Ramai daripada kita adalah penderma darah. Tapi jika hamil, anda perlu berehat dan tunggu sehingga bayi dilahirkan kerana ada beberapa kesan derma darah terhadap wanita yang sedang mengandung.
Meskipun tidak ada sebab yang membuktikan mengapa wanita hamil dilarang menderma darah, namun anda sememangnya disarankan untuk tidak berbuat demikian.
Ketika hamil, badan menghasilkan sekurang-kurangnya 50 % lebih banyak darah. Walau bagaimanapun, anda tidak dibenarkan menderma darah kerana anda memerlukan semua darah tersebut bagi menyokong kehidupan bayi dalam kandungan.
Kesan derma darah pada wanita hamil dan menyusu
Jika anda tetap mahu derma darah, anda sebenarnya meletakkan diri dan kesejahteraan bayi pada tempat yang berisiko serta memudaratkan.
Alasan lain adalah kemungkinan besar anda boleh menghidap anemia ketika hamil jika melalui pendermaan darah. Dengan anemia, ini mencetuskan komplikasi seperti kelahiran pramatang, bayi kurang berat badan dan lain-lain.
Selain itu, anda juga dinasihatkan agar tidak menderma darah semasa dalam tempoh penyusuan dan tunggu sekurang-kurangnya sembilan bulan selepas bersalin.
Hal ini kerana, bayi sangat bergantung kepada nutrien dan vitamin dalam susu ibu, jadi jika anda derma darah, ini boleh menyebabkan si kecil kehilangan nutrien penting itu.
Apakah kesan derma darah sebelum anda tahu diri hamil?
Sekiranya anda seorang penderma yang selalu melakukan rutin ini, mungkin anda tidak menyedari tentang kehamilan. Ia tidak menimbulkan sebarang masalah jika anda penderma darah pada tahap ini.
Sebelum menderma darah juga, ujian akan dilakukan bagi memastikan tekanan darah, kadar hemoglobin, nadi dan suhu dalam keadaan normal.
Oleh itu, jika penderma peringkat ini dalam keadaan sihat, ia tidak menimbulkan sebarang masalah di kemudian hari. Namun jika bimbang, terus segera berjumpa doktor untuk dapatkan kepastian.
Kenapa ada sebilangan wanita hamil perlu menderma darah?
Satu-satunya sebab mengapa wanita hamil diminta menderma darah adalah kerana doktor merasakan anda mungkin memerlukan pemindahan darah semasa bersalin.
Ini biasanya apabila anda di bawah kategori kehamilan berisiko tinggi.
Dalam sesetengah keadaan, ibu mengalami anemia teruk atau terdapat risiko pendarahan yang berlebihan semasa bersalin.
Semasa komplikasi, doktor mungkin menerima darah dari sumber lain, tapi pada masa yang sama meminta simpan sedikit darah anda terlebih dahulu. Jadi derma darah ini adalah untuk kepentingan diri anda di masa depan.
Anda layak derma darah jika…
- Sihat tubuh badan
- Berumur 18-65 tahun untuk yang pernah menderma.
- Berumur 18-60 tahun untuk pertama kali menderma.
- 17 tahun perlu dapatkan kebenaran ibu bapa atau penjaga.
- Berat badan 45 kg ke atas.
- Tidur minimum 5 jam sehari.
- Tiada masalah kesihatan.
- Telah mengambil makanan sebelum menderma darah.
- Tidak terlibat dalam kegiatan berisiko seperti homoseksual, biseksual, bertukar pasangan seks dan mengambil dadah secara suntikan.
- Penderma terakhir 3 bulan lepas.
- Bagi penderma wanita mestilah tidak hamil, tidak datang haid dan tidak menyusukan anak.
Sememangnya, menderma darah dan menyelamatkan nyawa orang yang memerlukannya adalah satu tugas mulia tapi mempertaruhkan nyawa dan bayi anda bukanlah satu pilihan bijak.
Kehamilan juga bukan kelemahan yang menghalang anda berbuat baik tapi sebaiknya anda lebih bertanggungjawab dan memastikan kehidupan anak yang bakal lahir dalam keadaan baik.
Semoga artikel ini bermanfaat.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Sumber: Pusat darah negara
Baca juga: Jenis darah anda boleh jadi penyumbang kepada 5 masalah kesihatan ini!