Hukum Solat Selepas Air Ketuban Pecah, Perlu Solat Atau Tidak? Ini Penjelasan Pejabat Mufti

Apakah hukum solat selepas air ketuban pecah? Ramai tertanya adakah solat masih wajib ketika ini kerana ada darah dan lendir yang keluar.

Loading...
You got lucky! We have no ad to show to you!
Iklan

Apabila tanda bersalin muncul, ada dalam kalangan anda yang mengalami air ketuban pecah. Ada juga yang mengalami lendir darah keluar sebelum bermula episod kesakitan kontraksi. Pasti ada yang tertanya-tanya, sekiranya lendir darah yang keluar sebagai tanda awal proses kelahiran, adakah masih perlu solat seperti biasa? Apakah hukum solat selepas air ketuban pecah?

Bagi merungkai kepada persoalan ini, berikut merupakan penjelasan dari pejabat Mufti Wilayah Persekutuan supaya perkara yang wajib ini tidak ditinggalkan walaupun tengah mengalami kesakitan.

Darah Fasad Bukan Darah Haid

Darah yang keluar kerana sakit hendak beranak ini dinamakan dam al-thalaq iaitu darah sakit hendak bersalin.

Menurut pendapat yang paling sahih dalam mazhab Syafie, darah yang keluar daripada faraj wanita sebelum beranak bukanlah dalam kategori darah haid atau darah nifas tetapi ia adalah darah fasad. Ini juga adalah pandangan ulama’ mazhab Hanafi dan Hanbali.

Berkata Imam al-Nawawi: “Dan darah yang kelihatan (keluar) kerana al-thalaq (kesakitan beranak) itu bukanlah darah nifas dan bukan juga darah haid mengikut pendapat yang sahih”

Berkata Imam Ibnu Hajar al-Haitami: “Darah ini tidak dinamakan darah haid atau darah nifas kerana ia merupakan kesan daripada kesakitan hendak beranak. Dan juga tidak dinamakan darah nifas kerana darah tersebut keluar sebelum kelahiran sepenuhnya anak tersebut yakni darah itu keluar bersama keluarnya anak. Jadi kedua-dua darah tersebut ialah darah yang keluar semasa sakit hendak beranak dan darah yang keluar bersama kelahiran anak adalah dam al-thalaq (darah rosak) kecuali sekiranya darah tersebut berhubung dengan darah haid yang sebelumnya, maka ia dihukumkan darah haid (sekiranya menepati syarat-syarat haid)”

Loading...
You got lucky! We have no ad to show to you!
Iklan

Justeru, di sisi mazhab Syafie hukum darah yang keluar sebelum bersalin ialah darah fasad (rosak) dan bukannya darah haid atau darah nifas. Namun, sekiranya darah tersebut bersambung dengan darah haid sebelum itu dan mencukupi syarat-syarat darah haid maka ia dianggap darah haid kerana wanita yang hamil juga didatangi haid menurut pandangan yang sahih dalam mazhab syafie.

Oleh itu, hukum solat selepas air ketuban pecah adalah seperti hukum orang yang beristihadhah iaitu wajib bagi wanita tersebut membersihkan diri daripada najis, berwudhuk dan mengerjakan solat seperti biasa. 

Bersuci Sebelum Solat

Di sisi mazhab Syafie, hukum air ketuban adalahnajis dan boleh membatalkan wudhuk.  Maka wanita itu perlu bersuci terlebih dahulu untuk menghilangkan najis tersebut dan berwudhuk seperti biasa sebelum solat jika air ketubannya sudah kering.

Loading...
You got lucky! We have no ad to show to you!
Iklan

Namun sebegitu, sekiranya air ketuban itu berterusan keluar, maka hukumnya adalah seperti hukum istihadhah, maka diwajibkan bagi para wanita menjaga beberapa perkara sebelum menunaikan solat sebagaimana yang telah disebutkan sebelum ini.

Justeru, wajib bagi orang yang beristihadhah atau orang mengambil hukum istihadhah melakukan perkara berikut sebelum menunaikan solat:

  • Membasuh faraj.
  • Menyumbat faraj dengan kapas atau seumpamanya supaya darah tidak menitis keluar.
  • Wajib membalut faraj dengan kain atau seumpamanya  yang boleh menahan darah daripada mengalir keluar.
  • Bersuci dengan  berwudhuk atau bertayammum.

Cara Mengerjakan Solat Ketika Kontraksi

Oleh itu, tetap diwajibkan ke atas wanita untuk menunaikan solat ketika dia sakit hendak bersalin, walaupun setelah keluar air ketuban atau darah daripada faraj sebelum beranak kerana darah itu dihukumkan sebagai darah rosak.

Loading...
You got lucky! We have no ad to show to you!
Iklan

Sekiranya dia tidak mampu untuk solat secara berdiri, maka solat secara duduk, sekiranya tidak mampu maka solat secara mengiring di atas lambung kanan, sekiranya tidak mampu maka solat secara berbaring menelentang dan sekiranya tidak mampu maka solat melalui isyarat mata.

Namun begitu, sekiranya keadaannya sangat sakit sehingga tidak mampu untuk mengerjakan solat, maka wajib ke atas wanita itu menqadha’ solatnya kelak.

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia

Baca juga : Kontraksi Palsu (Braxton Hicks): Tanda, Beza Kontraksi Betul & Palsu, Berapa Lama Terjadi

Baca juga : Suami, lakukan benda INI ketika ingin bantu isteri bersalin, ia kurangkan sakit kontraksi!

Baca juga : Cara Buat Air Selusuh Untuk Mudah Bersalin, Ibu Boleh Minum Ketika Mula Rasa Kontraksi

Loading...
You got lucky! We have no ad to show to you!
Iklan

Penulis

Nursyamimi