Banyak cabaran yang harus ditempuhi oleh ibu yang berada dalam fasa berpantang seperti menjaga pemakanan, tubuh badan, penyusuan dan banyak lagi.
Semuanya untuk mengembalikan semula badan agar cepat sihat dan pulih dari sakit selepas bersalin. Namun begitu, perkara yang tidak diingini berlaku kepada seorang ibu berpantang selepas dia jatuh motor semasa mendukung bayi kecilnya untuk ke klinik.
Ibu dalam pantang jatuh motor sambil mendukung bayi
Seorang ibu yang masih dalam tempoh berpantang mengalami kecederaan selepas jatuh motor yang ditunggang oleh suaminya terlibat dalam kemalangan di kawasan persekolahan.
Semasa kejadian, motor yang dibawa suaminya melalui jalan di hadapan SMK Sultan Abdullah Chenderong Balai Labu Kubung namun secara tiba-tiba mereka jatuh motor yang dipercayai gara-gara kain wanita ini tersangkut di bahagian rantai motosikal yang dinaiki.
Menurut orang awam yang melihat insiden yang berlaku, difahamkan pasangan suami isteri ini sedang dalam perjalanan untuk ke klinik bersama dua anak mereka bagi mendapatkan rawatan selepas bersalin.
Lebih mengejutkan, isterinya itu sedang menggendong anak kecil mereka yang baru dilahirkan. Namun begitu, kedua-dua anak mereka tidak mengalami sebarang kecederaan.
Sementara mangsa pula mengerang kesakitan kerana badannya telah terhempas ke atas jalan raya kerana mahu memastikan bayi yang berada dalam dakapannya selamat.
Apapun, Alhamdulillah semuanya selamat dan mangsa segera mendapatkan rawatan bagi kecederaan yang dialami.
Walau bagaimanapun, diharap selepas ini keluarga mereka lebih berhati-hati semasa menaiki kenderaan seperti motor terutama bila membawa dua anak kecil kerana mungkin perkara dan insiden yang sama boleh berlaku lagi.
Peringatan ini juga ditujukan kepada pembaca lain yang menggunakan kenderaan dan membawa anak kecil agar sentiasa mementingkan keselamatan diri dan keluarga supaya kejadian serupa tidak berulang.
Cara mengangkat bayi baru lahir
Selepas bersalin, ibu dan ayah harus belajar cara mengangkat bayi baru lahir yang betul kerana badan si kecil masih belum kuat dan lembut. Berikut tips yang patut anda tahu:
1. Semasa hendak mendukung bayi, pastikan anda lihat di bahagian kepala bayi baru lahir terutama di atas ubun-ubun kepala kerana ia adalah bahagian yang lembut. Hal ini kerana, kebanyakan bayi baru lahir tidak mempunyai otot leher yang kuat dan anda perlu menyokong kepala dan lehernya setiap masa jika mahu mendukung si kecil itu.
2. Ketika hendak mendukung bayi baru lahir, selitkan tangan anda di bawah tubuhnya. Sementara itu, sebelah tangan menyokong kepala atau lehernya dan sebelah lagi menyokong punggungnya.
3. Sekiranya anda rasakan posisi memegang itu betul dan tepat. Angkat bayi secara perlahan-lahan dan cermat kemudian bawa ke atas dada anda.
4. Pastikan kepala si kecil diletakkan pada dada anda kemudian alihkan tangan yang menyokong punggung bayi ke arah lehernya.
5. Kemudian, betulkan kedudukan si kecil perlahan-lahan sehingga kepalanya terletak di lekok tangan anda sambil terus menyokong leher bayi.
6. Dengan posisi yang tepat ini dapat mengekalkan hubungan mata sambil anda bercakap atau mendendangkan lagu kepadanya. Tentu si kecil seronok dan tersenyum gembira kerana terasa begitu selesa semasa berada dalam dakapan ibu atau ayahnya.
Larangan semasa mendukung bayi
Ingat ya, semasa dukung bayi jangan buat perkara yang lain pada masa yang sama kerana dikhuatiri boleh mendatangkan kecederaan pada bayi yang dikendong.
1. Jangan sesekali mendukung bayi baru lahir sambil memegang benda panas atau barang yang tajam kerana bimbang mendatangkan kecederaan pada si kecil yang belum tahu apa-apa itu.
2. Jika membawa bayi turun naik tangga pastikan anda berhati-hati dan berjalan dengan penuh cermat serta tidak terlau cepat atau tergesa-gesa.
3. Sekiranya ada ahli keluarga meminta untuk mendukung bayi anda pindahkan si kecil secara perlahan-lahan pada pangkuan mereka supaya dapat mengelakkan bayi tercedera atau menangis.
Untuk dapatkan lebih banyak informasi dari theAsianparent Malaysia, boleh terus download Aplikasi Keibubapaan #1 Di Asia Tenggara kami.
Sumber: The Reporter, Maha Rani, Kelab Mama
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga
5 Peraturan Keselamatan Penting Yang Anak Anda Perlu Tahu – WAJIB Ajar Mereka Dari Usia Muda