Apabila cari barang, pasti si suami yang akan selalu menghadapi masalah walaupun barang itu ada di depan mata mereka. Ia fenomena yang lucu tapi adakalanya menjengkelkan kerana si isteri juga mungkin sedang melakukan tugas lain.
Kenapa Suami Selalu Tak Jumpa Bila Cari Barang?
Mungkin ada beberapa sebab mengapa suami anda selalunya tidak dapat menemui barang apabila mereka mencarinya. Di sini, kami kongsikan beberapa sebab itu. Jadi untuk isteri, baca dulu.
Suami Anda Mungkin Sedang Memikirkan Perkara Lain
Mungkin suami anda jarang berkongsi masalah dengan anda atau anda mungkin berharap dia lebih terbuka untuk berkomunikasi, tetapi hakikatnya, suami anda mempunyai banyak perkara dalam fikiran dan hatinya.
Setiap lelaki mempunyai cara pemikiran yang berbeza-beza tetapi ada masa tertentu mereka akan berfikir cara untuk menyelesaikan pelbagai masalah dalam fikiran mereka seperti bil, cabaran di tempat kerja, masalah dengan kereta, isu anak di sekolah dan sebagainya.
Suami anda juga mungkin tidak berkongsi perkara ini dengan anda kerana risau ia akan memberikan kesan negatif kepada anda. Pada masa sama, dia juga sedang berfikir tentang apa yang sedang dicarinya namun disebabkan sedang berfikir masalah lain, dia terlupa di mana atau apa yang sedang dicari.
Suami Anda Tiada Niat Untuk Mencari, Tapi Ada Sebabnya
Secara ringkas, suami anda memang tak nak cari barang itu tapi mungkin ada sebab itu perasaan itu. Lelaki benci kegagalan dan mereka juga tak suka jika mereka salah tentang sesuatu.
Dan apabila suami anda memerlukan sesuatu tapi dia tidak pasti sama ada mampu mencari barang itu atau tidak, dia akan memilih untuk tidak mencarinya. Oleh itu, dia minta isteri untuk mencari barang yang diperlukan.
Secara umumnya, lelaki dibesarkan dengan pemikiran untuk menakluk, mencapai dan menyelesaikan sesuatu. Ini tidak berbeza dengan sesuatu yang semudah mencari balang jeruk.
Suami Anda Lebih Suka Jika Anda Yang Mencarinya
Kadangkala suami anda menggunakan taktik ‘sayang, tak jumpa’ untuk meminta bantuan daripada anda, kerana dia tahu anda pasti akan menemuinya. Bukan semestinya kerana suami anda malas.
Tetapi, si suami tahu jika anda yang mencarinya, sudah tentu barang yang mereka mahu akan ditemui dengan lebih cepat. Anggap saja, anda lebih cekap cari barang daripada suami anda!
Ingat, lelaki tidak kisah untuk menyerahkan tugas mereka sekiranya ia tidak menganggu rutin mereka. Jadi, dari perspektif suami anda, mereka hanya mahu perkara itu selesai kerana anda yang mencari barang.
Suami Anda Ada Fokus Visual Yang Berbeza Daripada Anda
Menurut kajian, terdapat perbezaan ketara bagi fokus visual antara lelaki dan wanita. Lelaki cenderung untuk fokus kepada objek yang lebih besar dan pergerakan sesuatu objek, manakala wanita pula lebih mahir mengesan butiran kecil dan perubahan persekitaran.
Perbezaan ini mungkin menjelaskan mengapa suami anda sukar untuk menemui barang yang lebih kecil atau kurang menonjol tetapi anda sebagai isteri mempunyai kemampuan untuk mencari barang yang kecil itu.
Perbezaan Cara Berfikir Dan Memproses Maklumat
Lelaki dan wanita memproses maklumat dengan cara yang berbeza. Lelaki cenderung berfikir secara logik, manakala wanita lebih cenderung berfikir secara lateral dan mempertimbangkan sesuatu dari pelbagai sudut.
Dan perbezaan ini turut mempengaruhi cara mereka berfikir semasa mencari barang. Apabila suami mencari barang, mereka mungkin mencari di tempat yang mereka fikir barang itu sepatutnya berada.
Jika barang itu tidak berada di tempat tersebut, mereka mungkin segera merasa bingung dan menyerah. Sebaliknya, wanita cenderung memikirkan pelbagai kemungkinan tempat barang itu boleh berada dan terus mencari dengan lebih terperinci.
Sebagai contoh, jika suami mencari gunting di dapur dan tidak menemukannya di laci biasa, mereka mungkin terus beranggapan bahawa gunting itu hilang. Namun, isteri mungkin terus mencari di tempat-tempat lain seperti atas meja, rak, atau dalam bekas lain yang tidak biasa. Perbezaan cara berfikir ini menjadikan wanita lebih efektif dalam mencari barang.
Apa Yang Anda Boleh Lakukan?
Tiada Yang Anda Boleh Lakukan, Tapi Jangan Putus Asa!
Menyalahkan suami anda tidak akan membuat keadaan menjadi lebih baik. Jika suami anda sudah terbiasa dengan tabiat ini selama bertahun-tahun, maka perubahan juga akan mengambil masa yang lama, Itupun kalau dia akan berubah.
Kongsi pengalaman ini dengan wanita lain yang sudah berumah tangga dan tanya bagaimana mereka tangani masalah ini. Tapi jika wanita lain kata mereka tidak menghadapi masalah ini, mungkin mereka sedang menipu.
Jika ia berulang lagi, tarik nafas dalam-dalam dan beritahu kepada tuhan tentang perasaan anda sebelum berkongsi dengan suami anda. Cuba ingat jika anda pernah tidak menjumpai sesuatu barang.
Setelah bertenang, cari masa yang sesuai untuk berbincang dengan suami anda mengenai perkara ini dan cari jalan penyelesaian bersama-sama.
Minta Suami Anda Bersihkan Dan Susun Semua Barang Di Rumah, Bersendirian!
Bagi suami yang tidak pernah disuruh isteri untuk melakukan ini, anda perlu bersyukur! Bagaimana kaedah ini boleh membantu? Apabila suami anda sendiri menyusun semua barang, mereka akan lebih mudah mengingati di mana mereka menyimpan sesuatu barang.
Biasanya ia juga akan berkesan buat lelaki. Lelaki juga tak suka disalahkan jadi dia akan memberikan perhatian sepenuhnya semasa mengemas dan menyusun barang. Suami anda tak mahu anda mempersoalkan mengapa mereka tidak menemui barang yang mereka mahu.
Kepada isteri-isteri yang sedang membaca, anggap sajalah bakat mencari barang dengan mudah itu satu anugerah daripada Tuhan. Tapi tak bermaksud anda perlu biasakan si suami meminta bantuan daripada anda.
Bagaimana jika pada masa itu anda tidak berada dekat dengan suami, bagaimana dia mahu mencari barang itu? Oleh itu, berkomunikasilah dengan suami anda dan bersama-sama cari jalan penyelesaian bagi perkara ini.
Lain kali, apabila suami anda tidak menemui barang yang mereka sedang cari dan meminta bantuan daripada anda, ingatlah ia sesuatu yang biasa dan boleh diperbaiki dengan usaha.
Semoga bermanfaat!
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Pemuda Tidak Percaya Dengan Ayat ‘Belanja Isteri Murah Rezeki’ Sehingga Satu Kejadian Berlaku Yang Membuka Matanya Memang Buat Dia Terkedu
Baca juga: Cara Hubungan Suami Isteri: Kena Cium Kening Isteri Dan Isteri Cium Tangan Suami Untuk Berkat
Baca juga: 4 Cara Berdepan Suami/Isteri Yang Kuat Berahsia, Elak Jadi Silent Killer Dalam Hubungan!
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!