Apabila mempunyai bayi, banyak perkara mengenai mereka perlu kita ambil tahu dari sekecil-kecil perkara hinggalah kepada sebesar-besar perkara. Antaranya termasuklah penyakit angin pasang bayi lelaki atau lebih dikenali sebagai hernia.
Kebanyakan daripada kita akan terbayangkan kemaluan lelaki kan bila sebut saja angin pasang, tetapi sebenarnya ia juga boleh terjadi angin pasang perempuan.
Angin pasang berlaku pada orang dewasa dan kanak kanak. Kes angin pasang kanak kanak berlaku dengan kekerapan tiga hingga lima kes dari setiap 100 kelahiran, atau bersamaan tiga hingga lima peratus. Kes-kes angin pasang lebih kerap berlaku pada anak-anak yang dilahirkan pramatang dengan kadar 40 hingga 55 peratus disebabkan proses perkembangan bayi yang masih belum sempurna.
Adakah Angin Pasang Sama Dengan Hydrocoele?
Hydrocoele atau angin pasang berair merupakan sejenis keadaan di mana cecair telah berkumpul di dalam kantung di sekeliling testis lelaki atau ari-ari perempuan. Hydrocoele kebiasaannya terjadi pada bayi lelaki yang baharu sahaja dilahirkan.
Terdapat dua jenis Hydrocoele iaitu “primary” dan “secondary“. Hydrocoele “Primary” berlaku di mana terdapat pembukaan pada otot dinding perut dan bukaan ini akan tertutup secara semulajadi setelah bayi dilahirkan atau dalam tahun pertama kehidupan mereka. Manakala bagi Hydrocoele “Secondary” pula ia terjadi disebabkan oleh radang yang menjadi punca pembentukan cecair limpa.
Hydrocoele boleh berlaku pada sebelah atau kedua-dua belah telur dan menjadikannya bengkak. Masalah angin pasang berair ini tidak mendatangkan komplikasi serius walaupun tidak dirawat tetapi pesakit akan berasa kurang selesa ketika melakukan apa-apa aktiviti contohnya seperti bersukan.
Angin pasang atau hernia pula adalah berbeza dengan angin pasang berair atau Hydrocoele ini. Hydrocoele boleh hilang secara sendiri dan hanya memerlukan pembedahan bagi mengeluarkan cecair tersebut jika ia masih tidak hilang. Kebiasaannya, masalah angin pasang berair ini akan pulih setelah bayi menginjak usia dua tahun.
Berbeza pula dengan angin pasang di mana ia tidak boleh hilang dengan sendirinya dan perlu dirujuk kepada pakar kanak-kanak untuk mengetahui keadaan pesakit dan rawatan yang selanjutnya.
Malah, pada kebanyakan kes hernia atau angin pasang ini, doktor akan melakukan pembedahan bagi membuang anggota yang telah pun mati dan menutup selaput dinding usus untuk mengelakkan masalah tersebut daripada berulang kembali.
Angin Pasang Bayi Lelaki: Apa Yang Perlu Anda Beri Perhatian?
Angin pasang atau hernia sebenarnya tiada kaitan dengan angin, tetapi ia mendapat jolokan sebagai angin pasang dalam masyarakat kita.
Hernia adalah masalah gangguan kesihatan yang melibatkan penonjolan keluar organ atau tisu lembut melalui bukaan otot yang lemah pada bahagian abdomen.
Ia kelihatan seperti benjol kecil pada kulit dan akan jelas kelihatan semasa meneran, batuk atau menggeliat.
#1. Kenapa angin pasang berlaku?
Punca angin pasang berlaku disebabkan oleh lubang dalam abdomen yang tidak normal. Ia berlaku semasa terjadinya tekanan fizikal seperti menangis, menjerit, berlari atau batuk dan ia akan kembali mengecut kemudiannya.
Angin pasang ini selalu dikaitkan dengan bayi lelaki berbanding bayi perempuan. Kebiasaannya hernia mengandungi usus, jadi jika terjadi pada bayi perempuan ia mungkin terjadi pada ovarinya.
#2. Apakah simptom simptom yang berkaitan penyakit ini?
Simptom awal
- Kawasan ari-ari (inguinal) dan / atau kantung zakar yang bengkak
- Kawasan bengkak biasa berlaku ketika anak menangis, berlari atau meneran dan bengkak tersebut boleh kekal atau surut selepas aktiviti terbabit
Simptom kronik
- Bengkak yang tidak surut disertai dengan keadaan anak yang dalam tidak selesa dan dalam kesakitan
- Perut kembung disusuli episod muntah- muntah
Segeralah bawa anak anda untuk berjumpa dengan doktor sekiranya mereka mempunyai simptom tersebut.
#3. Jenis hernia yang biasa dialami kanak-kanak
Seperti yang dijelaskan oleh Dr Ahmad Zulkiflee Laidin, terdapat 2 jenis hernia yang biasa terjadi pada kanak-kanak, iaitu hernia umbilikal dan hernia inguinal.
- Hernia umbilikal berlaku pada sesetengah bayi yang memang dilahirkan dengan bukaan pada bahagian otot-otot abdomen atau otot yang lemah di sekitar pusat di bawah kulit, sehingga sesetengah membran abdomen atau usus kecil menjulur keluar melaluinya. Dalam sesetengah kes, ia tidak merbahaya dan akan tertutup sendiri selepas beberapa bulan atau apabila bayi menginjak usia 2 hingga 3 tahun.
- Hernia inguinal pula selalunya disebabkan gelungan usus, lipatan membran daripada abdomen, ovari atau salur falopian yang tertonjol masuk ke bahagian pangkal paha.
- Selain daripada 2 jenis hernia ini, terdapat juga sebuah keadaan yang digelar hydrocele, atau ‘angin pasang berair’. Ia melibatkan pengumpulan cecair di dalam testis (buah zakar) dan selalunya cecair juga boleh terkumpul di dalam buah zakar. Bengkak ini biasanya tidak menyakitkan tetapi bayi mungkin akan berasa tidak selesa dan senak.
#4. Adakah ia merbahaya?
Inguinal hernia boleh mendedahkan si kecil kepada keadaan berisiko tinggi, terutamanya dalam kalangan bayi-bayi di bawah umur satu tahun.
Menurut portal MyHealth, komplikasi utama yang boleh berlaku adalah usus tersumbat dan terperangkap di dalam kantung hernia. Jika ini berlaku, najis dan gas tidak dapat keluar secara normal melalui dubur. Ia akan mengakibatkan bayi berasa sakit perut, ari-ari atau testis.
Selain itu, bayi juga boleh mengalami masalah perut kembung, muntah dan kesukaran membuang air besar.
Selain itu, tumbesaran testis bayi lelaki mungkin akan terbantut atau terjejas, (terutamanya kepada bayi-bayi pramatang) sekiranya hernia dikaitkan dengan kedudukan testis yang tidak betul bagi bayi-bayi lelaki.
#5. Jangan urut sebarangan
Ibu ayah diingatkan untuk merujuk kepada doktor sekiranya terdapat sebarang ketidaknormalan atau bonjolan pada pusat, kelangkang, atau kemaluan bayi.
Jangan melakukan sebarang teknik urutan atau kaedah rawatan tradisional untuk merawat angin pasang lelaki tanpa pantauan doktor kerana dikhuatiri ia boleh menyebabkan kecederaan yang lebih buruk kepada bayi.
Bila Perlu Jumpa Doktor
Segera jumpa doktor jika anda mendapati terdapat tanda-tanda ini pada anak anda iaitu:
- Suhu badan tinggi
- Demam
- Bengkak teruk atau rasa sakit di bahagian perut
- Rasa sakit angin pasang yang tidak hilang walaupun sudah makan ubat tahan sakit
- Muntah berterusan
- Badan menggigil
- Batuk berterusan atau rasa sesak nafas
- Darah atau cecair berbau berhampiran luka
- Loya, muntah
- Cirit-birit atau sembelit yang tidak sembuh
- Kemerahan dan bonjolan di sekitar pusat
- Pendarahan luka
Semoga bermanfaat!
Di theAsianparent Malaysia, penting bagi kami untuk membekalkan anda maklumat yang betul, penting dan tepat pada masanya. Tetapi ini tidak berfungsi sebagai alternatif untuk nasihat perubatan atau rawatan perubatan. theAsianparent Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap mereka yang memilih untuk mengambil ubat berdasarkan maklumat daripada laman web kami. Jika anda mempunyai sebarang keraguan, kami mengesyorkan agar anda berunding dengan doktor anda untuk mendapatkan maklumat yang lebih jelas.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Bukan Orang Dewasa Saja Boleh Kena Hernia, Bayi Juga Boleh!
Baca juga: Elak Buat 5 Perkara BAHAYA Ini Semasa Menjaga Tali Pusat Bayi Baru Lahir, Alert Ya Ibu!
Baca juga: Tali Pusat Bayi Masih Belum Jatuh – Bolehkah Ibu Cabut Sendiri?
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!