Sejak dari hari pertama kelahiran bayi, bahkan sebelum si manja keluar mengenali dunia lagi, kita telah membaca pelbagai artikel dan mengamalkan pelbagai tips dan cara untuk memastikan si manja tidak jatuh sakit. Tetapi, kita lupa bahawa kadang-kala, si ibu sakit secara tiba-tiba adalah perkara normal!
Secara logiknya, ibu bapa memang mudah jatuh sakit kerana terlalu bekerja keras. Apabila menjadi ibu bapa, anda memang tidak akan berhenti bekerja dan kami faham. Siang ke pejabat, malam hendak menguruskan rumah pula. Nak jaga diri sendiri pun tidak sempat. Macam mana tidak sakit?
Apabila sudah menghidapi demam dan/atau selesema, terutamanya bagi ibu-ibu yang menyusu badan, pasti akan timbul perasaan risau sekiranya anak pula dijangkiti sakit atau anda tidak dapat menguruskan mereka dengan baik.
Tapi, jangan risau. Kami ada beberapa solusi untuk anda cuba!
Bagaimana Menjaga Bayi Ketika Ayah dan Ibu Sakit
1# Pergi berjumpa doktor
Walaupun anda mungkin merasakan bahawa sakit anda tidaklah serius, wajar untuk anda mengambil langkah berhati-hati dengan mendapat nasihat seorang pakar terlebih dahulu. Tambahan pula, di musim pandemik ini, tiada istilah “terlalu berjaga-jaga”. Ianya adalah keputusan yang baik untuk bertemu doktor anda.
2# Jangan terlalu risaukan si manja
Kerisauan yang berlebihan akan membawa tekanan, dan ketika dalam keadaan sakit, tekanan adalah perkara terakhir yang anda perlukan! Sekiranya anda risau si manja akan berjangkit, ketahuilah bahawa asalkan anda mengamalkan kebersihan dan tidak terlalu kerap mencium mereka pada waktu ini, si manja anda tidak akan mudah terjangkiti. Lagi-lagi jika mereka sudah divaksin.
3# Jangan berhenti menyusu badan
Sesetengah ibu akan risau hendak menyusu badankan anak. Tetapi, tahukah anda? Apabila seseorang individu jatuh sakit, badan mereka akan mula menghasilkan antibiotik secara automatik dan dengan penyusuan badan, antibiotik yang terhasil itu akan dipindahkan dari badan anda kepada si manja anda. Jadi, jika suatu hari si manja juga demam seperti anda, badan mereka sudah ada antibiotik yang dapat membantu mereka!
Sekiranya anda masih risau untuk berdekatan dengan anak anda, anda boleh juga mengepam susu dan memberikan mereka susu badan melalui botol. Pilihlah pilihan yang mana anda setuju adalah terbaik.
4# Jangan malu meminta pertolongan
Kami faham. Memang seronok dan membanggakan untuk menjadi supermom, tetapi badan anda juga perlukan rehat yang secukupnya terutamanya ketika anda tidak sihat! Jadi, tidak salah untuk anda meminta pertolongan dari suami, ahli keluarga anda atau ahli keluarga mertua juga. Walaupun cara penjagaan mereka berbeza dari cara anda, tetapi ianya hanya untuk beberapa hari.
5# Biarkan sahaja kerja rumah
Sakit kepala memikirkan pinggan yang berlonggok-longgok di dalam sinki serta baju yang masih belum dilipat! Tetapi, nak buat tak larat. Tak apa, biarkan sahaja. Sekiranya anda terlalu memaksa diri anda untuk terus produktif dan mendapat risiko menambah tekanan pada diri anda, lagi lambat anda sihat dan mungkin boleh menjadi lebih teruk hingga anda tak boleh buat apa-apa pun! Jadi, biarkan dan rehatlah.
Anak Bosan Saya Asyik Tidur – Apa Boleh Saya Buat?
Ya, anak anda mungkin akan berasa bosan apabila anda sentiasa tidur untuk menyihatkan diri. Mereka juga mungkin akan memaksa anda bermain walaupun anda sudah beritahu mereka bahawa anda tidak sihat.
Tetapi, jangan (tambah lagi) pening-pening anda! Ini cadangan kami untuk memastikan si manja anda sentiasa dihuni oleh keseronokan walaupun tanpa ibu dan ayah.
1# Menggunakan teknik muslihat
Anda seorang dewasa, anda perlulah lebih licik dari si manja anda! Sesetengah ibu bapa telah berkongsi bahawa salah satu cara mereka memberi perhatian pada anak sambil berehat ialah dengan berpura-pura.
Anda boleh mengajak anak bermain “tidur-tidur”, di mana si manja menidurkan anda sama seperti anda menidurkan mereka; dengan nyanyian serta cerita sebelum tidur. Kanak-kanak suka mengikut perbuatan ibu dan ayah, lagi-lagi perbuatan yang boleh membuatkan mereka rasa dewasa.
2# Membenarkan mereka menonton televisyen/telefon pintar
Sesetengah ibu bapa memang tidak suka hendak memberikan anak telefon pintar atau televisyen kerana risau si manja akan mula ketagih. Tetapi, jika anda terlalu penat, benarkan sahajalah. Sekali-sekala tidak akan memberi implikasi yang terlalu negatif. Anda juga boleh membuat menonton televisyen itu sebagai hadiah sekiranya mereka berjaya tidak menganggu anda selama setengah jam.
3# Berikan kebebasan pada anak anda
Si manja tidak mahu pakai baju? Biarkan sahaja. Mereka hendak makan makanan manis? Biarkan! Anda mungkin risaukan tumbesaran anak tetapi percayalah, memberi kebebasan pada mereka sehari tidak akan menjejaskan pembesaran seumur hidup mereka. Lagipun, ia mungkin boleh menjadi motivasi kepada anda untuk cepat sihat.
Kesimpulannya, pada hari-hari anda tidak sihat, berikan ruang kepada diri sendiri untuk berehat dan jangan segan untuk meminta pertolongan dari orang lain bagi memudahkan urusan anda.
Selamat maju jaya dan semoga sihat selalu!
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Sumber: Healthline, Parents
Baca juga: Kerap Sakit Kepala Sebelah Kanan, Ini Penyebab Ia Terjadi & Petua Bagi Mengatasinya!