Hubungan intim adalah salah satu cara untuk meluahkan rasa cinta antara pasangan suami isteri. Namun, apakah hukum isteri tolak ajakan suami untuk bersama? Adakah dia akan dilaknat oleh malaikat?
Ada banyak sebab kenapa seorang isteri boleh menolak ajakan berhubungan seks dari suami. Antaranya seperti sakit, penat, tiada mood dan lain-lain.
Isi Kandungan
Hukum Isteri Tolak Ajakan Suami Untuk Bersama
Bagi sesetengah pasangan suami isteri, menolak ajakan untuk “bersama” mungkin akan menyebabkan pasangan ragu-ragu tentang komitmen dan rasa cinta anda.
Jika isteri menolak ajakan suami, pasti ego suami itu akan tercalar, dan mereka menganggap ia terjadi kerana mereka tidak menarik lagi.
Banyak kaum muslimin yang cuma memandang sesuatu isu hanya berorientasikan pada sisi hukum. Sebaliknya, kita lupa untuk memerhatinya dari segi maqosid syariah (tujuan hukum itu).
Dipetik dari laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan sendiri, mufti berpendapat, seorang isteri wajib mentaati suaminya, tapi biarlah berlandaskan perkara ma’ruf.
Isteri dilarang menafikan hak suami ke atas dirinya, bahkan menolak permintaan suami untuk bersetubuh dengan memberi helah adalah berdosa besar melainkan pada keuzuran syarak seperti ketika haid, nifas, keadaan zihar, sakit dan ketika ihram.
Tambahan pula, bersetubuh merupakan hak bersama di antara suami isteri. Jadi, jika anda ingin menolak sebarang ajakan, sebaiknya anda berbincang dan bersepakat sama-sama tanpa perlu berbohong.
Tolak Ajakan Suami Tanpa Sebab Mengikut Ustaz Azhar Idrus
Soalan: Apakah hukum isteri tolak hubungan bersama suami?
Jawapan: Haram tanpa sebab. Orang perempuan bila dia sihat dan tidak sakit apabila diajak bersama hendaklah ditunaikan. Ada riwayat walaupun sedang duduk di belakang unta. Maksudnya, walaupun apa jua pekerjaan yang isteri tengah lakukan pada ketika itu dan suami mengajak bersama, datang segera untuk bersama dengan suami. Itulah yang dipanggil isteri solehah.
Dalil Tentang Menolak Hubungan Intim
Seorang isteri baru-baru ini meluahkan isi hatinya di komuniti theAsianparent mendedahkan penderitaan yang dialaminya kini. Menurut wanita itu, suaminya menganggap hubungan intim sebagai “token” untuk mengugutnya.
“Jika saya nak sesuatu, suami akan menggunakan seks sebagai “token” untuk meminta saya patuh padanya. Malah, dia juga pernah mengugut untuk menceraikan saya jika saya tak patuh dengan permintaannya. Masalahnya, suami saya meminta seks hampir setiap hari, dan dia tak kisah sama ada saya sakit, penat atau tiada mood! Menurut suami, hukum menolak ajakan suami untuk “bersama” adalah haram!”
Kasihan dengan penderitaan yang dialami oleh wanita ini, kami di theAsianparent meminta pendapat dan pandangan beberapa ustaz tentang isu hukum menolak ajakan suami ini.
Menurut ustaz Muchsinin Fauzi, memang benar ada hadis yang menjelaskan apa hukumnya jika isteri menolak “ajakan” suami. Hadis tersebut berbunyi
Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
إِذَا دَعَا الرَّجُلُ امْرَأَتَهُ إِلَى فِرَاشِهِ فَأَبَتْ فَبَاتَ غَضْبَانَ عَلَيْهَا لَعَنَتْهَا المَلاَئِكَةُ حَتَّى تُصْبِحَ
Maksudnya: “Apabila seorang suami mengajak isterinya ke katil dengan tujuan untuk bersama, lalu isteri itu menolaknya.
Maka suami tersebut tidur dalam keadaan marah dengan isterinya. Dengan itu, para malaikat akan melaknatnya (isteri) sehinggalah dia bangun (daripada tidurnya) pada waktu pagi.” [Riwayat al-Bukhari (3237)(5193)]
Akan tetapi, hukum dasarnya rumah tangga itu dibangunkan atas dasar taat pada hukum dan muasyaraoh bilma’ruf di antara mereka.
Muasyaraoh bilma’ruf di sini bermaksud memperlakukan pasangan dengan penuh kemuliaan.
Dan perlakukanlah istri dengan cara ma’ruf” (QS an-Nisa:19), “Bagi wanita berhak mendapatkan perlakuan ma’ruf, sebagaimana ia wajib memperlakukan suaminya dengan ma’ruf ” (QS al-Baqaroh:228).
Maksudnya di sini, dari kaca mata hukum menolak ajakan suami, seorang isteri haruslah tetap melayan suami dan patuh pada suami, termasuklah dalam hal hubungan kelamin.
Akan tetapi, suami juga haruslah memperlakukan isterinya dengan ma’ruf iaitu dengan penuh kebaikan dan penghargaan. Jika suami memaksa isteri berhubungan intim dengannya ketika dia sakit, bukankah tindakan itu dianggap kurang ma’ruf?
Apatah lagi dengan ancaman penceraian. Berikut antara perintah dari Rasulullah SAW tentang etika dan tata cara berhubungan intim antara suami isteri:
“Jika seseorang di antara kalian menggauli istrinya, maka hendaknya ia bershodaqah kepadanya. Jika ia telah menunaikan kebutuhannya maka hendaklah jangan terburu-buru sampai istrinya menunaikan kebutuhannya (HR Abu Ya’la, lihat majmauzzawaid 4/295). Ini semua dimaksudkan agar hubungan pasangan itu ma’ruf .
Sebab-Sebab Yang Dibolehkan Isteri Menolak Suami
Seorang isteri boleh menolak ajakan suami untuk bersama apabila terdapat keuzuran tertentu yang dibenarkan oleh syarak. Antaranya ialah:
1. Datang Haid Atau Nifas
Dalam Islam, isteri yang sedang haid atau dalam tempoh nifas tidak dibenarkan untuk melakukan hubungan intim.
Allah SWT berfirman dalam surah Al-Baqarah, ayat 222 yang bermaksud:
وَلَا تَقْرَبُوهُنَّ حَتَّىٰ يَطْهُرْنَ
Maksudnya: “Dan janganlah kamu hampiri mereka (untuk bersetubuh) sebelum mereka suci.”
2. Sakit
Jika isteri mengalami masalah kesihatan atau keletihan yang teruk sehingga tidak mampu dari segi kudrat dan tenaga batin, menolak ajakan suami adalah dibolehkan kerana keadaan fizikal yang tidak mengizinkan.
3. Penat Atau Letih
Isteri yang keletihan akibat kerja atau urusan harian juga dibolehkan menolak ajakan suami untuk menjaga kesejahteraannya.
4. Sedang Mengerjakan Ibadah Wajib
Isteri yang sedang melaksanakan ibadah wajib seperti solat fardhu dan puasa fardhu dibolehkan untuk menolak ajakan suami. Ini berlandaskan kepada sebuah hadis Rasulullah SAW:
إِذَا صَلَّتِ الْمَرْأَةُ خَمْسَهَا، وَصَامَتْ شَهْرَهَا، وَحَصَّنَتْ فَرْجَهَا، وَأَطَاعَتْ زَوْجَهَا، قِيْلَ لَهَا أُدْخُلِي الْجَنَّةَ مِنْ أَيِّ أَبْوَابِ الْجَنَّةِ شِئْتِ
Maksudnya: “Jika wanita mengerjakan solat lima waktu, berpuasa di bulan Ramadhan, memelihara kemaluannya, dan mentaati suaminya, maka dikatakan kepadanya (pada hari Kiamat): ‘Masuklah ke dalam Syurga dari pintu mana pun yang kamu mahu.” (Riwayat Ahmad (1664), Ibn Hibban (1296) dan al-Bazzar (7480).
5. Hubungan Intim Yang Mudarat
Jika suami bersikap kasar, zalim, atau tidak menghormati ister atau sekiranya berhubungan boleh membawa mudarat atau kesakitan pada isteri maka isteri dibolehkan menolak ajakan suami sebagai langkah menjaga maruah dan keselamatan diri.
Antara perkara yang paling penting dalam hubungan seks ini adalah adab dan hukum-hukum yang perlu dirai. Ini supaya tidak terjadinya kezaliman.
Jadi, suami tidak seharusnya “mengugut” isteri atau menyalahkan isteri jika mereka menolak ajakan suami. Sebaliknya, cuba cari kenapa isteri dingin seks.
Salah satu sebab utama kenapa isteri menolak ajakan suami untuk bersama adalah kerana halangan emosi atau mental. Ini menyebabkan mereka “hilang minat” dengan hubungan seks.
Maka jika anda mengalami situasi yang sama, cubalah bawa berbincang dengan pasangan. Mungkin anda boleh menetapkan batas berapa kali hendak berhubungan dalam masa sebulan.
Sebenarnya, jarang melakukan hubungan seks bukan bermaksud perkahwinan anda bermasalah. Tapi perkahwinan anda bermasalah jika anda tidak boleh langsung mengatakan TIDAK pada hubungan seks.
Renung-renungkanlah.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Hukum Isteri Minta Cerai Daripada Suami Mengikut Pandangan Mufti
Baca juga: Morning Sex Sebaik Sahaja Bangun Tidur, Rupanya Pasangan Lebih Ghairah & Tahan Lama!