Walaupun kita bukan lagi di waktu pandemik, namun boleh dikatakan sekarang ini pelbagai penyakit menyerang anak-anak. Tidak cukup dengan Covid, kini Influenza, denggi dan macam-macam lagi kian merebak. sebab itulah pentingnya membawa doa keluar rumah jika anda ada perancangan untuk membawa mereka keluar.
Namun sebaik semua ini berakhir, tentu anda tertanya juga, bilakah waktu yang tepat untuk bawa si kecil keluar? Apa yang perlu dibawa? Bolehkah menyusu di tempat awam? Dan pelbagai lagi soalan yang mula timbul di fikiran ibu ayah.
Kerisauan Ibu Bapa Untuk Bawa Bayi Keluar Rumah
Antara kebimbangan utama ibu bapa bila nak bawa bayi keluar rumah ini adalah kerana bayi tidak mempunyai sistem imun yang berkembang sepenuhnya lantas bimbang mereka tidak dapat menahan atau melawan penyakit.
Kata seorang bapa yang bernama Ahmad Kamaruddin, kali pertama nak bawa bayi keluar dia berasa lebih resah berbanding isterinya. Risau bayi baru lahirnya terkena penyakit seperti selsema.
“Dahlah first time parents, banyak lagi benda yang tak tahu dalam penjagaan baby ni, nanti demam ke selsema ke kan lagi susah, bagi saya kesihatan baby memang priority,” kata Ahmad.
Berbeza dengan isterinya yang mana lebih bersikap terbuka, katanya ia bagus untuk kesihatan mentalnya yang kena berpantang 44 hari di rumah tanpa keluar langsung. Jadi bila bayi sudah mencecah hampir 2 bulan. Si isteri teruja untuk keluar bersama bayi!
Untuk ibu kepada seorang bayi lelaki, Intan Syazlin menyatakan bahawa dia paranoid untuk bawa bayinya keluar. Risau apa keperluan yang perlu dibawa.
Bagaimana dengan menyusu anak? Adakah tempat menyusu disediakan? Macam-macam bermain di fikirannya.
Bagi Intan, di rumah sudah selesa dan lengkap segalanya, kalau keluar itu macam memerlukan lebih tenaga dan agak menyusahkan, jadi dia memilih untuk keluar bila betul-betul terpaksa sahaja.
Waktu Tepat Untuk Membawa Bayi Keluar Rumah
Walau bagaimanapun, menurut kebanyakan pakar kesihatan pediatrik, bayi boleh dibawa keluar di tempat awam atau di luar rumah selagi ibu bapa mengikuti beberapa langkah keselamatan asas. Tidak perlu menunggu sehingga usia 6 minggu atau 2 bulan.
Bersiar-siar dan khususnya, bersantai di luar, baik untuk ibu bapa dan bayi. Cahaya matahari dan udara segar memberikan manfaat kesihatan seperti pendedahan Vitamin D dan mood yang ceria dan bertenaga.
Untuk memastikan bayi baru lahir anda kekal sihat dan selamat1, penting untuk mengetahui persekitaran dan orang yang anda temui ketika keluar di depan umum selama beberapa minggu dan bulan pertama untuk mengurangkan pendedahan kepada penyakit.
Persediaan Untuk Bawa Bayi Keluar Rumah
Untuk membawa bayi baru lahir anda keluar dari rumah di atas tujuan berjalan-jalan mahupun membeli-belah, anda perlu tetap menyediakan kelengkapan si manja. Contohnya seperti:
- Pakaian salin.
- Lampin bersih.
- Kain napkin.
- Pelindung penyusuan.
- Tisu basah, tisu kering, dan sebagainya.
Mana tidaknya, bayi ini sifatnya ‘unpredictable’. Kadang-kala waktu kita dukung dan tunjukkan persekitaran pun dia boleh ‘terjeluak’ (muntah susu). Habis pakaian yang sedang dipakai, tudung ibu pun disaluti dengan muntah susu.
Jadi apabila ibu ayah ingin membawa bayi keluar nanti, ikuti beberapa tips berikut:
Tips Untuk Bawa Bayi Keluar Rumah
#1. Hadkan Pendedahan Cahaya Matahari
Matahari menyediakan vitamin D penting, yang mana sangat diperlukan oleh kita semua dan terutama bayi baru lahir. Ia dapat membantu memperkuatkan tulang mereka.
Walau bagaimanapun, bayi juga lebih mudah terkena selaran matahari.
Hadkan pendedahan cahaya matahari secara langsung sekitar 15 minit, dan kemudian gunakan penutup atau pelindung matahari. Berunding dulu dengan doktor anda mengenai kesihatan anak anda untuk menentukan berapa banyak cahaya matahari yang selamat dan diperlukan bayi.
#2. Jauhkan Tangan Kotor Dari Wajah Bayi
Ini adalah penting untuk diikuti. Anda tidak akan selalu mengetahui siapa yang sakit, tetapi secara umum, adalah idea yang baik untuk menjauhkan tangan dan wajah anak-anak lain dari tangan, wajah, dan mulut bayi anda.
Juga, seperti yang anda tahu jangan membenarkan orang asing menyentuh atau memegang bayi anda. Dengan ahli keluarga, anda masih boleh memilih. Selalunya ahli keluarga sendiri faham tanggung jawab masing-masing, sekiranya mereka tidak sihat mereka akan mengelak dari mendukung bayi anda walaupun geram.
Walau bagaimanapun, anda berhak untuk mengatakan tidak dengan sopan dan tegas apabila ada yang meminta untuk mendukung bayi anda.
#3. Bersikap Selektif Tentang Pemilihan Lokasi
Sekolah, pusat beli belah, klinik, hospital, pusat jagaan, lapangan terbang – tempat-tempat ini dikenali sebagai ‘tempat pembiakan kuman’ dan harus dielakkan sebolehnya. Sekiranya tempat-tempat ini perlu dikunjungi sentiasa meletakkan bayi anda di dalam kereta sorong yang berpenutup.
Juga, pastikan untuk selalu mencuci tangan anda sendiri agar tidak menyebarkan barang yang anda ambil semasa menyentuh permukaan atau tangan orang lain.
#4. Pakaian Bayi
Sentiasa pakaikan bayi anda sesuai dengan cuaca. Kalau di Malaysia ini sentiasa panas dan lembab jadi janganlah feeling nak memakaikan bayi anda jaket, topi kait dan sebagainya. Melainkan anda bawa ke tempat berpenghawa dingin. Begitu juga sebaliknya. Untuk lebih selamat, pakaikan secara sederhana dan bawa selimut untuk berjaga-jaga.
Pendek kata menjaga bayi yang baru lahir adalah gabungan akal yang sihat, naluri, dan bimbingan profesional.
Sekiranya bayi anda mempunyai keperluan perubatan khas, garis panduan anda untuk membawa bayi di khalayak ramai mungkin berbeza dan sangat penting untuk mengelakkan tempat awam buat jangka waktu tertentu.
Lakukan penyelidikan, bincang dengan pasangan, dan berbincang dengan pakar pediatrik untuk membuat keputusan berdasarkan keadaan anak anda.
#5. Pakaian Ibu Menyusu
Untuk ibu-ibu yang menyusukan bayi, pakai baju ‘breastfeed friendly’ iaitu yang loose atau berbutang depan. Jadi senang nak selak nak beri bayi susu ketika dalam kereta atau di tempat awam. Selalunya pusat membeli belah memang menyediakan bilik menyusu.
Namun kalau di taman, anda perlu bawa poncho atau kain untuk menutup badan.
Doa Keluar dan Masuk Rumah
Perlu diingatkan juga bahawa Islam mengajar kita untuk sentiasa ingat kepada Allah SWT dan bertawakal kepadaNya dalam setiap perkara yang kita lakukan. Begitu juga ketika kita hendak ke sesuatu destinasi sama ada ke tempat kerja, pulang ke kampung halaman dan sebagainya.
Sebagai manusia, kita perlulah memohon kepada Allah SWT agar dilindungi daripada sebarang malapetaka dan kemalangan yang tak diingini. Sebab itulah kita disarankan untuk berdoa ketika hendak keluar dan masuk rumah.
Doa Keluar Rumah.
Sebaik sahaja keluar dari rumah, lafazkanlah zikir tanda bertawakal kepada Allah SWT dalam apa jua urusan:
بِسْمِ اللهِ تَوَكَّلْتُ عَلَى اللهِ، لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللهِ
Bacaan Rumi: Bismillahi tawakkaltu ‘alallah, laa haula wa laa quwwata illaa billaah
Maksudnya: Dengan nama Allah SWT (aku keluar). Aku bertawakal (berserah diri) kepada Allah SWT, tiada daya upaya melainkan dengan izin Allah SWT.
Semoga berjaya ya ibu ayah semua!
- When Is It Safe To Take Baby Out In Public | Lamaze International.
- Doa Menaiki Kenderaan | Jabatan Mufti Kerajaan Negeri.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Selalu Bawa Bayi Keluar Malam Boleh Pengaruh Perkembangan Anak
Baca juga: Kena Bawa Anak-Anak Keluar Ambil Sinaran Matahari Untuk Hilang Stress