Tiada pasangan yang berkahwin mahukan perceraian. Namun jika sudah ditakdirkan dan jodoh tidak panjang ia mungkin terjadi juga. Jadi apakah hukum isteri minta cerai daripada suami? Kami kongsikan padangan daripada Jabatan Mufti Pulau Pinang.
Hukum Isteri Minta Cerai
Apakah hukumnya isteri minta cerai daripada suami walaupun si suami sudah insaf daripada kesalahan masa lalu?
“Tidak boleh bagi seorang isteri meminta cerai daripada suaminya tanpa sebab Syar’ie. Daripada Thauban RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Mana-mana isteri yang meminta cerai daripada suaminya tanpa alasan, maka haram baginya bau syurga.” Riwayat al-Tirmidzi (1187)
Hadis di atas menjadi dalil bahawa seorang wanita dilarang untuk meminta cerai atau melakukan ugutan cerai kecuali jika ada alasan dibenarkan.
Perlu diketahui bahawa hukum asal bagi penceraian (talak) adalah halal dalam Islam, tetapi makruh (yakni dibenci syarak). Ini berdasarkan hadis daripada Ibn Umar R.Anhuma bahawa Rasulullah
SAW bersabda: “Perkara halal yang paling dibenci Allah adalah talak.” Riwayat Abu Daud (2178)
Keadaan Harus Untuk Isteri Meminta Cerai
Foto: iStock
Namun syarak mengharuskan bagi isteri meminta cerai apabila berlaku sesuatu keadaan yang tidak dapat dielak atau yang boleh menyebabkan berlakunya mudarat kepada isteri seperti:
- Nafkah – Kegagalan suami menyediakan hak isteri seperti nafkah, pergaulan yang baik dan tempat tinggal yang stabil. Isteri yang tidak diberikan hak yang disebutkan itu boleh memilih sama ada bersabar atau memohon perpisahan. [Rujuk al-Mughni oleh Ibn Qudamah, jld.8, hlm.204]
- Layanan buruk – Suami itu menghina isterinya dengan memukulnya tanpa sebab yang sah, melaknatnya dan memaki hamunnya dengan bahasa kesat. Ini termasuklah memboikotnya tanpa alasan syarak, memukulnya dan memaki seperti mengatakan, ‘engkau anak anjing’, ‘engkau anak laknat’, ‘engkau anak kafir’ dan sebagainya. [Rujuk; Hashiah al-Dusuki ‘ala al-Sharh al-Kabir, jld.2, hlm. 345]
- Musafir – Suami suka bermusafir lama seperti enam bulan dan isteri itu takut dirinya tidak dapat mengawal fitnah, yakni keperluan syahwatnya. Imam Ahmad pernah ditanya berapa lama seorang suami boleh meninggalkan isterinya kerana musafir? Jawabnya: enam bulan. [Rujuk; al-Mughni oleh Ibn Qudamah, jld.7, hlm. 305]
- Suami dipenjara – Suami dipenjarakan dalam suatu tempoh masa yang lama dan isterinya menderita kerana darar akibat perkara itu dan menuntut cerai. Pendapat Malikiyyah menunjukkan menuntut cerai itu dibolehkan kerana dianggap hilang tanpa uzur selama setahun. [Rujuk; Mausu’ah al-Kuwaitiyyah, jld. 29, hlm. 67].
- Suami mandul – Suami mandul, tiada daya seksual, atau sakit berbahaya dan seumpama dengannya.
- Suami fasiq – Melakukan perkara syirik, tidak solat dan berpuasa dan isteri telah bersabar lama setelah menasihatinya. Sheikh Ibn Uthaimin pernah ditanya tentang isteri yang meminta cerai daripada suami yang penagih dadah kerana takut pengaruh buruknya kepada keluarga. Sheikh menjawab menuntut cerai itu dibolehkan.
- Benci – Timbul kebencian melampau dalam hati isteri walaupun tidak diketahui puncanya. Berkata Sheikh Jibrin: “Keadaan seperti ini sunat bagi suami itu menceraikannya jika dia melihat daripada keadaan kegagalan si isteri itu menahan diri, bersabar yang mana membawa kepada cerai khulu’ kerana permintaan cerai itu berpunca daripada kegelisahan dalam hatinya dan tiada dosa atas demikian itu.”
- Larang jumpa keluarga – Si suami menghalang isterinya daripada berjumpa keluarganya khususnya ibu bapanya sendiri.
Kesimpulannya, seorang isteri boleh minta cerai daripada suaminya jika memiliki sebab yang sah dari sudut syarak, kuat lagi munasabah.
Di theAsianparent Malaysia, penting bagi kami untuk membekalkan anda maklumat yang betul, penting dan tepat pada masanya. Tetapi ini tidak berfungsi sebagai alternatif untuk nasihat perubatan atau rawatan perubatan. theAsianparent Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap mereka yang memilih untuk mengambil ubat berdasarkan maklumat daripada laman web kami. Jika anda mempunyai sebarang keraguan, kami mengesyorkan agar anda berunding dengan doktor anda untuk mendapatkan maklumat yang lebih jelas.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Hukum Menceraikan Isteri Ketika Hamil, Adakah Lafaz Talak Suami Itu Sah? Ini Jawapan Mufti
Baca juga: “Bersabar Sampai Bila? Saya Lebih Bahagia Lepas Dicerai Talak Tiga Suami Tak Guna”
Baca juga: Sudah Ada Yang Lain, Tapi Tidak Mahu Lepaskan, 5 Sebab Ini Suami Enggan Lafaz Cerai
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!