Apabila menyentuh tentang anak, pelbagai perkara perlu dipertimbangkan. Lebih-lebih lagi ada ibu yang terlebih subur sehingga terpaksa ikat peranakan selepas bersalin caesar bagi mengelakkan risiko bahaya pada diri dan bayi dalam kandungan.
Namun kisah dan pengalaman yang dilalui seorang ibu, Nur Zarra boleh dianggap satu dalam sejuta. Dia benar-benar terkejut sebaik sahaja mendapati ada bayi dalam perutnya sewaktu melakukan imbasan dengan doktor.
Isi Kandungan
Ibu enam orang anak ikat peranakan (BTL), tapi masih mengandung
Perkongsian yang dimuat naik pada bulan Julai lalu telah mendapat perhatian netizen dan menjadi tular baru-baru ini. Ia sekaligus telah membuatkan sesetengah ibu ‘risau’ akan mengalami perkara yang sama.
Bismillah, fuh! pertama sekali.. Maaf Dayyan. Bila ramai yang bertanya tentang status Whatsapp hari ini dan Zara tak dapat nak menjawab satu persatu sebab diri sendiri masih terkejut. Speechless, terkedu. Semua ada.
Jadi kita cerita kat sini. Macam yang semua tahu, Zara dah buat BTL masa bersalinkan Dayyan tahun lepas. Dalam erti kata lain sudah ikat peranakan tahun lepas pada tarikh 30 Ogos 2021.
Tapi dalam sebulan dua ini rasa sakit perut. Dalam hati fikir mungkin kesan pembedahan dan kesan ‘ikat’ tu. Jadi kita buat tak kisah sangat.
Rasa ada benda bergerak dalam perut
Mungkin sebab lasak kot. Tapi dalam seminggu ini ada rasa benda bergerak-gerak dalam perut. Makin lama makin kuat dan rasa tendangan.
Dalam hati ini tak fikir langsung pada mengandung sebabnya sudah ikat peranakan kan. Tapi hati tak sedap, takut ada benda yang tidak-tidak je.
Sampai mula fikir unsur-unsur mistik. Ada tanya doktor dan doktor cakap mungkin masalah usus. Mungkin juga mengandung luar rahim. Tapi sangat rare untuk jadi benda tu. Memandangkan kita ini kerja dekat postnatal ward, jadi Zara cerita dekat doktor.
Doktor pun buat keputusan untuk lakukan imbasan. Sekali nah! Ambik kau kepada budak. Esok genap 22 minggu. Dah nak masuk 6 bulan oi!!
Tak tahu nak rasa apa. Dayyan baru nak masuk 11 bulan. Tak dapat berjalan lagi. Dengan luka czer tempoh hari masih fresh. Allah, meraung dekat wad.
Perasaan bercampur baur sebaik tahu ada bayi dalam kandungan
Drama kat wad tadi. Tak tahu sedih sebab apa. Terkejut? Trauma czer? Teruja? Tak tahu..
Ikutkan due date hujung bulan 11 ini. Korang doakan Zara ya. Adoi berat memikirkannya. Dari mana awak berenang anak oi. Apapun ceritanya cuma Allah sahaja yang tahu.
Kita tunggu apa kata pakar. Hurm, maka bermulalah episod buku pink untuk mama semula. Petang ini pergi buat temu janji di KK Rasa. Kecoh pula kat sana. Maafkan saya doktor, saya dah kata saya subur. Semua perancang keluarga tidak menjadi.
Jadi lepas ini, hati-hatilah dengan sebarang kaedah perancang keluarga yang anda guna. Bila Allah berkehendak begitu, maka tiada siapa yang boleh persoalkan bagaimana ia terjadi. Cuma harap semuanya dipermudahkan.
Isnin ini kena minum air gula oi.. Okay, sekian. Maaf tak dapat balas Whatsapp satu-satu. Rasanya yang tanya semua friend Facebook ini kan? Dan tahniah juga untuk kawan Zara yang gagal pakai implan tu. Nanti kita sama-sama berpantang ya kak!
Apa itu prosedur ikat peranakan (BTL)?
Menurut Pakar Obstetrik-Pakar Sakit Puan (OBGYN), Dr Rafiuddin Hamizan prosedur ikat salur peranakan merupakan satu cara merancang yang kekal – bermaksud wanita tidak akan dapat mengandung lagi.
Ia boleh dilakukan secara :
1) laparotomy – open surgery, bukaan kecil pada abdomen sekitar sejengkal
2) laparoscopy – bukaan sekecil 1cm pada bahagian pusat dan satu lagi di bukaan kecil di bahagian tepi abdomen
Ia boleh dilakukan menggunakan kaedah :
- klip
- potong dan ikat
- bakar (cauter)
- buang keseluruhan tiub
Kaedah ikat peranakan berkesan hingga 99.95 peratus
Keberkesanan kaedah BTL ialah sekitar 99.95%. Jika 1000 wanita menjalani prosedur BTL, dalam 10 tahun kemungkinan 2-5 akan mengandung. Jadi ianya amat berkesan sebagai satu kaedah perancangan keluarga.
Rata-rata doktor mencadangkan kaedah ini kerana:
- ia mudah, murah, cepat
- tidak perlu makan ubat setiap hari
- tidak mengganggu kitaran haid dan hormon badan
- kekal seumur hidup
Hal yang perlu para ibu ingat adalah selagi belum menopause, wanita masih boleh mengandung. Jangan sangka sudah cecah usia 40 tahun sudah tidak boleh mengandung. Saya pernah jumpa wanita mengandung pada usia 47 tahun ya!
Sebab ibu bersalin caesar lebih 3 kali disaran ikat peranakan
Mengapa doktor mencadangkan ikat salur peranakan bagi ibu yang telah bersalin secara caesar lebih 3 kali?
Ini kerana secara amnya, mana-mana ibu yang menjalani caesarean section bagi pertama kali sahaja sudah berisiko mendapat komplikasi berikut :
#1. Komplikasi serius
- Pembedahan buang rahim disebabkan pendarahan melampau, 7- 8 bagi setiap 1000
- Keperluan pembedahan lain selepas caesar, contoh: cuci rahim, pembedahan mengeluarkan darah beku daripada caesar sebelum itu, 5 dalam setiap 1000
- Keperluan pemerhatian di ICU (bagi kes berisiko tinggi dan terdapat komplikasi), 9 dalam 1000
- Darah beku boleh mengakibatkan kematian jika tersumbat pada salur darah di paru- paru, 4 – 16 dalam 10,000
- Koyak pundi kencing, 1 dalam 1000
- Cedera salur kencing, 3 dalam 10,000
- Kematian, 1 dalam 12,000 Rahim pecah semasa kandungan seterusnya, 2 – 7 dalam setiap 1000
- Risiko bayi mati dalam kandungan, 1 – 4 dalam 1000
- Uri bawah dan lekat, 4 – 8 dalam 1000
#2. Komplikasi kerap berlaku
- Tidak selesa pada perut dan luka selepas bersalin, 9 dalam 100 Ibu
- Risiko gagal VBAC untuk kandungan seterusnya, 1 dalam setiap 4 ibu
- Pendarahan, 5 dalam 1000
- Jangkitan kuman, 6 dalam 100
- Cedera / luka pada bayi, 2 dalam 100
Risiko-risiko ini meningkat jika semakin banyak caesar dilakukan pada seorang ibu. Contohnya : risiko rahim pecah untuk ibu yang pernah caesar sekali ialah sekitar 0.5% (1 dalam 200), manakala untuk yang pernah caesar dua kali menjadi 1.36% (4 dalam 300) dan bertambah lagi jika pernah caesar tiga, empat dan seterusnya.
Ia juga boleh menjadi berlipat kali ganda jika anda menghidapi masalah kesihatan lain seperti:
- obesiti
- pernah dibedah sebelum ini
- kencing manis
- darah tinggi
- masalah jantung
- Pernah melalui emergency caesar semasa bukaan pangkal rahim telah besar 9 – 10cm
Hukum ikat peranakan dalam Islam
Ada juga yang tidak mahu BTL kerana faktor hukum Islam. Sebenarnya, hukum asal BTL ialah haram (jika tidak bersebab). Tetapi perlu diingati bahawa Islam adalah agama rahmat yang sentiasa fleksibel dan tidak kejam.
BTL diharuskan dengan syarat digalakkan oleh doktor disebabkan indikasi masalah perubatan. Jadi, hukum ini berbeza mengikut profail pesakit. Tidak boleh disapu rata satu hukum untuk semua wanita.
Jika tak mahu juga BTL ? Boleh tiada masalah, dengan syarat ibu perlulah merancang dengan berdisiplin menggunakan kaedah LARC (long acting reversible contraception) – contohnya : IUCD, Implanon.
Ibu juga perlu sedar risiko tinggi yang perlu dihadapi jika mengandung sekali lagi. Semoga bermanfaat!
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Ikat Peranakan Akan Buat Wanita Hilang Keinginan Seks? Ini Yang Anda Perlu Tahu!
Baca juga: Senarai Keluarga Artis Yang Bahagia & Miliki Anak Ramai, Meriah Bila Buat Family Bonding!
Baca juga: 10 Perkara Dilalui Ibu Ketika Bersalin Czer, Terbukti Anda Ibu Yang Berani…