Pelbagai faktor boleh menyebabkan sembelit bayi. Tapi selalu juga kita dengar, bagi anak yang minum susu formula bila anak tukar step susu mereka akan sembelit.
Adakah ini benar-benar berpunca daripada pertukaran step susu itu atau pun ada sebab lagi yang mendatangkan sembelit pada anak anda?
Apakah sembelit sebenarnya? Sembelit ialah apabila kekerapan untuk membuang air besar berkurangan dan kesukaran untuk membuang najis.
Adakah pertukaran step susu punca terjadinya sembelit bayi?
Sembelit merupakan satu gejala, bukannya satu penyakit. Setiap kanak-kanak pasti pernah mengalami episod sembelit dalam kehidupan mereka.
Menurut pakar nutrisi yang lebih dikenali sebagai Dietitian Fizah, ini antara situasi biasa ibu bapa:
Soalan:
Anak nak masuk 1 tahun tetapi sembelit. Adakah pertukaran dari susu step 1 kepada susu step 3 punca anak boleh sembelit?
Patut ke tukar ke susu lain?
Jawapan saya:
Tidak.
Kenapa? Sebab bukan salah susu.
Anak sembelit boleh disebabkan oleh pelbagai faktor
Jadi jawapannya adalah pertukaran step susu bukanlah satu-satunya penyebab sembelit. Ia boleh terjadi atas pelbagai faktor.
Sembelit bayi boleh terjadi atas pelbagai faktor
Sembelit pada bayi boleh terjadi atas pelbagai faktor. Ia termasuklah:
#1. Tidak cukup serat dari makanan harian secara konsisten
Menurutnya, serat daripada makanan amat penting jadi ia perlu diberikan kepada anak atau bayi anda setiap hari. Bukan apabila dia sudah kena sembelit sahaja baru nak bagi.
Perlu diketahui serat ada dua jenis yang mana serat larut air yang boleh didapati daripada buah yang mana ia membantu melembutkan najis dan membantu membekalkan probiotik untuk membuatkan perut rasa selesa.
Manakala serat tidak larut air adalah seperti daripada sayur hijau. Serat jenis ini membantu melawaskan najis bayi supaya mudah untuk membuang air besar dan najisnya lembut tanpa perlu meneran dengan terlalu kuat.
#2. Tidak cukup air kosong
Ini juga adalah masalah paling biasa yang kita lihat. Bagi anak berusia satu tahun mereka perlu 900-1000 mililiter air setiap hari termasuk susu dan sumber air lain.
Jika anak sudah minum 480 ml daripada susu (kiraan sekiranya bayi minum 8oz bersamaan dua kali sehari) maka baki lagi 520 ml sepatutnya datang daripada air kosong dan sebaiknya bukan air manis.
Air manis seperti kordial, air teh, air kopi, malted drink juga boleh menyebabkan sembelit kepada anak di bawah usia dua tahun.
#3. Tidak cukup aktif
Pastikan anak tidak duduk saja. Cuba pantau apa aktiviti anak di rumah. Adakah banyak duduk dan tengok televisyen saja? Atau lebih banyak didukung?
Sebenarnya elok galakkan anak bergerak seperti berjalan, merangkak atau bergolek. Anda juga boleh buat urutan LOVE di perut, buat pergerakan seperti kayuh basikal dengan kaki.
#4. Susu hanya punca sembelit jika bancuhan tidak tepat
Susu hanya punca sembelit kalau baru diperkenalkan dengan mendadak, bancuhan tidak tepat dan apa yang penting jangan cairkan susu.
5 makanan terbaik elak sembelit bayi
Pemakanan bayi sangat penting bagi mengelakkan sembelit. Antara makanan yang baik untuk mengelakkan sembelit pada bayi termasuklah:
#1. Betik
Makanan pertama untuk mengelak sembelit adalah buah betik. Ya, harganya murah dan mampu beli. Buah betik mengandungi serat dan juga vitamin A yang membantu proses pencernaan makanan agar mudah dihadam.
#2. Lobak merah
Boleh dimakan sahaja, dibuat jus atau dimasak. Lobak mempunyai serat yang tinggi.
#3. Buah naga merah
Ada dua jenis buah naga di pasaran iaitu berisi merah dan putih. Untuk kanak-kanak, boleh berikan jenis merah kerana lebih manis.
#4. Pisang
Orang tua-tua selalu berpesan, jika susah buang air besar, makan pisang. Bukan saja baik untuk kanak-kanak, ia juga sangat bermanfaat untuk orang dewasa. Pisang mengandungi kanji BRS (Banana Resistant Starch) dan juga fiber bernama Pectin. Ia bermanfaat untuk proses penghadaman dan kelembapan dalam najis. Jadi najis akan mudah keluar secara normal.
#5. Buah prun
Boleh beli di kedai yang diimport dari luar. Makan 2 hingga 3 biji dan sangat bagus untuk buang air besar.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman The Asianparent Malaysia
Baca juga: Sembelit Semasa Hamil? Cuba Petua-Petua Mudah & Berkesan Ini!
Baca juga: 5 Cara Ini Berkesan Untuk Legakan Anak Yang Sembelit
Baca juga: Seksa Sembelit Dalam Pantang! Apa Nak Buat Jika Takut Hendak Membuang Selepas Bersalin?
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!