Sudahlah hamil tujuh bulan, dikesan ada fibroid pula. Jadi dalam keadaan ini bolehkah ibu bersalin normal? Adakah ia boeh mendatangkan mudarat kepada ibu dan bayi?
Ibu-ibu hamil biasanya akan memilih untuk bersalin normal tetapi jika ada kecemasan dan perlu melahirkan secara caesarean atau pembedahan memang tidak dapat dielakkan.
Ia bagi menjamin keselamatan kedua-duanya sama ada si ibu atau bayi yang dikandung. Jadi jika anda dikesan ada fibroid ketika hamil, adakah bahaya dan masihkah ada peluang untuk bersalin normal?
Bolehkah ibu bersalin normal jika ada fibroid?
Fibroid adalah sejenis penyakit yang mana berlakunya pertumbuhan tisu-tisu yang tidak normal pada dinding rahim atau uterus. Penyakit fibroid ini menyerang wanita tanpa menunjukkan sebarang tanda seseorang itu menghidapnya.
Kebiasaannya mereka hanya mengetahui bahawa mereka menghidap penyakit tersebut pada peringkat fibroid tersebut telah membesar.
Fibroid biasanya terjadi pada wanita dalam lingkungan 30 hingga 50 tahun (usia reproduktif). Fibroid adalah satu ketumbuhan yang jinak atau benign tumor yang biasa pada rahim wanita.
Fibroid dan wanita hamil bukan mustahil
Malah, didapati lebih 20 hingga 25 peratus wanita mempunyai fibroid, wanita hamil juga tidak terkecuali daripada penyakit ini.
Menurut Pakar Perunding Sakit Puan dan Perbidanan, Dr. Ahmad Saifuddin Ahmad Yahaya, fibroid yang ada pada wanita hamil bukanlah satu perkara luar biasa kerana ibu hamil akan menghasilkan lebih estrogen yang mana ia akan menyebabkan fibroid tersebut menjadi aktif.
Selain itu, menurut Pakar Perunding Perbidanan, Sakit Puan & Fertiliti, Dr Maiza, katanya, sebilangan besar wanita tidak mengalami kesan merbahaya daripada fibroid semasa hamil.
Katanya, ‘rule of 1/3‘ bagi fibroid ketika hamil adalah:
- 1/3 mengecut
- 1/3 saiz kekal sama
- 1/3 membesar
Komplikasi yang boleh berlaku akibat fibroid ketika hamil
Katanya, komplikasi fibroid ketika hamil berkait rapat dengan saiz fibroid dan lazimnya melibatkan fibroid bersaiz lebih daripada 5 sentimeter. Beliau turut menerangkan komplikasi mengikut trimester yang mungkin boleh berlaku
#1. Trimester 1
- pendarahan vagina : 11 daripada 100 ibu
- sakit seperti senggugut : 59 daripada 100 ibu
- keguguran : 14 dari pada 100 ibu
#2. Trimester 2 & 3
- berlaku dalam 10 daripada 100 ibu hamil
- kelahiran pramatang (PTB)
- pecah air ketuban pramatang (PPROM)
- kedudukan bayi songsang/melintang (malpresentation)
- ‘red degeneration’ – apabila saluran darah tidak dapat memberikan oksigen yang cukup untuk fibroid, selnya mulai mati & boleh menyebabkan kesakitan
- kepala bayi tidak dapak masuk ke rongga pelvis kerana kedudukan fibroid, perlu lahir melalui Caesarean.
- rahim sukar menyecut selepas kelahiran menyebabkan tumpah darah (PPH)
Risiko tumpah darah boleh berlaku
Bagi ibu yang perlu menjalani pembedahan c-sec kerana kedudukan fibroid yang menghalang bayi, keputusan untuk membuang fibroid ketika c-sec bergantung kepada jenis atau lokasi fibroid.
Lazimnya pedunculated & subserosal fibroid boleh dibuang semasa c-sec. Bagi submucosal & intramural fibroid di mana ia tumbuh di lapisan dalam rahim
Kebanyakannya tidak dibuang semasa c-sec kerana risiko tumpah darah & terpaksa membuang keseluruhan rahim (hysterectomy) adalah tinggi.
Selepas habis pantang, ibu perlu rawatan susulan untuk memantau saiz fibroid. Lazimnya fibroid menyecut selepas habis pantang kerana hormon estrogen dan progesteron yang rendah selepas bersalin.
Jika hamil 7 bulan dan fibroid kekal 5 sentimeter dan kedudukan fibroid tidak menghalang kepala bayi untuk masuk ke rongga pelvis, lazimnya kehamilan akan berkembang dengan selamat.
Kebanyakan kes masih boleh bersalin secara normal dan langkah berjaga-jaga diambil selepas kelahiran untuk memastikan rahim kecut dengan baik agar tumpah darah tidak berlaku.
Jadi, untuk lebih kepastian adalah lebih baik ibu berjumpa sendiri dengan doktor dan dapatkan nasihat mereka yang pakar. Jangan cuba-cuba ambil keputusan sendiri tanpa mendapatkan saranan dari pakar.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman The AsianParent Malaysia
Sumber: Dr Maiza, mysonoworld
Kredit foto: hayber, mysonoworld
Baca juga: Fibroid Ketika Hamil: Panduan Padat Untuk Bakal Ibu Kali Pertama
Baca juga: Risiko & Tanda Cyst Ketika Hamil, Adakah Selamat Jika Ibu Melalui Proses Pembedahan?
Baca juga: 7 Punca Mengapa Anda Tidak Hamil Walaupun Ujian Kehamilan Positif