Setiap pasangan Islam yang bercerai sama ada hidup atau mati mempunyai tempoh iddah. Ia tidak hanya memberi mereka peluang untuk menyelesaikan urusan peribadi, tetapi juga memberikan ruang bagi pemulihan emosi dan rohani. Berapakah tempoh iddah cerai hidup?
Isi Kandungan
Pengertian Iddah
Tempoh iddah adalah tempoh penting bagi wanita Islam yang telah cerai sama ada iddah cerai hidup atau mati. Ia tidak hanya memberi mereka peluang untuk menyelesaikan urusan peribadi tetapi juga memberikan ruang bagi pemulihan emosi dan rohani.
Secara harfiah, iddah bermaksud tempoh menunggu. Dalam konteks perkahwinan Islam, iddah merujuk kepada tempoh menunggu yang ditetapkan bagi wanita yang telah bercerai atau menjadi balu sebelum mereka dibenarkan untuk berkahwin semula.
Tujuan utama iddah cerai hidup atau mati adalah untuk memastikan keabsahan status kehamilan dan memberikan peluang bagi penyelesaian hukum serta emosi.
Hukum Iddah
Menurut syarak, iddah adalah wajib bagi wanita yang bercerai atau kehilangan suami. Sama ada iddah cerai hidup atau mati.
Jenis Dan Tempoh Iddah
Menurut laman web rasmi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), ‘iddah dibahagikan kepada dua iaitu
- Iddah disebabkan perceraian semasa hidup
- Iddah disebabkan kematian suami
Setiap jenis ‘iddah tersebut mempunyai pengiraan tersendiri yang menentukan tempoh ‘iddah, sama ada panjang atau pendek. Pengiraan ‘iddah terdiri daripada tiga jenis:
- Iddah dengan kiraan suci (quru)
- Iddah dengan kiraan bulan
- Iddah dengan kelahiran atau keguguran kandungan
Panduan Tempoh ‘Iddah Untuk Wanita Yang Bercerai
Bil. | Jenis Iddah | Ada haid/tiada haid/sedang mengandung | Tempoh iddah | Keterangan |
1. | Bercerai talak raj`ie/bain | Ada haid | Tiga kali suci | a. Jika ditalak semasa dalam keadaan suci, `iddahnya tamat apabila datang haid yang ketiga. b. Jika ditalak semasa dalam keadaan haid, `iddahnya tamat apabila datang haid yang keempat. c.Jika ditalak semasa dalam keadaan nifas, hendaklah menunggu sehingga tiga kali suci selepas nifas. `Iddah tamat apabila datang haid yang keempat. |
2. | Bercerai talak raj`ie/bain | Tiada haid (sama ada kerana penyakit, telah dibuang rahim, telah putus haid, belum pernah haid atau lain-lain) | Tiga bulan | |
3. | Bercerai talak raj`ie/bain | Sedang mengandung | Sehingga bersalin atau kandungan gugur | Selesai `iddah apabila melahirkan anak sama ada hidup atau mati, atau gugur kandungan yang telah membentuk janin yang sempurna atau hanya berbentuk segumpal daging yang menurut pakar perubatan itulah kandungan yang sebenar. |
4. | Bercerai talak raj`ie/bain dan belum pernah disetubuhi | Ada haid atau tiada haid | Tiada `iddah | |
5. | Bercerai talak raj`ie/bain dan menghidap istihadhah |
a. Haid tidak menentu tetapi masih dapat mengetahui kebiasaan perjalanan darah haidnya. b. Haid tidak menentu dan tidak mengetahui kebiasaan perjalanan haidnya atau tidak dapat membezakan antara darah haid dan istihadhah. |
Tiga kali suci
Tiga bulan |
Terdapat dua jenis talak iaitu:
1. Talak raj`ie: Talak satu atau dua yang dilafazkan oleh suami. Suami boleh rujuk isterinya dalam tempoh iddah tanpa perlu kepada akad dan mas kahwin yang baru.
2. Talak bain: Talak yang tidak dirujuk oleh suami, namun isteri itu boleh dinikahi kembali dengan akad dan mas kahwin yang baru.
Talak bain terbahagi kepada dua, iaitu talak bain sughra dan talak bain kubra:
Talaq bain sughra (kecil): Apabila suami menceraikan isteri dengan talak raj’ie sama ada satu atau dua kemudian tidak rujuk hingga tamat tempoh iddah. Begitu juga penceraian yang berlaku sebelum persetubuhan, penceraian dengan sebab ila’ (bersumpah tidak mahu mengetubuhi isteri), fasakh dan khulu’ (tebus talaq) dan suami atau isteri yang murtad.
Talaq bain kubra(besar): Talak tiga yang dilafazkan dengan satu lafaz atau talak raj’ie yang telah berlaku sebanyak tiga kali. Apabila terjatuhnya talak tiga, maka suami tidak boleh kembali mengahwini isterinya melainkan setelah memenuhi syarat-syarat berikut:
a. Setelah iddah isteri selesai.
b. Bekas isteri berkahwin dengan lelaki lain.
c. Suami yang baru menyetubuhi bekas isteri itu.
d. Suami yang baru menceraikan bekas isteri.
e. Selesai iddah setelah bercerai dari suami baru.
Panduan Pengiraan Tempoh Iddah Bercerai
Merujuk kepada laman web rasmi Mufti Wilayah Persekutuan, panduan kiraan tempoh iddah tiga kali suci bagi wanita yang haidnya teratur dan datang setiap bulan berdasarkan jadual berikut :
Batasan Hukum Semasa Dalam Tempoh Iddah (Talak Raj`ie)
- Haram menerima pinangan lelaki ajnabi.
- Haram berkahwin dengan lelaki ajnabi. Jika perkahwinan dilangsungkan semasa dalam tempoh tersebut pernikahan itu adalah tidak sah dan pasangan tersebut wajib dipisahkan.
- Tidak dibenarkan keluar rumah kecuali dengan keizinan suami.
- Tidak dibenarkan berpindah atau tinggal di rumah lain yang bukan menjadi kebiasaannya tinggal semasa masih dalam ikatan perkahwinan. Dalam hal ini suami dilarang menghalau keluar isteri yang diceraikan bahkan mereka wajib menanggung seluruh nafkahnya termasuk nafkah tempat tinggal. Namun mereka dibolehkan keluar dan meninggalkan rumah tersebut sekiranya terdapat bahaya dan kemudaratan yang boleh mengancam keselamatan nyawa dan harta benda.
- Tidak boleh berkabung. Bahkan mereka dituntut untuk bersolek dan berhias kepada suaminya sebagai dorongan bagi membangkitkan keinginannya untuk rujuk semula.
Batasan Hukum Semasa Dalam Tempoh Iddah (Talak Bain)
- Haram menerima pinangan lelaki ajnabi.
- Haram berkahwin dengan lelaki ajnabi. Jika perkahwinan dilangsungkan semasa dalam tempoh tersebut pernikahan itu adalah tidak sah dan pasangan tersebut wajib dipisahkan.
- Tidak dibenarkan keluar rumah kecuali dalam had dan batas yang diperlukan sahaja. Antara keperluan penting yang membolehkan keluar rumah ialah untuk bekerja mendapatkan rawatan perubatan dan keperluan-keperluan lain yang penting dan mendesak dengan syarat mereka dapat menjaga peraturan dan adab-adab seperti yang disyariatkan Islam. Termasuk dalam larangan keluar rumah juga ialah keluar untuk bermusafir walaupun untuk menunaikan ibadat fardu haji. Justeru dalam hal ini keluar rumah tanpa keperluan yang penting dan mendesak adalah tidak dibenarkan sama sekali.
- Tidak dibenarkan berpindah atau tinggal di rumah lain yang bukan menjadi kebiasaannya tinggal semasa masih dalam ikatan perkahwinan. Ini kerana sepanjang tempoh `iddah dengan talak bain bekas suami masih berkewajipan menyediakan tempat tinggalnya dan dilarang daripada menghalau keluar isteri yang diceraikan. Namun sekiranya terdapat bahaya dan kemudaratan yang boleh mengancam keselamatan nyawa dan harta benda seperti banjir tanah runtuh gempa bumi dan sebagainya mereka dibolehkan keluar dan meninggalkan rumah tersebut sehinggalah bahaya atau kemudaratan tersebut hilang atau dapat diatasi.
- Disunatkan berkabung dan meninggalkan amalan berhias kerana dibimbangi dengan berhias itu boleh mendorong kepada maksiat dan kerosakan serta membawa kepada fitnah.
Hikmah Iddah Bercerai
- Keselamatan emosi dan rohani – Tempoh ‘iddah memberikan ruang kepada wanita yang baru bercerai untuk menenangkan emosi dan menjalani proses pemulihan secara rohani. Ini memberikan peluang bagi mereka untuk menguruskan perasaan sedih dan kecewa akibat perceraian serta merencanakan langkah seterusnya dengan lebih tenang dan jelas.
- Peluang penyelesaian harta dan urusan kewangan – Selama tempoh ‘iddah, wanita yang bercerai memiliki waktu untuk menyelesaikan urusan kewangan bersama dengan bekas suami. Ini meliputi pemisahan harta bersama, penyelesaian nafkah dan pembahagian harta pusaka (jika ada). Tempoh ‘iddah memastikan bahwa proses ini dilakukan dengan adil dan setimpal.
- Memelihara nasab keturunan
- Bagi wanita yang bercerai, ‘iddah menetapkan suatu tempoh di mana mereka tidak dibenarkan untuk berkahwin semula. Ini memastikan bahawa jika ada kehamilan hasil dari perkahwinan sebelumnya, status kehamilan tersebut dapat ditentukan dengan jelas.
eCentral
Di theAsianparent Malaysia, penting bagi kami untuk membekalkan anda maklumat yang betul, penting dan tepat pada masanya. Tetapi ini tidak berfungsi sebagai alternatif untuk nasihat perubatan atau rawatan perubatan. theAsianparent Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap mereka yang memilih untuk mengambil ubat berdasarkan maklumat daripada laman web kami. Jika anda mempunyai sebarang keraguan, kami mengesyorkan agar anda berunding dengan doktor anda untuk mendapatkan maklumat yang lebih jelas.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Tempoh Edah Kematian Suami Atau Bercerai Hidup, Ini Panduan Lengkap Buat Kaum Isteri
Baca juga: 5 Sebab Suami Selalu Tidak Jumpa Bila Cari Barang, Walaupun Ada Di Depan Mata!
Baca juga: Cara Hubungan Suami Isteri: Kena Cium Kening Isteri Dan Suami Cium Tangan Suami Untuk Berkat