Berat mata yang memandang, berat lagi bahu yang memikul. Bila berkait ibu bapa sesiapa saja akan mudah tersentuh hati. Tidak terkecuali seorang anggota polis ini yang tidak dapat menahan sedih ketika sedang bertugas apabila menerima panggilan ibu bapanya terpaksa ditidurkan setelah dijangkiti Covid-19.
Tidak dapat menahan sedih, dia dilihat menangis selepas mendapat perkhabaran menyedihkan itu melalui panggilan telefon.
Mungkin memikirkan sama ada ibu bapanya akan dapat berjuang melawan virus jahat ini atau sebaliknya menyebabkan air mata anggota ini tumpah ketika sedang bertugas.
Dapat panggilan ibu bapa terpaksa ditidurkan, anggota polis terus menangis
Perkara berkait ibu bapa memang sesuatu yang amat dekat di hati. Jadi apabila sesuatu yang tidak pasti berlaku, ia boleh menyebabkan emosi seseorang itu terganggu.
Tidak kira lelaki atau wanita, mereka tetap mempunyai perasaan yang tidak dapat dibendung jika terlalu sedih. Menerima panggilan insan tersayang akan ditidurkan bagi bertarung dengan Covid-19 bukan perkara main-main.
Semoga anggota polis ini tabah dan ibu bapanya segera sembuh seperti sedia kala.
Proses ditidurkan bukanlah pilihan, tetapi ia antara hidup, mati
Menerusi artikel yang dikongsikan Berita Harian, Ketua Jabatan Anestesiologi, Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Prof Dr Ina Ismiarti Shariffuddin, berkata prosedur bius untuk menidurkan pesakit Covid-19 dan pesakit diminta mengucapkan kalimah syahadah bukan menandakan seseorang itu nazak atau tiada harapan hidup.
Katanya, pesakit yang ditempatkan di ICU atau unit rawatan rapi sememangnya kritikal, sebagai satu cara merawat dengan ditidurkan untuk memberikan bantuan pernafasan.
Di dalam Islam memang umatnya disuruh mengucap sebelum tidur. Tidak semua pesakit Covid-19 ‘ditidurkan’ kerana banyak kriteria diambil perhatian, sebelum pakar buis memutuskan tindakan lanjut dalam memberikan rawatan.
Pesakit Covid-19 ini boleh dikategorikan kepada kategori satu hingga lima. Kategori satu bagi pesakit tidak bergejala, dua yang mempunyai gejala, ketiga ada gejala dan jangkitan kuman dalam paru-paru atau pneumonia.
Kategori keempat yang menghidap pneumonia teruk dan memerlukan oksigen. Kategori lima, pesakit kritikal yang mengalami kegagalan organ.
Kebiasaan pesakit yang dirujuk ke ICU adalah kategori empat atau lima, iaitu keperluan oksigen mereka lebih daripada biasa dan memerlukan pemantauan lebih rapi.
Pesakit Covid-19 kategori 4,5
Selalunya pesakit diberikan bius untuk koma atau ditidurkan adalah pesakit Covid-19 kategori empat atau lima, apabila mereka mengalami kegagalan pelbagai organ seperti kegagalan paru-paru yang teruk dan tidak boleh mencapai tahap oksigen yang cukup.
Selain pesakit Covid-19 itu jika mengalami kegagalan jantung atau buah pinggang.
Untuk menentukan pesakit kategori empat dan lima dibius untuk koma ialah apabila tahap oksigen pesakit rendah dan mengalami kegagalan pernafasan atau respiratory failure.
Ini berlaku apabila tahap oksigen di dalam darah sangat rendah, kurang dari 92 peratus (walaupun sudah diberi bantuan oksigen), tahap karbon dioksida di dalam sangat tinggi atau pesakit tercungap-cungap dan kepenatan berikutan kadar pernafasan pesakit terlalu tinggi.
Jika tidak diberi sebarang bantuan pernafasan, penurunan oksigen akan berlaku dengan cepat, hingga pesakit boleh mengalami komplikasi dan mengakibatkan kesan yang buruk kepada pesakit yang mana kadar ideal oksigen di dalam badan adalah melebihi 95 peratus.
Ia menyakitkan, sebab itu perlu ditidurkan elak trauma pada paru-paru
Covid-19 lebih berbahaya kepada golongan berusia, penghidap obesiti, perokok, pesakit paru-paru kronik, pesakit diabetes, jantung dan pesakit ada penyakit kronik lain.
Pesakit mendapat bekalan oksigen yang rendah (hypoxia) boleh mengakibatkan kegagalan organ misalnya, otak yang gagal berfungsi atau dipanggil hypoxic ischaemic encephalopathy.
Justeru, kita perlu memastikan oksigen sampai ke otak secepat mungkin kerana jika oksigen dalam keadaan rendah, kepenatan dan lama-kelamaan pesakit akan berhenti bernafas.
Masa itu mungkin boleh pesakit boleh meninggal dunia, jika tidak berbuat apa-apa. Pada saat kritikal pesakit perlu ditidurkan dan diintubasi. Ia ditidurkan semasa pesakit dimasukkan tiub pernafasan ke saluran trakeanya. Tiub pernafasan yang berada dalam saluran trakea adalah menyakitkan.
Jika tidak ditidurkan, pesakit tidak selesa dan akan melawan proses ventilasi, ini menyebabkan trauma kepada paru-paru.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Apa Patut Buat Bila Anak Positif Covid-19? Ini 6 Cara Jaga Kesihatan Mereka Elak Jadi Lebih Teruk
Baca juga: AIA Malaysia Tawar Kanak-Kanak & Ibu Hamil Perlindungan Pendapatan Hospital COVID-19 Percuma!
Baca juga: Ibu Hamil Perlu Divaksin Untuk Mengurangkan Risiko COVID-19