Kanser rahim atau kanser uterus adalah kanser biasa yang memberi kesan kepada sistem pembiakan wanita. Kanser ini selalunya terjadi kepada wanita yang telah menopaus.
Simptom kanser rahim
Simptom paling biasa terjadi adalah pendarahan faraj yang banyak untuk anda (abnormal). Jika anda sudah menopaus, apa-apa pendarahan pada faraj adalah abnormal.
Jika anda belum menopaus, pendarahan yang luar biasa termasuklah haid yang sangat banyak atau pendarahan di antara menstruasi (tempoh selepas haid dan sebelum haid seterusnya).
Bila anda perlu berjumpa doktor?
Jika anda mengalami pendarahan faraj yang luar biasa, segera berjumpa dengan doktor.
Doktor akan tanya tentang simptom yang anda alami dan akan membuat pemeriksaan dalaman. Mereka juga akan rujuk anda kepada pakar untuk memastikan ia bukan masalah yang serius.
Jika anda didiagnos dengan kanser rahim, anda perlu membuat ujian lanjut untuk menentukan anda berada di peringkat ke berapa.
Peringkat ini akan memberi doktor gambaran tentang kebesaran kanser ini dan sama ada ia sudah merebak atau belum dan rawatan yang terbaik untuk anda.
Ujian-ujian lanjut tersebut termasuklah:
- imbasan X-ray di dada – radiasi digunakan untuk periksa jika kanser dan merebak ke paru-paru atau tidak
- imbasan MRI – untuk mendapatkan gambaran jelas dalam badan anda bagi melihat jika kanser merebak atau tidak
- imbasan CT – beberapa sisi imbasan X-ray untuk mendapatkan imej jelas dalam badan anda
- ujian darah – untuk memeriksa kesihatan anda secara menyeluruh dan bagaimana organ anda berfungsi
Jenis kanser rahim
Kebanyakan kanser uterus ini bermula dalam sel yang membentuk lapisan pada rahim.
Bagi kes yang jarang berlaku, kanser ini akan bermula dari dalam dinding otot rahim. Kanser tersebut dipanggil sarcoma rahim dan perlu mendapat rawatan berbeza.
Kanser rahim juga adalah berbeza dari kanser sistem pembiakan wanita yang lain seperti kanser ovari atau kanser serviks.
Kenapa kanser rahim boleh berlaku?
Tak ada sebab yang jelas tentang penyebab kanser rahim ini, tapi beberapa perkara boleh meningkatkan risiko untuk mendapat kanser rahim.
Salah satu faktor utama kanser ini adalah tahap hormon yang dipanggil estrogen tinggi dalam badan anda.
Anda tak boleh mencegah kanser ini, tapi ada beberapa cara yang boleh anda lakukan untuk mengurangkan risiko ini.
Ia termasuk mengekalkan berat badan yang ideal, mengamalkan gaya hidup sihat serta penggunaan pencegahan kehamilan jangka panjang.
Rawatan kanser rahim
Cara rawatan yang biasa adalah pembedahan membuang rahim (histerektomi).
Histerektomi boleh mengubati kanser rahim pada peringkat awal tapi anda tak berpeluang untuk mengandung. Pembedahan untuk kanser ini juga biasanya termasuk pembuangan ovari dan tiub fallopio.
Kadang-kadang radioterapi dan kemoterapi juga diberikan.
Anda juga mungkin akan diberikan terapi hormon (progestogen) jika anda belum menopaus dan masih mahu mendapatkan anak.
Walaupun kanser anda bukan di peringkat awal dan peratus untuk anda sembuh adalah kecil, rawatan masih boleh dibuat untuk mengurangkan simptom dan memanjangkan jangka hayat.
Apabila anda memilih rawatan apa yang sesuai untuk anda, doktor anda akan mempertimbangkan:
- jenis dan saiz kanser
- gred kanser
- kesihatan anda secara menyeluruh
- sama ada kanser telah merebak ke kawasan lain tubuh anda yang lain
- sama ada anda mementingkan kesuburan – ini jarang berlaku kerana kanser ini selalunya terjadi selepas menopaus
Mereka akan membincangkan dan mencadangkan rawatan yang terbaik bergantung kepada pertimbangan di atas. Keputusan jenis rawatan adalah dalam tangan anda.
Hidup dengan kanser rahim
Hidup dengan kanser adalah mencabar dan kanser uterus ini boleh memberi kesan kepada kehidupan anda dengan beberapa cara spesifik.
Contoh, kehidupan seks anda akan terkesan kerana anda membuat histerektomi, lebih-lebih lagi jika ovari anda dibuang. Anda mungkin akan rasa susah untuk melakukan seks dan keinginan seks yang semakin berkurang.
Bercakap dengan seseorang mungkin memberi kelebihan untuk anda termasuk ahli keluarga, pasangan anda atau orang lain yang sama menghidap kanser rahim.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Sumber rujukan: NHS
Baca juga:
13 Tanda Awal Kanser Rahim Yang Berbahaya & Ramai Wanita Terlepas Pandang