan hidung berdarah.
- Minum lebih air untuk mengelakkan kesemua tisu badan anda termasuk membran mukus daripada menjadi ternyahhidrat.
Bilakah anda perlu berjumpa doktor?
- Hidung anda kerap berdarah
- Hidung anda berdarah dengan banyak
- Hidung anda berdarah dan tidak berhenti selepas anda memberi tekanan hidung selama 20 minit
Mungkin agak tidak selesa jika terpaksa ke hospital atau klinik dengan hidung yang sedang berdarah. Namun sebaik sahaja anda tiba, doktor mungkin akan menggunakan kain kasa atau span khas untuk membungkus hidung anda.
Ini akan memberi tekanan ke atas pembuluh darah dan menghentikan pendarahan. Bungkusan itu akan berada di dalam lubang hidung anda buat seketika dan anda perlu berjumpa doktor semula untuk mengeluarkannya.
Walaupun ia adalah sesuatu yang menjengkelkan, pendarahan hidung hanyalah masalah sementara yang akan hilang selepas anda melahirkan.
Elak stres ketika hamil
Ketika hamil, memang diakui banyak perkara yang tidak pernah anda alami akan dialami ketika anda sedang mengandungkan bayi.
Jika ketika tidak mengandung anda tidak pernah sekalipun mengalami pendarahan hidung, boleh jadi apabila mengandung anda akan mengalaminya.
Apa yang penting jangan panik atau stres kerana ketika hamil sistem badan seseorang akan berubah dan ada perkara yang tidak pernah dialami sebelum ini mungkin akan dilalui oleh ibu hamil.
Banyakkan membaca atau bertanya kepada yang lebih berpengalaman supaya anda tidak terlalu panik untuk menghadapinya. Biasanya akan akan kembali normal setelah anda selamat melahirkan.
Jadi nikmatilah 9 bulan baharu anda ini dengan tenang dan jika ada yang serius teruslah merujuk kepada doktor.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman The Asianparent Malaysia
Sumber: Dr Ezairy M Sallih, babycenter
Baca juga:
https://my.theasianparent.comnajis-bayi-berlendir-dan-berdarah
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!