Kenapa Bayi Sedu Dengan Kerap? Dada Mereka Sakit Tak? Ini Yang Ibu Ayah Kena Tahu Ya!

undefined

Sedang anda beristirahat bersama si manja setelah penyusuan, tiba-tiba anda terdengar suatu bunyi yang agak comel. Rupa-rupanya, bayi anda sedang sedu. Tetapi, lama-kelamaan, anda perasan bahawa si manja terlalu kerap sedu jadi anda mula mempersoal adakah si manja sakit akibat sedu atau mereka mula sedu akibat sesuatu kesakitan? Buang segala persoalan di dalam kepala anda kerana kami di sini akan menjawabnya.

Apabila seorang bayi melakukan perkara-perkara yang biasa orang dewasa lakukan, walau sekecil-kecil perkara seperti menguap atau menggeliat, ia pastinya akan kelihatan comel! Lagi-lagi apabila si manja sedu. Mereka akan berbunyi seakan-akan anak patung. Tetapi, jika bayi anda terlalu kerap sedu, adakah ini perkara biasa dan adakah ia menyebabkan kesakitan pada si manja? Masakan kita yang tersedu-sedu pun boleh merasa sakit dada, apatah lagi kanak-kanak kecil yang tidak tahu menahu apa pun dan kenapa bayi sedu!

Sedu pada bayi sebenarnya mungkin perkara biasa, namun jika terlalu kerap, apakah punca yang menyebabkan ia berlaku?

Wahai ibu ayah, mari kita kupaskan tentang kenapa bayi selalu sedu, tanda-tanda mereka perlu berjumpa doktor dan pelbagai lagi yang boleh anda jadikan panduan.

Kenapa Bayi Sedu?

kenapa bayi sedu dengan kerap?

Bayi sedu kenapa? Sehingga kini, pakar kajian masih tidak pasti apakah punca-punca utama mengapa seorang bayi kerap mengalami sedu, tetapi ada yang berpendapat bahawa sedu membantu untuk mengeluarkan angin berlebihan yang berada pada perut si manja.

Tetapi, punca-punca lain yang berkemungkinan menyebabkan sedu termasuklah:

  • Makan terlalu banyak (susu badan, susu formula atau makanan-makanan lain)
  • Makan dengan terlalu laju
  • Menelan terlalu banyak udara

Ya, sedu adalah normal di kalangan kanak-kanak kecil. Malah, ada sesetengah bayi yang sudah mula sedu seawal usia 21 minggu ketika masih berada di dalam rahim ibu!

Sedu juga tidaklah merbahaya kepada kesihatan atau tumbesaran cahaya mata anda. Kecuali jika mereka mengalami kesukaran untuk tidur atau bermain-main seperti biasa disebabkan sedu tersebut, maka anda tidak perlu pun membawa si manja berjumpa dengan pakar kanak-kanak.

Walau bagaimanapun, masih terdapat beberapa cara yang boleh anda ambil dan lakukan untuk mengurangkan serta mengawal permasalahan sedu bayi anda.

Apa itu Sedu?

maksud kenapa bayi sedu

Secara mudahnya, sedu ini berlaku apabila diafragma kita (otot di bawah tulang rusuk) mula mengalami ketidakselesaan atau gangguan. 

Otot tersebut akan mengecut dengan sendiri atau mengalami kekejangan lalu menyebabkan udara untuk diserap masuk ke dalam kerongkong. Dengan kemasukan udara tersebut, pita suara kita akan tertutup dengan pantas sebagai respons lalu menyebabkan kita mengeluarkan bunyi apabila sedu.

Mengapa Bayi Sedu Selepas Minum?

kenapa bayi sedu selepas menyusu

Mengapa bayi selalu sedu lagi-lagi selepas minum susu ibu mahupun susu formula? Sebagai ibu, anda mesti kerap melihat situasi ini kan bahkan sehingga kadang-kala jeluak susu berlaku pada bayi anda.

Adakah ia berpunca daripada susu yang tidak masuk sepenuhnya ke dalam perut bayi? Atau adakah kerana bayi terlebih minum susu?

Sebenarnya, sedu pada bayi akan berlaku apabila organ diafragma bayi anda bergerak secara mengejut atau berlaku sedikit kekejangan.

Bayi sedu selepas menyusu juga mungkin berpunca daripada penyimpanan susu di perut yang berlaku secara mengejut. 

Namun, seperti yang dikatakan di atas tadi, situasi bayi sedu adalah normal dan tidak perlu dirisaukan. Ia boleh berhenti sendiri dalam beberapa minit kemudian pada kebiasaannya.

Walau bagaimanapun, sebaiknya semasa menyusu anda sendawakan bayi anda setiap 2 atau 3 minit si manja anda sedang menyusu. Ia bagi memastikan pengaliran susu bayi lancar dan seterusnya boleh mengurangkan bayi anda sedu. Keluarkan angin dari badan bayi anda.

Jika sedu berlaku ketika anda sedang menyusukan bayi anda pula, cuba anda berhentikan dulu penyusuan dan ‘burp’ kan bayi anda pada posisi yang sesuai.

Tunggu beberapa seketika sehingga bayi anda tenang dan kemudian barulah sambung menyusukan bayi. Cara ini boleh mengelakkan bayi anda dari tidak selesa ketika sedang menyusu.

Cara Hilangkan Sedu

kenapa bayi sedu? Ini cara hilangkannya

Walaupun tips-tips yang bakal kami kongsikan di bawah tidaklah terbukti secara saintifik, tetapi ia telah membantu ramai para ibu bapa untuk menghentikan dan mengawal tahap sedu cahaya mata mereka. Berikut merupakan cara hilangkan sedu bayi yang ibu boleh cuba:

  • Sendawakan si manja. Kurangkan kandungan udara yang si manja anda telah telan tanpa sengaja dengan menyendawakan mereka selepas menyusu. Ambil sedikit masa semasa menyusu untuk sendawakan bayi, kemudian sambunglah menyusu. Cara sendawakan bayi mudah sahaja. Anda boleh gunakan posisi bersandar pada bahu, posisi duduk ataupun posisi meniarap dengan menepuk perlahan-lahan atau menggosok belakang bayi anda. 
  • Menggosok belakang atau perut bayi. Ketika menggosok badan bayi, aplikasikan sedikit tekanan terutamanya kepada bahagian perut bayi untuk membuat mereka melepaskan angin.
  • Menggunakan puting. Memberi si manja menghisap puting boleh mengendurkan diafragma bayi anda setelah ia mengejang dan terganggu. Apabila diafrgama si manja anda mula tenang, maka sedu anak anda juga akan hilang.
  • Beri susu pada jumlah terbaik. Sebenarnya, anda boleh berikan susu pada bayi anda pada jumlah terbaik iaitu sedikit sahaja namun anda boleh berikannya dengan lebih kerap. Cukuplah sekadar sedikit sahaja susu setiap kali diberi sebelum bayi tidur. Jika dia mahukan lagi, berikan sedikit lagi. Jangan beri susu sekaligus penuh satu botol untuk bayi sekali minum. 
  • Perbetulkan posisi bayi semasa penyusuan. Jika anda menyusu bayi ketika mereka dalam posisi duduk, ia akan menyebabkan angin naik dengan lebih cepat lalu membuat si manja sendawa.
  • Prihatin pada cuaca dan bayi. Tahukan anda? Cuaca sejuk juga mungkin menjadi punca bayi anda tersedu kerana perut dan dada bayi anda tidak selesa. Jadi, sila prihatin dengan cuaca dan bayi anda. Sebaiknya sebelum bayi anda kesejukan, sila pakaikan baju tebal terutamanya pada hari hujan bagi mengelakkan bayi anda sedu.
  • Biarkan sahaja. Walaupun anda mungkin berasa kasihan terhadap si manja, tetapi ketahuilah bahawa sedu tidak menyakitkan si manja jadi anda boleh membiarkan mereka sedu dan berhenti sendiri. Sedu pada bayi akan mula hilang setelah beberapa minit.

Kini anda sudah ketahui apa yang perlu anda lakukan untuk menghentikan si manja dari terus sedu. Tetapi, anda juga perlu tahu ada beberapa perkara yang perlu anda elak lakukan untuk memberhentikan sedu si manja anda!

kenapa bayi sedu

Kredit: University College London

  • Jangan terkejutkan bayi. Walaupun di dalam filem kita sentiasa lihat mereka mengejutkan satu sama lain apabila seseorang mengalami sedu, ia sebenarnya tidak menjadi pun di dunia realiti.
  • Jangan menahan nafas bayi. Bagi seorang bayi, jika anda menahan mereka dari bernafas untuk menghentikan sedu, ia adalah satu perbuatan yang terang-terangannya sangat bahaya.
  • Menarik lidah mereka. Ramai yang berpendapat bahawa jika lidah bayi ditarik sambil menekan dahi mereka atau anterior fontanelle (bahagian lembut kepala bayi), ia akan membuat si manja berhenti sedu. Tetapi, cara ini hanya akan menyakitkan si manja anda jadi jangan sesekali melakukannya!

Haaa.. jadi terjawab sudah persoalan kenapa bayi sedu? Sekiranya anak anda sedu tanpa henti, cuba cara di atas. Anda tidak perlu risau sangat ya kerana keadaan ini sememangnya normal, bukan sahaja untuk bayi bahkan juga untuk orang dewasa macam kita.

Namun jika masih tidak berhenti selepas 3 jam, bawa jumpa kepada pakar untuk penelitian lebih lanjut.

Semoga bermanfaat dan selamat mencuba!

Sumber

WebMD (March 9, 2021). What to Do If Your Baby Has Hiccups. www.webmd.com/baby/what-to-do-if-your-baby-has-hiccups

Very Well Family (Aug 23, 2022). How to Get Rid of Baby Hiccups. www.verywellfamily.com/how-to-get-rid-of-infant-hiccups-4160825

Medical News Today (Jan 6, 2020). How to stop hiccups in newborns. www.medicalnewstoday.com/articles/321932#outlook

Di theAsianparent Malaysia, penting bagi kami untuk membekalkan anda maklumat yang betul, penting dan tepat pada masanya. Tetapi ini tidak berfungsi sebagai alternatif untuk nasihat perubatan atau rawatan perubatan. theAsianparent Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap mereka yang memilih untuk mengambil ubat berdasarkan maklumat daripada laman web kami. Jika anda mempunyai sebarang keraguan, kami mengesyorkan agar anda berunding dengan doktor anda untuk mendapatkan maklumat yang lebih jelas.

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia

Baca juga: Masih Rasa Bayi Sedu Dalam Perut Walaupun Sudah Trimester 3? Ia Mungkin Tanda Bahaya

Baca juga: Apnea Tidur Bahaya Pada Bayi, Ibu Perlu Peka Jika Bayi Tidur Terlalu Lama

Baca juga: Bayi Sedu Tak Henti-Henti? Ibu Jangan Risau, Cuba 5 Cara Selamat Ini PASTI Menjadi!

Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!