Suami sebenarnya diuji Tuhan bila isteri tak lagi cantik lepas bersalin - anda ikut nafsu atau hati?

Kalaulah suami lebih memunasabah diri dan meletakkan diri di tempat isteri, pasti dia tahu isteri tak cantik selepas bersalin itu satu ujian Tuhan padanya..

Benarlah kata pepatah yang mengatakan seorang suami diuji Tuhan apabila mereka memiliki segala-galanya, manakala seorang isteri pula diuji Tuhan ketika pasangan tidak memiliki apa-apa. 

Adakah anda salah seorang suami yang selalu merungut dan tidak puas hati bila isteri tak cantik seperti dulu lagi selepas bersalin? Jika ya, anda WAJIB baca luahan seorang isteri ini.

Wahai suami, ketahuilah yang kesetiaan, kepercayaan dan pengorbanan adalah kunci kebahagian sesebuah rumah tangga.

Sebab itu selepas berkahwin, anda suami isteri harus setia, saling mempercayai antara satu sama lain dan mampu berkorban untuk kebaikan pasangan dan keluarga yang anda ingin bina.

Lihatlah isteri tak cantik yang sentiasa dicemuh anda itu. Pengorbanan seorang wanita yang bernama isteri dan ibu tidak terhitung nilainya.

Merekalah yang mengandung, membesarkan anak-anak dan mendidik tanpa mengeluh. Tapi mengapa sebagai suami, anda asyik mengutuk isteri sendiri bila mereka tidak lagi selansing dan secantik dulu?

Bila isteri tak cantik seperti dulu, anda sebenarnya sedang diuji oleh Tuhan

Seorang isteri bernama Intan Dzulkefli telah berkongsi sebuah luahan yang sungguh menusuk hati buat para suami yang suka mengutuk dan menghina isteri tak cantik selepas bersalin. 

Marilah sama-sama kita merenung luahan ini untuk memahami konsep seorang suami sebenarnya diuji oleh Tuhan apabila isteri tak cantik seperti dulu.

****

Semakin hari, wajah dan kelebihan isteri selalu semakin pudar di mata suami. Maklumlah, semakin suami menginjak tua, mereka semakin stabil.

Tapi isteri pula tak secantik bidadari yang baru dikahwininya dulu. Tapi sebenarnya, Tuhan tengah menguji keimanan, kesetiaan dan nafsu seorang suami…

Bukan susah pun nak cari wanita yang cantik, gebu, dan flawless sentiasa. Realitinya, ramai wanita di luar sana yang lebih cantik dari isteri anda. 

Tapi ketahuilah, isteri anda itu tidak mampu memenuhi semua kehendak imaginasi suami. Mengapa?

Sebab mereka berjaga siang malam untuk menjaga anak yang dilahirkan mereka itu. Anak zuriat anda! Habis mata mereka lebam sebab kena berjaga malam.

Badan isteri pula makin “mengembang”. Tak kiralah ketika mengandung atau selepas bersalin. Mengapa? 

Sebab hormon ketika menyusu anak anda. Anda pun mahu anak menyusu badan, kan? Jadi mengapa menghina isteri yang sudah sehabis baik cuba untuk memberi segala-galanya pada anak anda?

Nak senaraikan kekurangan dan perubahan seorang isteri memang panjang. Sepanjang bilangan anak dan umurnya yang makin meningkat. 

Tapi, itulah ujian yang sengaja Allah turunkan pada anda. Anda mahu menghargai pengorbanan seorang isteri atau anda mahu nampak segala kekurangannya?

Bila isteri tak cantik seperti dulu, muhasabahlah diri anda wahai suami

Jika isteri tak cantik lagi seperti dulu, maka para suami kena muhasabah diri dan meletakkan dirinya di kasut isteri. Tanya apa punca isteri jadi begitu?

Nescaya apabila anda menundukkan nafsu jahat dan memunasabah diri, anda akan lebih tenang. Dada akan lebih luas untuk menghargai pasangan anda sendiri.

Rasulullah SAW sendiri pernah menegur para suami dengan menyebut

“Jika engkau melihat seorang wanita, lalu ia memikat hatimu, maka segeralah mendatangi isterimu. Sesungguhnya, isterimu memiliki seluruh hal seperti yang dimiliki wanita itu.” (HR. Tirmidzi)

Semoga Allah SWT sentiasa merahmati setiap pasangan suami isteri yang mentaati Allah dan mencuba sehabis baik untuk kaum keluarganya. Amin.

****

Sungguh dalam lagi menusuk luahan isteri tersebut. Tapi dalam ketajaman kata-katanya, terselit kebenaran yang mungkin bukan semua suami boleh menerimanya.

Akan tetapi, percayalah yang tiada apa yang sempurna di atas dunia ini. Apabila anda menerima kenyataan terbabit, anda mungkin boleh menundukkan nafsu jahat yang sentiasa terngiang-ngiang di telinga.

 

 

 

 

 

 

 

 

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia

Baca juga:

https://my.theasianparent.comisteri-mahu-tinggalkan-suami/

Penulis

Ayu Idris