Kerajaan Tidak Berdiam Diri Isu Pemandu Mabuk, Setuju Kenakan Hukuman Lebih Berat

Kerajaan Tidak Berdiam Diri Isu Pemandu Mabuk, Setuju Kenakan Hukuman Lebih Berat

Acap kali kes kemalangan maut membabitkan pemandu mabuk berlaku. Justeru, kerajaan telah mengambil tindakan lebih tegas bagi mengekang masalah ini.

Undang-undang bagi mengenakan hukuman lebih berat terhadap kemalangan maut yang melibatkan pemandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah dipersetujui oleh kerajaan.
 
Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata tiga seksyen di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu Seksyen 41, 44 dan 45 akan dikaji semula bagi memperketatkan undang-undang sedia ada dengan hukuman yang lebih berat.
 
Tambahnya lagi, kerajaan turut memulakan perbincangan dengan pihak berkepentingan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Peguam Negara dan agensi berkaitan untuk membolehkan pindaan itu dibawa ke Parlimen seawal Julai ini.
 
Mengenai Seksyen 45 berhubung kepekatan alkohol pemandu yang dicadangkan dipinda, Loke berkata undang-undang di Malaysia buat masa ini mengenakan had alkohol pemandu 80 miligram alkohol bagi setiap 100 mililiter darah.
 
Walau bagaimanapun, piawaian oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) ialah 50 miligram alkohol bagi setiap 100 mililiter darah.
 
kemalangan melibatkan pemandu mabuk
 
"Peruntukan sekarang ini dilihat kurang ketat berbanding penetapan piawaian antarabangsa, WHO," katanya dalam sidang media pasca Kabinet.
 
Turut akan dipinda ialah Seksyen 41 berkaitan dengan pemanduan melulu dan berbahaya sehingga mengakibatkan kematian.
 
Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum 10 tahun serta denda minimum RM5,000 dan maksimum sehingga RM20,000.
 
Pindaan Seksyen 44 pula mengenai pemandu yang memandu dalam keadaan mabuk dan pengaruh dadah yang kini jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang tiga tahun atau tidak melebihi 10 tahun dan denda tidak kurang RM8,000 dan tidak melebihi RM20,000.
 
Mengulas cadangan kerajaan Taiwan untuk mengenakan hukuman mati ke atas pemandu mabuk yang menyebabkan kemalangan maut, Loke berkata Malaysia tidak perlu mengikut undang-undang negara lain.
 
"Kita ada undang-undang sendiri, tidak semestinya perlu mengikut undang-undang negara lain. Kita akan bincang berdasarkan piawaian antarabangsa dan hukuman yang lebih berat akan dikenakan,'' katanya.
 
Namun, penetapan jenis hukuman terbabit perlu memperoleh input daripada pelbagai pihak.

Kes kemalangan maut dibawah pengaruh alkohol

kemalangan bahaya kerana mabuk

#1. Maut dilanggar pemandu mabuk di Petaling Jaya

Pekerja kontrak maut dilanggar pemandu dipercayai mabuk ketika sedang melakukan kerja kawalan lalu lintas di Persiaran Perdana, Sri Damansara.

Kejadian berlaku kira-kira jam 12.01 tengah malam ketika mangsa, Saidi Dollah, 52, melakukan kawalan lalu lintas dengan memegang lampu baton di antara lorong kiri dan tengah jalan.

Bagaimanapun, sebuah kereta jenis Myvi yang dipandu wanita berusia 42 tahun di lorong tengah telah melanggar mangsa sehingga menyebabkan dia maut di lokasi kejadian.

Hasil siasatan mendapati wanita terbabit positif ujian pernafasan EBA II dengan bacaan alkohol melebihi kadar dibenarkan iatu 201mg/100ml.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat. Wanita terbabit kini ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 44(1)APJ 1987.

#2. Lelaki mabuk langgar peniaga hingga mati di Seberang Perai

kes kemalangan di bawah pengaruh alkohol

Seorang peniaga maut manakala suaminya cedera parah di Jalan Bertam Indah dipercayai telah dilanggar oleh seorang lelaki berusia 31 tahun di bawah pengaruh alkohol.

Peniaga Roslinda Mohamad Isa, 44, meninggal dunia kira-kira pukul 12 tengah hari semalam semasa menerima rawatan di Hospital Kepala Batas selepas dilanggar kenderaan tersebut dalam kejadian pada kira-kira 10 pagi.

Suaminya, Mat Subri Saad, 44, cedera parah di kepala dan tangan dan kini dirawat di hospital yang sama.

Menurut hasil siasatan polis mendapati ujian air kencing mendapati pemandu kereta yang bekerja sebagai tukang besi itu positif dadah jenis ganja dan tiada lesen memandu.

Bukan itu sahaja,  kenderaan yang digunakannya tiada cukai jalan. Dia kini disiasat menurut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu di bawah pengaruh dadah dan alkohol.

#3. Lelaki mabuk langgar 11 kenderaan di Klang
 
Pemandu lelaki dipercayai di bawah pengaruh alkohol telah merempuh 11 kenderaan lain di kawasan parkir di Flat Taman Kota Pendamar 2.

Dalam kejadian 9.35 malam, pemandu berusia 46 tahun berkenaan dipercayai memandu dari Pendamar Indah menghala ke Pelabuhan Klang sebelum melanggar pelbagai kenderaan di flat terbabit.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli, berkata lelaki berkenaan kemudiannya mengundurkan kereta dan melanggar beberapa buah kenderaan lain.

Suspek cuba melarikan diri sebelum kenderaan pacuan empat roda dipandunya terhenti selepas melanggar tiang elektrik.

“Kesemua kenderaan yang dilanggar berada dalam keadaan parkir dan tiada kecederaan akibat kemalangan dilaporkan,” katanya.

Tambahnya lagi, ujian awal terhadap pemandu terbabit mendapati kandungan alkohol dalam darahnya melebihi paras yang dibenarkan.

Kes telah disiasat mengikut Seksyen 42 (1) dan Seksyen 45a (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber: Bernama, Berita Harian

Kredit foto: Sumber

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia

Untuk dapatkan lebih banyak informasi dari theAsianparent Malaysia, boleh terus download Aplikasi Keibubapaan #1 Di Asia Tenggara kami.

Kerajaan Tidak Berdiam Diri Isu Pemandu Mabuk, Setuju Kenakan Hukuman Lebih Berat

Baca juga:

Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!

Artikel(Cerita)
app info
get app banner