Hari Wanita Sedunia disambut pada 8 Mac setiap tahun untuk menghargai sumbangan dan pengorbanan wanita di seluruh dunia. Dalam kalangan mereka, wujud wanita-wanita hebat yang berdiri di barisan hadapan sebagai petugas kesihatan, askar, bomba, dan banyak lagi yang mempertaruhkan keselamatan diri demi menjalankan tanggungjawab pada negara.
Dalam artikel ini, kami kongsikan kisah tiga wanita luar biasa yang menjadi tulang belakang dalam perjuangan barisan hadapan sebagai inspirasi kepada anda.
1. Hasma Binti Hassan: Askar

Hasma Binti Hassan mula berkhidmat sebagai askar pada tahun 2011 ketika berusia 23 tahun. Dia kini menetap di Johor dan merupakan ibu kepada dua orang anak.
“Sebelum menjadi askar, saya pernah bekerja sebagai kakitangan kerajaan secara kontrak. Namun, selepas kontrak tidak disambung, saya mendapat peluang temuduga sebagai askar.
“Masa tu saya umur 23 tahun, badan masih fit, tinggi pun okay, result SPM cantik. Jadi saya cuba nasib dan alhamdulillah, dapat.” Selepas itu, bermulalah latihan asas selama enam bulan yang cukup mencabar.
“Keluarga sangat menyokong dan gembira apabila saya diterima masuk sebagai askar kerana hanya saya seorang sahaja dalam keluarga terlibat dalam bidang ini.
Misi Pengaman di Lubnan
Salah satu detik paling bersejarah dalam kerjayanya adalah apabila dia terpilih untuk menjadi askar pengaman di Lubnan pada tahun 2019 sewaktu usia 31 tahun.

“Saya tak sangka dapat peluang ini kerana ada kekosongan di bahagian tukang masak tentera dengan segera, dan bila terpilih, saya terus bersetuju,” katanya.
“Masa tu anak saya yang sulung baru 5 tahun dan tinggal dengan ayahnya di Malaysia.”
Dia berlepas ke Lubnan selama setahun, walaupun asalnya hanya dijadualkan untuk enam bulan. Namun, kerana penutupan lapangan terbang akibat Covid-19, tempoh perkhidmatan mereka di sana dilanjutkan.
“Bagi saya, cabaran utama sebagai seorang tukang masak di sana adalah menyediakan makanan untuk lebih 800 tentera Malaysia. Bayangkan sekali makan tengah hari, kami perlukan lima ekor kambing, ayam dan lauk-lauk lain. Kadang-kadang kami kena potong sendiri kambing yang dihantar seekor,” jelasnya.
Selain memasak, dia juga terlibat dalam tugas-tugas lain seperti menjaga pos pengawal dan menjalankan ‘market walk’ di kampung-kampung sekitar Lubnan. “Walaupun keluar berjumpa orang kampung, kami tetap lengkap bersenjata demi keselamatan.”
“Pernah juga nampak tentera dan dron Israel dari jauh, tapi ketika itu mereka tidak menyerang pasukan pengaman. Kami di sana hanya menjalankan misi keamanan.”
Pengorbanan Dan Kerinduan
“Bila jauh dengan anak, rindu tu memang tak boleh nak kata. Tapi saya bersyukur sebab masih boleh video call walaupun tengah potong bawang atau sayur,” katanya.
Namun, cabaran rumah tangga juga ada. “Kadang-kadang pasangan susah nak faham bila kita terlalu sibuk dengan tugas.” Tapi baginya, itu pengorbanan yang perlu dilakukan demi masa depan.
Wanita Perlu Sayangi Diri
“Sebagai wanita, kita tak tahu apa yang akan jadi esok lusa. Mak saya selalu pesan, walau macam mana suami sayang dan beri segalanya, kita tetap kena ada duit sendiri. Kita kena sayangkan diri sendiri dulu,” katanya penuh makna.

Nasihat Untuk Wanita Lain
“Jangan terlalu bergantung pada orang lain. Cari inisiatif untuk ada pendapatan sendiri. Zaman sekarang banyak kelas kemahiran, dari bakeri sampai memasak. Kita tak boleh duduk di takuk yang sama.”
Kini, dia berkhidmat sebagai ketua di pusat latihan tempur tentera darat. “Ahli baru yang menyertai tentera memerlukan lebih banyak bimbingan daripada kami, tetapi sebagai seorang pemimpin saya bertekad untuk menjadikan mereka berdikari dan kuat”
Dia juga berkongsi bagaimana dia sendiri belajar memasak nasi dengan bersungguh-sungguh sehingga menjadi mahir.
“Kalau kita nak berjaya, kita kena berani mencuba dan tak mudah putus asa. Itu prinsip saya sejak hari pertama saya jadi askar.”
2. Siti Nor Syuhada Binti Haizad: Bomba

Siti Nor Syuhada berkhidmat sebagai bomba dan penyelamat di negeri Perlis. Keputusan untuk menjadi anggota bomba dibuat kerana minat yang mendalam dalam bidang ini, ditambah pula dengan pengaruh daripada ayah yang juga seorang anggota bomba.
Melihat cara ayahnya melayan dan membesarkan anak, membuatkannya kagum dan terinspirasi. Nor Syuhada dibesarkan di kuarters bomba Shah Alam selama 13 tahun, dan sepanjang tempoh itu, dia sudah terbiasa bermain dengan jentera bomba. Dari situlah timbul minat dan akhirnya berpeluang menceburi bidang ini.
Bomba Adalah Kerjaya Yang Lasak
Ketika menyuarakan hasrat untuk menjadi bomba, ayah saya pernah bertanya, “Betul ke nak jadi bomba? Kerja ni bukan mudah, terutama untuk perempuan. Tugas bomba lebih kepada kerja yang lasak dan mencabar.”
Namun, semangat saya tidak pernah luntur. Saya tahu ini adalah jalan yang ingin saya pilih.
Cabaran terbesar yang saya hadapi adalah pada bulan pertama berkhidmat. Saya mendapat kes kebakaran di Padang Besar dan melihat sendiri mangsa dalam keadaan rentung. Itu adalah kali pertama saya melihat mayat di depan mata, satu pengalaman yang sangat menguji ketahanan mental dan emosi.
”Untuk mengatasi ketakutan itu, saya akui pada mulanya saya juga tidak berani. Namun, latihan yang diberikan oleh pasukan bomba sangat membantu. Dari latihan dalam gelap, memadamkan api, mengangkat hose, hingga kepada latihan-latihan lain di pusat rekrut, semua itu mempersiapkan saya dengan kemahiran dan keberanian yang diperlukan.” jelasnya.
Lama-kelamaan, dia menjadi terbiasa dan lebih yakin dengan tugas yang diamanahkan.
“Kadang-kadang, mungkin kerana kami datang dengan pakaian bomba yang lengkap, keyakinan itu hadir dengan sendirinya,” jelasnya.
Pendedahan Dan Kesedaran Kebakaran
Selain tugas menyelamat, ada banyak perkara yang orang ramai tidak tahu tentang kerja bomba. Salah satunya adalah penekanan kepada keselamatan kebakaran, terutamanya di bangunan tinggi.
”Kami sering memberikan pendedahan tentang kesedaran kebakaran kepada orang awam supaya mereka tahu apa yang perlu dibuat jika berdepan dengan kebakaran, kemalangan atau kes keceemasan yang lain.” katanya.

Wanita Perlu Berani Mencuba
Saya berpendapat bahawa dalam dunia hari ini, kita hidup dengan pelbagai kemungkinan. Dengan bekerja, kita dapat mengembangkan kemahiran, meningkatkan keyakinan diri, dan pada masa yang sama membantu kewangan keluarga.
“Jangan takut untuk mencuba. Cuba cabar diri dahulu. Hanya dengan mencuba, kita akan tahu sejauh mana kemampuan diri kita.”
Dalam pasukan bomba, peranan wanita sama penting dengan lelaki. Sama ada dalam menyelamatkan mangsa kebakaran atau kes lemas, wanita juga dikehendaki hadir dan melaksanakan tugas dengan penuh tanggungjawab.
Di sini, tiada perbezaan jantina, yang penting adalah semangat dan dedikasi dalam menjalankan amanah.
3. Nur Aida Binti Norlan: Jururawat Hebat, Ibu Cekal

Setiap hari, Nur Aida Binti Norlan menyarung uniform dengan penuh semangat dan tanggungjawab. Dia adalah jururawat di Unit Obstetrik dan Ginekologi di salah sebuah hospital kerajaan.
Di sebalik senyuman dan ketenangan wajahnya, tersimpan kisah perjuangan seorang ibu kepada dua anak lelaki yang telah berkhidmat selama lima tahun dalam bidang ini.
Kerjaya Dan Keluarga
Memilih bidang kejururawatan bukan sekadar demi masa depan, tetapi kerana keinginan mendalam untuk berkhidmat dalam kerjaya yang mulia ini.
Pada tahun 2021, dia berjaya diserap sebagai kakitangan tetap di luar negeri kelahiran dan terpaksa PJJ dengan suami ketika sedang sarat mengandung 7 bulan.
Menjadi seorang jururawat sememangnya tidak mudah kerana perlu bekerja mengikut shift. Ketika menjalani PJJ, dia menggunakan masa yang ada untuk fokus pada tugas sepenuhnya sehinggalah tiba giliran dapat cuti dan pulang ke kampung untuk berjumpa anak-anak dan suami.
Cabaran Era Media Sosial Dan Masyarakat
Mengakui setiap pekerjaan pastinya ada cabaran tersendiri, Nur Aida mengatakan cabaran utama dan dihadapi setiap hari adalah berdepan pelbagai kerenah pesakit, terutamanya ibu-ibu selepas bersalin yang sedang berusaha menyesuaikan diri dengan kehadiran bayi baru. Ada yang menganggap semua urusan penyusuan dan menukar lampin adalah tugas jururawat sepenuhnya.
“Kadang-kadang ada ibu yang baru bersalin rasa tertekan dan penat. Mereka fikir penjagaan bayi baru lahir adalah tugas jururawat. Kita kena banyak bersabar dan faham keadaan mereka,” jelasnya.
Selain itu, cabaran era media sosial juga menambah tekanan. Segala tindakan jururawat mudah dirakam dan disebarkan, menjadikan mereka perlu sentiasa berhati-hati dalam setiap percakapan dan perbuatan.
“Adanya media sosial, sesiapa saja boleh ambil gambar atau video kita. Jadi, setiap perbuatan dan tindakan di hospital perlu sangat berhati-hati. Kita kena jaga etika dan profesional,” katanya.
Keberanian Datang Ketika Menyarung Uniform

Apabila menyarung uniform jururawat, Nur Aida mengatakan dirinya jadi lebih bersemangat dan berani untuk berdepan dengan sebarang situasi pesakit yang berdarah, kotor dengan najis atau nanah.
“Bila pakai uniform nurse, entah kenapa semangat dan kekuatan tu datang sendiri. Kita jadi berani, kita tahu tugas kita untuk membantu pesakit. Tapi bila balik rumah, buka uniform, kita jadi orang biasa juga. Tapi sebab dah biasa hadap situasi mencabar, rasa takut tu makin lama makin hilang,” katanya sambil tertawa kecil.
Tugas utama jururawat adalah memastikan pesakit menerima perawatan terbaik secara menyeluruh. Walaupun membersihkan pesakit atau menukar lampin bukan sebahagian daripada prosedur rasmi, jururawat tidak akan membiarkan pesakit dalam keadaan tidak selesa.
“Kami takkan biarkan pesakit dalam keadaan kotor. Untuk bagi pesakit cepat sihat, kami juga kena pastikan mereka selesa dan dijaga dengan baik,” tegas Nur Aida.
Wanita Dan Keperluan Bekerja
Dalam dunia yang penuh cabaran ekonomi, Nur Aida berpendapat bahawa wanita perlu mempunyai pendapatan sendiri, walaupun hanya bekerja dari rumah.
“Dunia sekarang lain. Kos sara hidup makin tinggi. Wanita perlu ada pendapatan sendiri walaupun hanya kerja dari rumah. Bila kita beli sesuatu hasil titik peluh sendiri, rasa puas hati tu lain,” katanya dengan yakin.
Meskipun Islam tidak mewajibkan wanita bekerja, realiti zaman kini menjadikan kewangan adalah satu keperluan.

Pesanan Buat Wanita Hebat di Luar Sana
“Setiap wanita perlu kuat kerana kita mempunyai jiwa dan semangat yang luar biasa,” kata Nur Aida penuh inspirasi. Beliau menasihatkan agar wanita sentiasa berfikiran positif dan berusaha memajukan diri.
“Fikirkan diri sendiri dulu. Kalau kita bahagia, InsyaAllah seisi keluarga pun akan bahagia. Cabaran memang sentiasa ada dari aspek kerja, keluarga, pasangan atau anak. Tapi kita kena atasi semua tu dengan tenang dan profesional, jangan ikut emosi,” nasihatnya.
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!