Tak perlu belanja besar pun untuk bawa anak-anak keluar berjalan. Di Kuala Lumpur dan Selangor, sebenarnya banyak taman permainan outdoor percuma yang bukan saja luas, selesa dan bersih, tetapi juga penuh aktiviti yang sesuai untuk anak-anak!
Jom kita tengok senarai taman permainan kanak-kanak yang menarik dan sesuai untuk anda lawati bersama keluarga tanpa keluarkan satu sen pun untuk tiket masuk.
Taman Permainan Kanak-Kanak KL & Selangor
1. Taman KLCC, Kuala Lumpur
Terletak di tengah bandar, taman ini lengkap dengan taman permainan besar yang moden, kolam air cetek untuk kanak-kanak main air (water fountain play area), serta trek pejalan kaki di bawah rimbunan pokok. Anda boleh habiskan masa di sini sebelum atau selepas masuk Suria KLCC.

Untuk kemudahan parkir, anda sebenarnya tidak perlu meletakkan kenderaan di dalam pusat membeli-belah. Masuk sahaja Exxon Mobil Tower, di situ tersedia ruang parkir yang luas dengan bayaran cuma RM10 pada hujung minggu.
Alamat: City Centre, Kuala Lumpur City Centre, 50450 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
2. Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur
Taman Tasik Titiwangsa sangat popular untuk keluarga. Ia mempunyai taman permainan kanak-kanak yang besar dan kawasan air pancut interaktif yang membolehkan anak-anak bermain air dengan selamat.

Terdapat juga laluan berbasikal, dan trek joging yang mengelilingi tasik. Ibu bapa boleh bersantai di pondok teduh sambil memantau anak bermain.
Alamat: Jalan Kuantan, Titiwangsa, 53200 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
3. Taman Botani Perdana KL
Taman Botani Perdana adalah tamn hijau seperti oasis di tengah bandar. Ia menawarkan pelbagai aktiviti santai untuk seisi keluarga, termasuk lawatan ke Taman Rusa yang membolehkan pengunjung melihat rusa dan kancil.
Bagi yang ingin menikmati pemandangan tanpa penat berjalan, trem mini dengan kadar sekitar RM10 sedia membawa anda mengelilingi kawasan tasik yang tenang sehingga ke Masjid Negara. 

Taman ini juga memiliki trek jogging yang dikelilingi pepohon rendang, menjadikannya lokasi ideal untuk beriadah. Selain itu, kawasan berumput luas dan gazebo turut disediakan untuk mereka yang ingin berkelah atau sekadar bersantai dalam suasana damai.
Di sini juga terdapat dua taman permainan besar iaitu Taman Hikayat dan Fantasy Planet & Dinosaur Park. Selain taman permainan, ia juga mempunyai taman orkid, taman herba, dan pelbagai jenis landskap menarik yang boleh dijelajahi bersama anak-anak.
Alamat: Jalan Kebun Bunga, Tasik Perdana, 55100 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
4. Avenue Kingdom @ Bangi Avenue
Kini anda dan seisi keluarga berpeluang menikmati tarikan terbaharu yang dibuka di Union Square, Bangi Avenue iaitu Avenue Kingdom, sebuah destinasi riadah yang mesra keluarga dan sesuai untuk semua peringkat umur.
Avenue Kingdom dibuka secara rasmi kepada pengunjung dari jam 10 pagi hingga 12 tengah malam, dengan kemasukan adalah percuma.

Antara tarikan utama yang disediakan termasuklah taman permainan kanak-kanak, laluan maze (berbelit), serta hiasan lampu pokok yang indah dan memukau, terutamanya pada waktu malam. Avenue Kingdom menawarkan suasana santai dan menyeronokkan, menjadikannya pilihan ideal untuk aktiviti hujung minggu bersama keluarga dan rakan-rakan.
Alamat: 11, Jln Bangi Ave 1/5, Bangi Avenue, 43000 Kajang, Selangor
5. IOI Central Park, Putrajaya
Jika anda sedang mencari tempat untuk berehat, menyegarkan minda, dan membiarkan anak-anak melepaskan tenaga tanpa melibatkan skrin atau gajet, Central Park @ IOI City Resort adalah pilihan yang ideal.
Terletak bersebelahan dengan IOI City Mall, Putrajaya, taman ini merupakan kawasan rekreasi terbuka yang baharu dan dibangunkan khusus untuk keselesaan dan keseronokan seisi keluarga.

Taman ini menawarkan pelbagai kemudahan menarik seperti gelanggang bola keranjang dan futsal, gelanggang badminton, serta taman permainan kanak-kanak yang luas. Bagi mereka yang gemar aktiviti fizikal, terdapat zon berbasikal, kawasan papan selaju, dan gim kecergasan terbuka untuk semua peringkat umur. Lebih menarik, taman ini turut menampilkan tasik yang indah dengan pemandangan angsa berlayar tenang di permukaan, suasana yang sempurna untuk bersiar-siar atau berkelah santai bersama keluarga.
Alamat: City, Central Park, Ioi Resort, 62000 Putrajaya, Selangor
6. Central Park, Elmina Lakeside Mall
Central Park Elmina adalah taman tasik yang besar dan menarik ini dihubungkan terus dengan pusat beli-belah, menjadikannya lokasi yang ideal untuk pelbagai aktiviti luar seperti berbasikal, berjoging dan berjalan santai.
Antara tarikan utama di taman ini termasuk ciri-ciri air yang menarik seperti laluan air yang boleh dilalui, pancuran air, itik berenang, gelongsor tinggi serta taman permainan kanak-kanak yang sesuai untuk aktiviti keluarga.

Selain bersih, selamat dan diselenggara dengan baik, taman ini juga dibuka setiap hari dari jam 7 pagi hingga 8 malam dan masuk adalah percuma kepada orang awam. Ia merupakan pilihan tepat bagi mereka yang inginkan gabungan rekreasi, kecantikan semula jadi dan kemudahan moden dalam satu tempat.
Alamat: Elmina Central Park, Seksyen U16 City of Elmina, 40160, Selangor
7. Minecraft Playground, Lake Point Park, Setia Alam Impian
Anda mungkin tidak menyangka terdapat sebuah taman awam di Malaysia boleh kelihatan sebegitu indah dan kreatif. Terletak di LakePoint Park, Taman Alam Impian, Shah Alam, taman ini menampilkan pelbagai zon bertema yang direka khas untuk menceriakan kunjungan seisi keluarga, termasuk sebuah taman permainan bertemakan Minecraft yang pasti membuatkan kanak-kanak teruja.

Orang dewasa juga pasti menikmati suasana yang tenang, reka bentuk yang menarik, serta sudut-sudut bergambar yang cantik dan estetik. Setiap zon dilengkapi gelongsor yang berbeza, dan terdapat juga kawasan bertema muzik yang interaktif dan menyeronokkan.
Dengan persekitaran yang bersih, terjaga rapi, serta ruang terbuka yang luas, LakePoint Park ialah lokasi ideal untuk anak-anak berlari, memanjat dan meneroka, manakala ibu bapa pula boleh bersantai sambil merakam gambar indah untuk kenangan atau media sosial.
Alamat: Taman Tasik Alam Impian, 40470 Shah Alam, Selangor
8. Playcity, TRX Exchange
TRX City Park, sebuah taman atas bumbung seluas 10 ekar yang menggabungkan elemen moden bertaraf antarabangsa dengan sentuhan budaya Malaysia.
Taman TRX ini terletak di Level 4 dan tarikan utama di sini ialah kawasan Water Play interaktif yang pasti digemari kanak-kanak. Air pancut yang boleh disentuh dan dimainkan menjanjikan keseronokan bermain air, manakala zon sensori berbentuk lingkaran yang dipenuhi mainan membolehkan si kecil meneroka dengan penuh rasa ingin tahu.

Selain itu, taman ini juga menampilkan Play City yang diinspirasikan daripada reka bentuk rumah kampung Melayu, lengkap dengan gelongsor, laluan panjat dan ruang merangkak — sesuai untuk anak-anak yang aktif. Bahagian kiri Play City pula lebih mesra untuk kanak-kanak kecil atau toddler.
Satu lagi tarikan istimewa ialah Play Cave, kawasan permainan berbentuk gua dengan gelongsor yang melalui ‘batu-batu’ serta ruang kecil untuk anak-anak duduk dan bermain. Di sini juga terdapat zon panjat batu (rock climbing) yang bukan sahaja menyeronokkan tetapi turut membantu meningkatkan kemahiran motor dan keseimbangan fizikal anak-anak.
Alamat: Level 4, Persiaran TRX, Tun Razak Exchange, 55188 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
9. Taman Metropolitan Kepong, Kuala Lumpur
Taman Metropolitan Kepong turut dikenali sebagai Taman Layang-Layang kerana aktiviti bermain layang-layang amat popular di sini. Ramai pengunjung datang untuk merasai keseronokan melepaskan layang-layang ke udara. Dari kejauhan, pasti kelihatan layang-layang beraneka warna menghiasi langit dengan pergerakan yang memukau.
Taman permainan di sini moden dan besar. Anda juga boleh sewa basikal keluarga dan bawa anak ronda sekitar tasik dengan pemandangan yang begitu indah.

Alamat: Jalan Lingkaran Tengah 2, 7, Pavement, Taman Metropolitan Kepong, 52100 Kepong, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
10. Taman Persekutuan Bukit Kiara, TTDI
Bagi keluarga yang suka ‘nature walk’ atau hiking ringan, tempat ini sangat sesuai. Trek hutan di sini selamat dan tidak terlalu mencabar sesuai untuk anak-anak kecil. Udara segar dan suasana hutan hujan tropika memberi pengalaman berbeza dari taman biasa.

Alamat: 78, Jln Abang Haji Openg, Taman Tun Dr Ismail, 60000 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
11. Taman Tasik Permaisuri, Cheras
Terletak di tengah-tengah Cheras, taman ini ada trek joging, laluan refleksologi dan tasik yang damai. Anak-anak boleh bermain di taman permainan atau beri makan ikan di tasik. Ada banyak tempat duduk dan kawasan redup untuk ibu bapa berehat.

Alamat: Jalan Tasik Permaisuri 2, Bandar Tun Razak, 56000 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
12. Taman Saujana Hijau, Putrajaya
Taman ini seolah-olah berada di luar negara! Dipenuhi dengan pokok pain dan padang hijau berbukit. Sesuai untuk aktiviti ambil gambar, berkelah, dan main bubble dengan anak-anak. Walaupun agak jauh dari KL, suasana yang tenang dan bersih sangat berbaloi untuk kunjungan hujung minggu.

Alamat: Jalan P11, Presint 11, 62000 Putrajaya, Wilayah Persekutuan Putrajaya
13. Taman Tasik Cyberjaya
Taman moden ini mempunyai laluan pejalan kaki, kawasan permainan kanak-kanak dan pemandangan tasik yang luas. Anak-anak boleh main skuter atau basikal kecil. Tempat ini juga sangat popular untuk aktiviti jogging atau piknik waktu petang.

Taman permainan juga dilengkapi dengan permainan yang selamat dan menyeronokkan. Anak-anak dapat bersuka ria sambil bermain, menjalin persahabatan, dan mengekalkan keceriaan mereka di tengah-tengah alam semulajadi.
Taman ini juga menampilkan “Pulau Wind Chime” yang berada di tepi tasik, di samping terdapat beberapa taman yang mengelilinginya. Selain itu, di taman ini terdapat kolam teratai yang cantik, di mana anda mungkin beruntung melihat teratai mekar semasa musimnya.
15. Taman Tasik Shah Alam, Selangor
Taman Tasik Shah Alam, juga dikenali sebagai Shah Alam Lake Garden, merupakan salah satu tempat menarik di Shah Alam selain Taman Botani Shah Alam.

Dibuka pada tahun 1985, taman ini menawarkan pelbagai tarikan menarik dan kemudahan lengkap untuk pengunjung dari semua peringkat umur.
Dengan keluasan 43 hektar, taman ini menyediakan suasana yang tenang dan indah untuk pelbagai aktiviti riadah dan rekreasi harian, hujung minggu atau cuti sekolah.
Alamat: Seksyen 14, 40000 Shah Alam, Selangor
Taman Permainan Untuk Perkembangan Kanak-Kanak
Taman permainan bukan sekadar tempat untuk anak-anak berseronok. Ia sebenarnya ruang penting yang menyokong pelbagai aspek perkembangan kanak-kanak — dari segi fizikal, sosial, emosi hingga ke kognitif. Berikut ialah beberapa manfaat utama taman permainan terhadap tumbesaran anak:
1. Perkembangan Fizikal
Aktiviti seperti memanjat, berlari, melompat dan mengimbangi badan di taman permainan membantu menguatkan otot, meningkatkan koordinasi dan memperbaiki keseimbangan badan. Ini amat penting dalam menyokong pertumbuhan fizikal yang sihat dan aktif.
2. Merangsang Kreativiti dan Imaginasi
Taman permainan memberi ruang terbuka kepada kanak-kanak untuk bermain secara bebas. Main peranan (role play) seperti berpura-pura jadi doktor, pahlawan atau penjual aiskrim membina daya imaginasi dan pemikiran kreatif anak-anak.
3. Kemahiran Sosial dan Komunikasi
Bermain bersama rakan sebaya mengajar kanak-kanak cara untuk berkongsi, bergilir-gilir, berunding, menyelesaikan konflik dan membentuk empati. Ini membantu mereka membina kemahiran sosial yang penting dalam kehidupan seharian.
4. Meningkatkan Keyakinan Diri
Apabila kanak-kanak berjaya memanjat gelongsor tinggi atau berjaya melintas jambatan tali tanpa bantuan, ia memberi mereka rasa pencapaian. Ini menggalakkan keyakinan diri dan keberanian untuk mencuba perkara baru.
5. Mengurangkan Tekanan dan Menyokong Kesihatan Mental
Bermain secara aktif di luar rumah membantu mengurangkan tekanan, kebimbangan dan meningkatkan mood. Udara segar, cahaya matahari dan gelak tawa ketika bermain semua itu menyumbang kepada kesihatan mental anak yang lebih baik.
Tips Untuk Ibu Ayah Bila Bawa Anak ke Taman
- 
Bawa tikar piknik & makanan ringan: anak cepat lapar bila aktif
 
- 
Pakai pakaian selesa dan kasut yang sesuai untuk anak-anak
 
- 
Gunakan losyen pelindung matahari dan topi
 
- 
Pastikan anak minum cukup air
 
- 
Sentiasa awasi anak, terutama jika berhampiran tasik atau kawasan air
 
- Elakkan waktu tengah hari, cuaca terlalu panas untuk anak kecil
 
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga:  Anak Bermain Di Luar Rumah: Manfaat Outdoor Play, Jenis Aktiviti & Apa Yang Dipelajari
Baca juga: Kalau Anak Selalu Jadi ‘Burung Hantu’, Bawa Dia Pijak Rumput Tanpa Kasut Untuk Mudah Tidur Malam!
Baca juga:  Anak Takut Basah, Geli Pegang Pasir? Adakah Itu Tanda Awal Autisme Atau Masalah Sensori?
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download  theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!