Kedudukan Saf Suami Isteri Yang Betul Ketika Solat Berjemaah Di Rumah & Di Ruang Sempit

Kedudukan saf suami isteri solat berjemaah adalah isteri berada di belakang suami. Namun jika ruang sempit, isteri berada di sebelah kiri

Loading...
You got lucky! We have no ad to show to you!
Iklan

Saf dalam solat berjemaah adalah salah satu perkara yang ditekankan dalam Islam kerana ia melambangkan kesatuan, ketertiban, dan disiplin dalam ibadah. Namun, persoalan sering timbul tentang di manakah sepatutnya kedudukan saf suami isteri apabila solat berjemaah di rumah.

Kedudukan Saf Suami Isteri

Kedudukan solat suami isteri yang betul ketika solat berjemaah adalah isteri berada di belakang suami.

Riwayat daripada Anas bin Malik R.A yang menyatakan:

‎ أَنَّ جَدَّتَهُ مُلَيْكَةَ دَعَتْ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِطَعَامٍ صَنَعَتْهُ لَهُ فَأَكَلَ مِنْهُ ثُمَّ قَالَ قُومُوا فَلِأُصَلِّ لَكُمْ ، فَقَامَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، وَصَفَفْتُ وَالْيَتِيمَ وَرَاءَهُ ، وَالْعَجُوزُ مِنْ وَرَائِنَا ، فَصَلَّى لَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَكْعَتَيْنِ ثُمَّ انْصَرَفَ

Maksudnya: Bahawa neneknya yang bernama Mulaikah menjemput Rasulullah SAW memakan makanan yang telah dimasaknya. Maka baginda pun menjamu makanan tersebut lalu bersabda: Bangunlah untuk aku bersolat bersama kamu semua. Kemudian Rasulullah SAW berdiri untuk solat, lalu baginda meletakkan aku dan seorang anak yatim di belakangnya, dan perempuan tua (nenek) di belakang kami. Kemudian baginda solat dua rakaat bersama kami dan seterusnya beredar.

Menurut Imam al-Nawawi, terdapat beberapa faedah yang boleh dikeluarkan daripada hadis di atas. Antaranya, hadis di atas menjelaskan bahawa kedudukan orang perempuan adalah berdiri di belakang orang lelaki semasa menunaikan solat.

Loading...
You got lucky! We have no ad to show to you!
Iklan

Justeru, dapat difahami bahawa jika seorang perempuan itu menjadi makmum kepada orang lelaki, sama ada lelaki tersebut adalah ayahnya, abang, adik, atau suaminya, maka kedudukan saf bagi wanita itu adalah di belakang imam.

Ini juga bertepatan dengan nas yang turut diriwayatkan oleh Anas bin Malik R.A yang mengatakan:

‎أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَلَّى بِهِ وَبِأُمِّهِ أَوْ خَالَتِهِ قَالَ فَأَقَامَنِي عَنْ يَمِينِهِ وَأَقَامَ الْمَرْأَةَ خَلْفَنَا

Maksudnya: Sesungguhnya Rasulullah SAW solat dengannya (Anas) bersama dengan ibunya atau ibu saudaranya lalu Anas berkata: Baginda mendirikan aku di sebelah kanannya dan baginda mendirikan orang perempuan di belakang kami.

Kedudukan Solat Suami Isteri Dalam Ruang Sempit

Dalam keadaan tertentu, seperti ketika dalam perjalanan atau berada di tempat terhad (contohnya, di bilik hotel atau kawasan kecil), suami isteri mungkin menghadapi kesukaran untuk mengikut aturan kedudukan solat suami isteri yang biasa.

Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan tidak batal solat, tidak diharamkan bahkan tidak dimakruhkan seorang isteri bersolat di sebelah kiri suami sekiranya ruang di rumah itu sempit kerana ada keperluan.

Loading...
You got lucky! We have no ad to show to you!
Iklan

الكَرَاهَة تَزُولُ بالحَاجَة

Maksudnya: “Hukum makruh itu hilang apabila wujud keperluan”- Rujuk Ma`lamah Zayed (no.267)

Perkara-perkara yang dimakruhkan di dalam solat tidak menjadi makruh apabila terdapat keperluan untuk melakukannya.

Berkata Imam al-Nawawi dalam al-Minhaj Syarh Muslim (5/34):

“Diharuskan untuk melakukan perbuatan yang sedikit di dalam solat, maka jika langkah dua kali itu tidak membatalkan solat tetapi lebih utama tinggalkan melainkan ada keperluan, sesungguhnya pergerakan kerana keperluan itu tidak dimakruhkan seperti mana yang dilakukan oleh Nabi ﷺ.

Loading...
You got lucky! We have no ad to show to you!
Iklan

Hadis ini juga menunjukkan bahawa dibenarkan untuk imam solat di atas tempat yang lebih tinggi daripada tempat makmum-makmum, tetapi hukumnya adalah dimakruhkan apabila tempat imam lebih tinggi atau tempat makmum lebih tinggi, melainkan kerana hajat.

Maka jika ada hajat keperluan seperti tujuannya untuk mengajar perbuatan-perbuatan solat maka tidak dimakruhkan bahkan sunat berdasarkan hadis ini. Begitu juga apabila seorang makmum bertujuan mengajar makmum lain perbuatan solat imam yang memerlukan tempat yang tinggi.”

Susunan Saf Di Dalam Solat Yang Betul

Para fuqaha juga telah bersepakat bahawa bagi laki-laki, solat yang mereka tunaikan secara berjemaah di masjid adalah lebih baik (adfhal) berbanding solat mereka secara bersendirian di rumah.

Adapun bagi hak perempuan, solat yang didirikan di rumah-rumah mereka adalah lebih baik. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 8/231-232).

Pertamanya berkenaan susunan saf di dalam solat, menurut Habib Hasan bin Ahmad al-Kaff bahawa:

Jika makmum hanya seorang lelaki, maka dia hendaklah berdiri di sebelah kanan imam.Apabila seorang makmum lelaki yang lain datang, maka orang tersebut hendaklah berdiri di sebelah kiri imam. Kemudian imam boleh berganjak/bergerak ke hadapan atau kedua-dua makmum lelaki tadi boleh berganjak ke belakang dan inilah yang sebaik-baiknya (afdhal).

Loading...
You got lucky! We have no ad to show to you!
Iklan

Menurut beliau lagi, dari segi susunan jemaah dalam saf, hendaklah yang berdiri di belakang imam jemaah lelaki, kemudian jemaah kanak-kanak, kemudian jemaah khunsa dan kemudian barulah jemaah wanita.

Manakala imam wanita ketika mengimamkan jemaah wanita pula hendaklah berdiri di tengah-tengah dalam saf jemaah wanita itu, dan begitu juga imam (lelaki) yang bertelanjang tanpa sebarang pakaian yang dapat dilihat bukan pada waktu malam hari juga hendaklah berdiri di tengah-tengah dalam saf jemaahnya.

Tambahan lagi, Imam al-Nawawi juga ada menyatakan dalam kitabnya berkenaan susunan saf di dalam solat bahawa sekiranya yang menghadiri solat terdiri daripada ramai lelaki dewasa, kanak-kanak, khunsa dan perempuan-perempuan, maka dahulukan (susunan di dalam saf) lelaki-lelaki dewasa, kemudian kanak-kanak, kemudian golongan khunsa dan kemudian barulah perempuan-perempuan.

Sekiranya yang menghadiri solat terdiri daripada ramai lelaki dewasa, seorang khunsa dan seorang perempuan, maka letakkan saf khunsa secara bersendirian di belakang saf lelaki dan saf perempuan secara bersendirian di belakang saf khunsa.

Jika bersama mereka seorang kanak-kanak, maka masukkan kanak-kanak tersebut di dalam satu saf bersama lelaki-lelaki dewasa.

Loading...
You got lucky! We have no ad to show to you!
Iklan

Manakala sekiranya yang datang solat terdiri daripada seorang Imam, seorang kanak-kanak, seorang perempuan dan seorang khunsa, maka kedudukan saf kanak-kanak itu di sebelah kanan Imam, saf khunsa di belakang mereka berdua, dan saf perempuan di belakang saf khunsa.

Kesimpulannya, kedudukan saf ssuami isteri adalah cerminan adab dan ketertiban dalam ibadah berjemaah. Walaupun hanya berdua, isteri perlu berdiri di belakang suami.

Jika berjemaah di masjid, pasangan perlu mengikuti kedudukan saf yang telah ditetapkan, dengan suami di saf lelaki dan isteri di saf wanita.

Mematuhi adab dan kedudukan saf ini bukan sahaja melambangkan disiplin dalam solat tetapi juga mengukuhkan hubungan suami isteri melalui ibadah bersama.

Semoga setiap pasangan suami isteri dapat menjadikan solat berjemaah sebagai amalan harian untuk meraih keberkatan dan keredaan Allah SWT dalam kehidupan rumah tangga.

Semoga artikel ini bermanfaat.

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia

Baca juga:  Panduan Solat Sambil Dukung Anak Yang Betul Dari JAKIM, Ibu Ayah Tak Perlu Was-Was Lagi

Baca juga: Cara Solat Jamak Takhir & Takdim Berserta Niat (Dengan Qasar & Tanpa Qasar): Panduan Lengkap Ketika Musafir

Baca juga: Cara Qada Solat Fardu: Niat Qada Solat Dan Panduan Ganti Solat Fardhu Disebabkan Tertinggal Atau Terlepas Waktu