Seronok bila melihat perlakuan bayi yang mencuit hati. Namun di sebalik keseronokan itu, anda harus perhatikan jika si kecil berulang kali menggaru kepalanya. Mungkin dia terkena jangkitan telinga!
Inilah apa yang berlaku kepada sepasang suami isteri apabila didapati anaknya yang bernama An An kerap menggaru kepalanya.
Pada mulanya, mereka merasakan itu hanyalah perkara biasa kerana mungkin sifat ingin tahu yang menebal hingga menyebabkan si kecil mereka itu kerap memegang dan menggaru kepala.
Akan tetapi, dua minggu kemudian, ibu tersebut merasakan ada sesuatu yang tidak kena pada bayinya itu kerana ketika memegang kepalanya, si kecil tersebut kerap mengerutkan dahinya seperti sedang menanggung rasa kesakitan!
Akibat naluri keibuannya terlalu kuat, akhirnya dia membawa anaknya berjumpa pakar kanak-kanak untuk pemeriksaan.
Selepas didiagnosis, barulah mereka tahu bahawa bayi mereka itu menghidapi jangkitan telinga atau otitis media. Ia merupakan satu keadaan di mana bahagian tengah telinga mengalami keradangan dan jangkitan.
Ibu bapa itu diberitahu keadaan An An agak teruk kerana jangkitan itu sudah berlaku agak lama.
Disebabkan itu, keluarga ini sedikit kesal dan rasa bersalah terhadap bayi mereka kerana ingat ia hanyalah reaksi biasa.
Mujur doktor katakan tidak terlalu lambat dan peluang untuk sembuh juga masih tinggi. Namun, keadaan akan jadi lebih teruk sekiranya lambat berjumpa doktor untuk pemeriksaan.
Apa itu jangkitan telinga?
Untuk pengetahuan anda, jangkitan telinga atau otitis media adalah keadaan yang biasa berlaku pada bayi dan kanak-kanak.
Pernah tak anak anda mengadu sakit telinga atau anda nampak ada keluar cecair dari dalam lubang telinga mereka?
Jika ya, jangan ambil mudah kerana anak anda mungkin terkena jangkitan telinga atau radang di bahagian telinga tengah.
Ia berlaku pada kanak-kanak berusia enam bulan hingga satu tahun. Malah jangkitan telinga juga adalah salah satu penyakit kedua yang biasa berlaku selepas selsema.
Menurut kajian, 83% kanak-kanak berumur sebelum tiga tahun dan 20% kes membabitkan bayi bawah 12 bulan.
Tanda-tanda jangkitan telinga atau otitis media
- Kerap menangis
- Cepat marah
- Tidak dapat tidur
- Kerap menarik telinga
- Sakit di bahagian telinga
- Sakit kepala
- Sakit leher
- Berdengung di dalam telinga
- Keluar bendalir dalam telinga
- Demam
- Muntah
- Cirit birit
- Kurang keseimbangan badan
- Hilang pendengaran
Rawatan yang boleh dibuat bagi mengelak jangkitan telinga
Bagi mengurangkan jangkitan telinga ini, parents boleh bantu dengan cara ini:
- Dudukkan bayi ketika berinya makan bukan dengan cara baringkan secara terlentang.
- Cuba elak beri puting kosong pada bayi. Jika sudah berikan pada si kecil, kurangkan jumlah masa mengunakannya.
- Jangan merokok berhampiran bayi.
- Pastikan bayi mendapat vaksin pneumococcal. Ia dapat mengurangkan risiko jangkitan telinga pada kanak-kanak.
- Jika boleh, elakkan letak bayi di nurseri ketika umur kurang setahun. Hal ini kerana, ia boleh mendedahkan bayi kepada batuk dan selsema yang membawa kepada jangkitan telinga.
Sekiranya salah satu tanda yang disebut di atas terjadi pada anak anda. Kemungkinan dia sedang derita otitis media dan rawatan segera harus dilakukan dengan cepat.
Untuk itu, anda seharusnya lebih peka terhadap perilaku anak sebelum perkara yang tak diingini terjadi.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Sumber: Langit biru, Baby Center
Baca juga:
Waspada Anak Sakit Telinga, Ia Menyebabkan Jangkitan Kuman & Demam Berterusan!