Dalam situasi yang tegang sekarang, kita semua hanya mengharapkan pandemik COVID-19 ini berakhir secepat mungkin agar kehidupan kembali normal walaupun normal mungkin tidak sama lagi dengan apa yang kita lalui dahulu.
Bahkan paling membimbangkan dengan situasi sekarang adalah risiko jangkitan terhadap wanita hamil. Ini kerana ada sesetengah wanita hamil amat gusar dan takut untuk mendapatkan vaksin kerana bimbang kebarangkalian ia akan memberi kesan kepada diri mereka dan kandungan.
Namun begitu, kami di theAsianparent percaya bahawa setiap individu perlu memainkan peranan mereka dan dapatkan vaksin bagi membentuk imuniti kelompok. Kami bertanya pendapat Dr. Premitha Damodaran, Ketua Jabatan Perbidanan dan Sakit Puan, Hospital Pantai Kuala Lumpur (PHKL) mengenai perihal ini.
Ada Ibu Hamil Takut Untuk Dapatkan Vaksin Semasa Pandemik COVID-19
Peningkatan catatan kes COVID-19 di seluruh negara membimbangkan Dr. Premitha Damodaran, Ketua Jabatan Perbidanan dan Sakit Puan, Hospital Pantai Kuala Lumpur (PHKL). Dengan pengalaman lebih daripada 25 tahun, beliau sendiri mengakui belum pernah melalui pandemik yang serius seperti COVID-19 dan menggesa supaya ibu hamil mendapatkan vaksin dalam tempoh antara Minggu 14 dan Minggu 33 kehamilan.
Sejak akhir-akhir ini terdapat desas-desus dalam kalangan ibu hamil yang terlalu takut untuk mendapatkan vaksin COVID-19.
Walaupun Menteri Penyelaras Program Imunisasi Kebangsaan, Yang Berhormat Saudara Khairy Jamaluddin telah membuat pengumuman tentang vaksin Pfizer sebagai pilihan vaksin yang sesuai untuk golongan ibu hamil dan menyusukan, Dr. Premitha masih menerima pelbagai soalan daripada pesakitnya tentang keselamatan vaksin tersebut terhadap kandungan mereka.
“Apabila seorang wanita hamil, tubuhnya mengalami perubahan drastik untuk disesuaikan dengan kesihatan dan keselamatan bayi dalam kandungannya. Tahap imuniti si ibu menurun dan si ibu mudah terdedah pada pelbagai jenis penyakit,” katanya.
“Secara umumnya, seorang ibu hamil digalakkan untuk mengambil vaksin influenza dan Tdap untuk melindungi dirinya daripada influenza, kancing gigi, difteria dan batuk kokol (whooping cough)”. Batuk kokol adalah sejenis penyakit mudah berjangkit yang boleh meningkatkan risiko kematian dalam kalangan bayi baharu lahir.
Menurut Dr. Premitha, vaksin batuk kokol yang juga dikenali sebagai pertussis itu lazimnya diberikan kepada bayi selepas 3 bulan kelahiran.
Oleh itu, si ibu perlu diberikan vaksin Tdap untuk memastikan antibodi yang dibina dalam badan boleh disalurkan kepada bayi untuk memberikan perlindungan jangka pendek sementara menantikan vaksinasi tersebut.
“Sebenarnya, golongan ibu sudah lama menerima vaksin sepanjang kandungan untuk menjamin kelahiran bayi yang sihat dan terlindung daripada penyakit. Buat masa ini, kita perlu memastikan ibu-ibu ini mendapatkan vaksin COVID-19 kerana penyakit tersebut telah terbukti lebih berbahaya berbanding penyakit lain,” kata Dr. Premitha.
“Dalam kes positif COVID-19 yang melibatkan ibu hamil, kategori klinikal penyakit tersebut boleh bertambah serius dalam masa singkat berbanding individu lain. Sekiranya mereka yang tidak hamil masih boleh dikuarantinkan di rumah bagi Kategori 1 atau 2, keadaan ibu hamil boleh melarat dengan cepat kerana rahim ibu yang mengembang mengikut tempoh kehamilannya khususnya selepas memasuki bulan ke-4 memberi impak terhadap paru-paru si ibu. Sebab itu, ibu hamil yang disahkan positif sering kali ditahan di hospital untuk perhatian lanjut sehingga betul-betul sembuh”.
“Sebagai Perunding Perbidanan & Sakit Puan, antara tanggungjawab kami adalah untuk memastikan semua ibu menikmati pengalaman kehamilan yang mudah dan menggembirakan. Namun, sejak pandemik ini melanda, kami perlu bekerja lebih keras supaya ibu-ibu ini dapat melahirkan bayi mereka dengan selamat,” tambahnya.
Bercerita tentang kesan sampingan vaksin COVID-19 yang merisaukan, Dr. Premitha meyakinkan golongan ibu hamil bahawa kesan selepas vaksinasi seperti rasa lenguh, pening kepala, mual dan demam boleh dirawat dan tidak mendatangkan mudarat kepada ibu dan bayi kerana kesan tersebut akan hilang dalam masa terdekat.
Sekiranya perlu, doktor akan memberikan ubat paracetamol untuk ibu hamil menangani kesan sampingan tersebut. “Jangan keliru kesan ini dengan kesan alahan. Alahan boleh mengakibatkan serangan kejutan (anaphylactic shock) sehingga muka bengkak dan sukar bernafas,” katanya.
“Kita perlu cuba bertahan dengan rasa kurang selesa selepas divaksinkan kerana dalam tempoh hamil, kesihatan ibu adalah yang paling mustahak. Tanpa ibu yang sihat dan bebas penyakit, bagaimana bayi yang sihat dapat dilahirkan?”
“Terbaharu, kita sudah selesai Fasa Satu Program Imunisasi Kebangsaan yang melibatkan antara 80 hingga 90% kakitangan kesihatan seluruh negara. Kini, hospital adalah antara tempat paling selamat untuk anda. Oleh itu, jangan takut untuk datang ke hospital dan berbincang dengan doktor anda tentang sebarang isu melibatkan kehamilan dan vaksin COVID-19,” jelas Dr. Premitha.
“Malah, kakitangan kesihatan yang hamil juga digalakkan untuk mengambil vaksin. Sehingga kini, mereka juga tidak mengalami apa-apa isu berkaitan pandemik COVID-19 sepanjang kehamilan mereka. Para ibu perlu mendapatkan maklumat yang tepat daripada sumber sahih dan tidak mudah terpedaya oleh sebaran di media sosial kerana setiap kehamilan adalah unik. Sebab itu ibu-ibu perlu mendapatkan nasihat daripada doktor tentang menghadapi kehamilan sepanjang tempoh pandemik”.
Antara lain, Dr. Premitha menasihatkan golongan suami untuk memainkan peranan lebih proaktif dalam menjaga keselamatan isteri mereka yang sedang hamil. Para suami perlu mengambil langkah berjaga-jaga apabila keluar bekerja, membeli barang keperluan rumah dan melaksanakan tugas lain sebelum kembali ke rumah untuk bertemu keluarga mereka.
Penjagaan selepas kelahiran juga amat penting. “Walaupun kakitangan kesihatan boleh menawarkan suasana yang selamat untuk ibu dan bayi di hospital, cabaran sebenar adalah apabila si ibu dan bayi pulang ke rumah,” kata Dr. Premitha.
“Kami faham ahli keluarga, jiran tetangga dan rakan-rakan amat teruja untuk menyambut ketibaan ‘orang baharu’ dalam keluarga, tetapi dalam tempoh pandemik ini sebaiknya elakkan kedatangan pelawat yang mahu menyentuh bayi anda. Walaupun mereka nampak sihat pada mata kasarnya, sukar untuk kita membezakan individu sihat dengan individu yang tidak menunjukkan sebarang simptom COVID-19”.
Dengan ribuan kes baharu yang dicatatkan dalam negara setiap hari, Dr. Premitha berharap ibu hamil dan menyusukan akan terus mengikut SOP yang digariskan dan memilih untuk divaksinkan.
Semoga bermanfaat.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Aplikasi MySejahtera Kini Ada Ciri Baharu Untuk Kenal Pasti Ibu Mengandung & Menyusu
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!