Nigella Lawson dikasari suami

Nigella Lawson dikasari suami

Kota London dikejutkan dengan paparan gambar-gambar Nigella Lawson, seorang chef wanita terkenal di sana, dikasari suami. Ikuti kisah ini dan perbincangan tentang keganasan rumahtangga dalam artikel kali ini.

Nigella Lawson dikasari suami

Ikuti kisah ini dan perbincangan tentang keganasan rumahtangga

Aina hanya membisu. Pandangannya dilontarkan jauh-jauh melalui tingkap bilik hospital yang didiaminya sejak semalam. Fikirannya kusut, namun keputusan harus dibuat. Telah terlalu lama rasanya dia membiarkan diri dikasari suaminya, Hadi. Sudah berulang kali juga dia menjadi pengunjung hospital ini.

Kali ini, jika Hadi menangis air mata darah sekalipun dia tidak akan peduli. Hampir saja kandungannya gugur apabila ditendang Hadi lewat petang semalam. Ternyata, tubuh badannya sendiri tidak lagi mampu menanggung deritanya.

Nigella Lawson dikasari suami

Pada 17 Jun lalu, suami kepada seorang ‘chef’ wanita terkenal Nigella Lawson dilaporkan oleh Daily Mail menerima amaran pihak polis beberapa jam selepas beliau mengumumkan bahawa gambarnya mengasari Nigella hanya satu perselisihan kecil. Tambahnya lagi Nigella menangis bukan kerana sakit tetapi kerana tidak sukakan perselisihan.

Beliau telah dirakam dengan tangan mencengkam leher isterinya yang kelihatan sedang menangis di restoran kegemaran mereka, Scott’s di Mayfair, London pada 9 Jun lalu dan disiarkan oleh akhbar The Sun pada 16 Jun. Beliau juga dilaporkan menarik leher Nigella sebanyak empat kali, pertama kali dengan tangan kirinya dan kemudian kedua-dua tangannya.

Bukan kali pertama

Menurut laporan berita itu lagi, ini bukanlah kali pertama mereka bertengkar di tempat awam, namun ini kali pertama Charles dilihat mengasari secara fizikal.

Seorang jiran mereka juga memberitahu, mereka pernah bertengkar di jalanan sehingga jiran-jiran membuat spekulasi yang pasangan itu akan berpisah. Namun Nigella dan Charles kemudiannya dilihat berjalan berpegangan tangan dengan ceria pada hujung minggu berikutnya.

Keluar rumah

Sejak tersebarnya gambar dan berita ini, Nigella dan anak lelaki hasil perkahwinan pertama dengan John Diamond yang meninggal akibat kanser, dilaporkan telah meninggalkan kediaman mereka.

Menurut Charles, dia secara sukarela hadir ke balai polis dan mengaku mengasari Nigella kerana tidak mahu perkara ini terus menghantui. Beliau yang meminta Nigella keluar bersama anaknya sehingga berita ini reda memandangkan rumah mereka diserbu wartawan.

Mutakhir

Terbaru, pada 20 Jun, akhbar The Telegraph melaporkan Nigella dilihat tidak lagi memakai cincin perkahwinan mereka. Tiada sebarang komen tentang kejadian mahupun berita ini daripada mulut Nigella sendiri.

Walau bagaimanapun bekas isteri Charles, Kay Saatchi, mendakwa bahawa Charles tidak dilayan dengan adil dalam hal ini. Meskipun Charles mungkin seseorang yang agak ‘sukar’, namun dalam 11 tahun mereka bersama, Charles tidak pernah mengasari beliau secara fizikal.

Keganasan rumahtangga

Hal-hal rumahtangga adalah sesuatu yang harus diselesaikan didalam rumah. Namun melibatkan keganasan dan penderaan fizikal, ia tidak sepatutnya disimpan. Menurut Akta Keganasan Rumahtangga 1994 dan (Pindaan) 2011, serangan atau keganasan rumahtangga termasuk:

i. meletakkan mangsa dalam keadaan ketakutan
ii. menyebabkan kecederaan fizikal
iii. memaksa atau mengancam mangsa melakukan perbuatan seksual
iv. mengurung atau menahan mangsa tanpa kerelaan
v. memusnahkan atau merosakkan harta dengan niat menyebabkan kesedihan atau kegusaran
vi. menyebabkan penderaan psikologi termasuk kecederaan emosi
vii. menyebabkan mangsa mengalami delusi dengan apa-apa bahan

Tanda-tanda

Bukan mudah bagi mangsa meminta bantuan, jadi tanggungjawab melapor kadangkala terletak dibahu orang disekeliling mereka. Perhatikan tanda-tanda ini pada keluarga, saudara, rakan sekerja atau jiran:

• Lebam, luka atau bengkak dibadan dengan alasan ‘kemalangan’ atau ‘jatuh’.
• Kemurungan dan kerap menangis.
• Kerap menghilangkan diri.
• Kerap datang kerja lambat.
• Kerap menerima gangguan panggilan telefon semasa bekerja.
• Takut kepada pasangan.
• Tumpuan dan prestasi kerja merosot.
• Menyisihkan diri.

Apa boleh dilakukan

Kepada mangsa, jika anda tidak nampak tanda-tanda pasangan atau pendera akan berubah, kasihanilah diri. Tiada siapa dapat membantu jika anda tidak mengizinkan. Lakukan perkara berikut:

• Buat laporan polis
• Jika bimbangkan keselamatan anda atau anak-anak, beritahu pihak polis yang anda ingin memohon perintah perlindungan interim (IPO). Bawa dokumen yang diberikan oleh pihak polis ke Jabatan Kebajikan kawasan anda. Pegawai disana akan membantu membuat permohonan di mahkamah. IPO mesti diberikan dalam masa tujuh hari kepada pendera.
• Dapatkan rawatan perubatan di One Stop Crisis Centre di mana-mana Hospital Kerajaan. Pusat ini diadakan khas bagi menangani kes sebegini.
• Dapatkan tempat perlindungan sementara, sama ada di rumah saudara atau di rumah perlindungan NGO atau Jabatan Kebajikan.
• Jika keadaan membahayakan, buat pelan kecemasan.
• Hubungi mana-mana NGO wanita untuk bantuan dan nasihat.

Pelan kecemasan

Beritahu anak-anak jika mereka cukup matang untuk memahaminya. Pastikan kenderaan yang anda ingin gunakan sentiasa mempunyai petrol yang mencukupi. Pastikan juga ada simpan wang, dokumen penting, ubat-ubatan dan set kunci dalam satu tempat khas yang mudah untuk dibawa jika anda perlu melarikan diri.

Nombor hubungan

Minta bantuan keluarga atau rakan baik yang boleh anda percayai. Sebagai alternatif, dapatkan bantuan di sini:

Women Crisis Centre (WCC, Penang) : 04-228 0342
Women’s Aid Organisation (WAO) : 03-7956 3488
All Women Action Society of Malaysia (AWAM) : 03-7597 0224
National Council of Women’s Organisations (NCWO) : 03-7954 3008
BEFRIENDERS : 03-7956 8144
P.S. This Children : 03-7493 3103
Talian NUR : 15999
TELEDERA : 1-800-883040

BERKAIT: Maid gets 20 years for throwing baby

BERKAIT: 6 elementary schoolgirls taken to hotel by principal

Rujukan:

Shamed Saatchi faces the world after accepting police caution for assault when he grabbed Nigella by the throat during row at Mayfair restaurant
Keganasan [email protected]
Keganasan [email protected]
Akta Keganasan Rumahtangga
Akta Keganasan Rumahtangga (Pindaan)
Domestic [email protected]

Apa pandangan anda tentang kes keganasan rumahtangga di Malaysia? Kongsikannya di ruangan komen di bawah.

Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!

app info
get app banner