Hampir semua rakyat terkesan akibat pelaksanaan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Bagi keluarga miskin dan bekerja sendiri, rata-ratanya telah kehilangan punca pendapatan kerana tidak dapat keluar mencari rezeki.
Meskipun sukar, inilah realiti yang terpaksa dihadapi. Baru-baru ini rakyat sepakat mengadakan kempen kibar bendera putih sebagai tanda solidariti dan keprihatinan tinggi terhadap mereka yang memerlukan bantuan.
Nasib keluarga miskin dan hilang punca pendapatan
Siapa sangka tindakan sepasang suami isteri menggantung bendera putih di luar tingkap bilik akhirnya telah membongkarkan kehidupan mereka lima beranak yang mendiami sebuah bilik kecil sejak tiga tahun yang lalu.
Menurut laporan Sinar Harian, bilik tingkat tiga dengan keluasan 3.6x 6.1 meter tersebut disewa pada kadar bayaran sebanyak RM350 sebulan. Ia merupakan bangunan bekas hotel bajet di Jalan Munshi Abdullah, Melaka.
Penghuni bilik berkenaan, Erala Ismail, 45 berkata, hampir setiap malam dia berasa amat sedih apabila mengenangkan nasib anak-anaknya. Ada ketika mereka terpaksa menahan lapar dan makan sekali sahaja sehari.
Kini hanya dia seorang sahaja yang bekerja selepas suami, Syed Sidiq Abudin, 42 berhenti kerja sejak enam bulan lalu sebagai pembantu dapur di salah sebuah medan selera berhampiran.
Disebabkan oleh tidak sanggup melihat anak-anaknya yang berusia antara 10 hingga 16 tahun menahan lapar, dia dan suami tekad untuk menggantung bendera putih sejak tiga hari lalu selepas mengetahui tentang kempen tersebut di media sosial Facebook.
Katanya meskipun sebelum ini keluarga miskin dan susah, mereka hanya mendiamkan diri dan tidak pernah meminta-minta. Namun dengan situasi pandemik Covid-19, Erala ikhtiar dengan cara mengibarkan bendera putih bagi mendapatkan sesuap nasi demi anak-anaknya.
Nasib keluarga miskin yang terkesan ketika pandemik Covid-19
”Saya beritahu suami, apa kata kita cuba dahulu gantung bendera putih. Mana tahu ada yang prihatin.”
”Alhamdulillah dua hari selepas itu ada pihak yang datang menghulurkan bantuan makanan termasuklah Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong dan kami amat berterima kasih.” jelasnya.
Ujarnya lagi sebelum ini mereka pernah menyewa rumah dengan kadaran sewa sebanyak RM400 sebulan. Namun tidak berkemampuan untuk terus membayarnya lebih-lebih lagi ketika itu suami hanya memperoleh gaji sebanyak RM35 sahaja sehari.
Disebabkan oleh kesempitan hidup yang dialami, Erala berkata dia tidak dapat mendaftarkan anak bongsunya untuk bersekolah. Manakala anak sulung pula bersekolah pendidikan khas kerana mengalami masalah pendengaran.
Lebih membimbangkan hati seorang ibu, anak perempuannya kini semakin membesar, terpaksa mendiami tempat yang berkongsi bilik air dengan penyewa lain.
”Setiap kali anak perempuan saya ingin ke tandas kongsi itu, maka perlu berteman kerana bimbang berlaku kejadian yang tidak diingini.”
”Hanya di bilik kecil ini sahajalah tempat kami tidur dan memasak. Saya amat berharap dapat pindah ke tempat lebih baik, namun disebabkan oleh terpaksa menyediakan bayaran deposit tinggi, kami sememangnya tidak mampu.” jelasnya.
Kempen bendera putih bantu mereka yang memerlukan
Kempen kibarkan bendera putih merupakan cara rakyat berfikir di luar kotak. Pendekatan diambil ini pastinya memudahkan urusan orang sekeliling bagi mengenal pasti mereka yang memerlukan bantuan dalam meneruskan kehidupan harian.
Ketika pandemik Covid-19, ramai masyarakat tiada wang untuk membeli makanan dan keperluan penting. Lebih membimbangkan, mereka buntu dalam memikirkan jalan keluar dari tekanan yang dihadapi sehingga nekad untuk bunuh diri.
Dengan adanya kempen kibarkan bendera putih ini, setiap orang dapat memainkan peranan masing-masing tanpa perlu menunggu ketua kampung atau wakil rakyat menghulurkan bantuan.
Kini tibanya setiap individu prihatin dengan kawasan kejiranan masing-masing. Mereka yang terkesan akibat pandemik ini sebenarnya tidak meminta wang, hanya keperluan harian agar dapat bertahan sehingga dapat bangkit semula.
Bagi anda yang ketika ini masih mempunyai pekerjaan, usahalah mengawal perbelanjaan dan bersedia untuk sebarang kemungkinan. Sama-samalah berdoa agar Covid-19 ini segera berlalu dan kita dapat menjalani kehidupan seperti biasa.
Sumber: Sinar Harian, Berita Harian
Kredit foto: Astro Awani, Sinar Harian
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Tidak Dapat Keluar Menjaja Kerepek, Nenek Terpaksa Catu Makanan Anak & Cucu Di Rumah