Sebelum hari kelahiran cahaya mata anda, kami pasti anda telah melakukan kajian yang menyeluruh termasuklah apa yang perlu anda lakukan tentang tali pusat bayi, terutamanya cara penjagaannya. Tetapi, tidak pula anda dapat jangka bahawa tali pusat bayi akan lambat tanggal! Jadi, apa yang perlu anda lakukan sekarang?
Tali Pusat Bayi Lambat Tanggal! Wajarkah Ibu Cabut Sendiri?
Kredit: iStock
Durasi normal bagi tali pusat bayi untuk jatuh dengan sendiri ialah antara seminggu ke dua minggu, maka jika tali pusat si manja anda masih tidak jatuh walaupun sudah melebihi 3 minggu ia pasti akan membuahkan perasaan risau pada ibu dan ayah.
Tetapi, sekiranya tiada tanda-tanda jangkitan seperti kemerah-merahan pada kulit di sekeliling tali pusat si manja, anda tidak perlulah terlalu risau. Jikalau kulit di keliling tali pusat anak anda kelihatan normal dan dijaga dengan rapi seperti yang telah anda baca dan pelajari, tiada sebab untuk anda risau dengan lebih-lebih!
Dalam erti kata ringkas, biarkan sahaja tali pusat anak anda jika ia kelihatan normal!
Walau bagaimanapun, sekiranya tali pusat anak masih tidak tanggal walaupun sudah melebihi tiga ke empat minggu, wajarlah untuk anda membawa si manja berjumpa dengan pakar kanak-kanak supaya mereka boleh mempercepatkan proses untuk tali pusat bayi anda untuk tertanggal.
Tetapi, pasti ada sebab mengapa tali pusat anak anda mengambil masa yang lebih lama untuk tanggal. Ketahui punca-puncanya dan bagaimana anda boleh mengelakkan ia dari berlaku lagi.
Mengapa Tali Pusat Anak Saya Lambat Tanggal?
Dalam sesetengah keadaan, tali pusat anak anda mungkin tertanggal dengan lebih lambat berbanding biasa kerana mereka mengalami jangkitan. Tetapi, jika ia bukan disebabkan jangkitan yang anda boleh lihat dengan mata kasar maka ia tentulah berpunca dari permasalahan lain.
- Permasalahan sistem imunisasi
Kecelaruan pada sistem imunisasi (leukocyte adhesion deficiency type 1) anak anda juga boleh menyebabkan tali pusat si kecil untuk tertanggal dengan lebih lambat. Ini kerana sistem imunisasi si manja tidak berupaya untuk melindungi anak anda dari penjajah dalam badan seperti virus dan bakteria yang jahat.
Jikalau anak anda menghadapi permasalahan ini, maka anda dapat melihat radang pada tali pusat si manja disebabkan jangkitan bakteria yang sistem imunisasi mereka tidak dapat lawan.
Suatu ketika dahulu, ramai yang mempercayai bahawa alkohol adalah satu bahan yang wajib ada untuk menjaga dan membersihkan tali pusat bayi tetapi kini, pendapat tersebut telah berubah bahawa penggunaan alkohol pada tali pusat bayi hanya akan melambatkan proses penanggalan tali pusat tersebut kerana ia tidak dapat kering sepenuhnya.
Bagaimana Untuk Mempercepatkan Proses Penanggalan Tali Pusat?
Kredit: HSE
Terdapat beberapa cara yang ibu dan ayah boleh lakukan untuk mempercepatkan proses bagi tali pusat untuk tanggal. Walau bagaimanapun, kami tidak menjamin bahawa setiap cara ini akan berjaya membuatkan tali pusat si manja anda tanggal dengan lebih cepat.
- Biarkan ia dalam keadaan kering
Tali pusat si manja akan mula mengering dan bertukar rupa seakan-akan prun atau kismis dan akan kering dengan lebih cepat dan mudah sekiranya banyak terdedah kepada udara. Oleh itu, ibu dan ayah tidak perlu mencuci bahagian tali pusat anak dengan terlalu banyak air.
- Mengelakkan penggunaan alkohol
Seperti yang telah dikongsikan pada isi di atas, penggunaan alkohol dalam penjagaan tali pusat si manja adalah tidak wajib dan hanya akan melambatkan proses tali pusat bayi untuk tanggal. Tambahan pula, alkohol yang digunakan untuk membersihkan tali pusat si manja mungkin boleh menyebabkan kepedihan kepada kulit mereka yang masih nipis dan sensitif.
- Memakaikan lampin dengan cara yang betul
Elakkan menutup tali pusat si manja ketika memakaikan lampin. Anda boleh memilih untuk melipat bahagian atas lampin bayi untuk memastikan ia tidak menutup tali pusat anak, atau anda boleh membuatkan satu lubang kecil sebagai laluan untuk tali pusat tersebut untuk terus terdedah.
Semoga artikel tentang tali pusat bayi lambat tanggal ini dapat memberi anda idea tentang penjagan tali pusat anak sendiri.
Selamat mencuba!
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Sumber: Parents, Medline Plus, PediaClinic
Baca juga: Cara Penjagaan Tali Pusat Bayi, Elakkan Memakai Lampin Menutupi Tali Pusat Kalau Nak Cepat Gugur
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!