Dalam perjalanan menjadi ibu bapa, adalah perkara biasa apabila anda berasa hilang sabar ketika berdepan pelbagai ragam anak yang sedang membesar. Hingga ternaik tangan atau pukul anak tanpa ibu ayah sengaja, kan?
Setiap ibu ayah pastinya ada cara tersendiri dalam mendidik anak-anak di rumah. Ada yang terlalu berlembut, ada yang sederhana dan ada juga terlalu tegas kerana percaya ia boleh mendisiplinkan mereka.
Dalam artikel ini kami kongsikan adakah boleh ibu ayah pukul anak jika mereka berbuat salah? Apakah kesan pukul anak? Dan apakah cara pukul anak dalam islam?
Isi Kandungan
Apa Itu Pukul Anak
Pukulan adalah sejenis hukuman fizikal, menggunakan kekerasan fizikal untuk mendatangkan kesakitan kepada seseorang. Untuk melakukan ini, seseorang mungkin memukul, menampar, menyebat, dsb.
Tujuan pukul anak yang dibenarkan adalah untuk mendidik, bukan menimbulkan kesakitan, ketidakselesaan atau ketakutan pada diri si kecil.
Adakah Memukul Anak Berkesan Disiplinkan Mereka?
Banyak kajian menunjukkan bahawa pukulan dan bentuk hukuman fizikal lain boleh meningkatkan risiko kanak-kanak mengalami kecederaan, tetapi ramai ibu bapa nampaknya tidak mengendahkannya.
Menurut Sandra Graham-Bermann, PhD, seorang profesor psikologi dan pengarah Makmal Keganasan dan Trauma Kanak-kanak Universiti Michigan berkata,
“Ia adalah kawasan yang sangat kontroversi walaupun penyelidikan mengenai pukul anak secara konsisten boleh menyebabkan kesan negatif terhadap kanak-kanak. Ibu ayah yang kecewa cenderung memukul anak. Mungkin mereka tidak nampak ada pilihan lain.”
Bagaimanapun, menurut Alan Kazdin, PhD, seorang profesor psikologi di Universiti Yale dan ketua Pusat Keibubapaan Yale dan Klinik Tingkah Laku Kanak-kanak, pukulan adalah tidak berkesan mendisiplinkan mereka dan menegaskan bahawa:
“Anda tidak boleh menghukum tingkah laku tertentu yang anda tidak mahu. Mengikut kajian, hukuman dera tidak perlu. Kami mendakwa bahawa ini adalah idea yang mengerikan yang tidak berkesan.”
Bolehkah Pukul Anak Dalam Islam?
Menurut pendakwah terkenal, Ustaz Azhar Idurs, jika kanak-kanak belum mumaiyiz iaitu tidak dapat membezakan sesuatu yang baik dan buruk, dan mereka melakukan kesalahan, ibu ayah atau orang lain tidak boleh memukulnya.
”Hal ini kerana memukul anak kecil tidak memberi sebarang faedah kepadanya, memandangkan usianya itu dan keadaan yang masih kecil tidak dapat mengerti dan mengambil pelajaran kenapa mereka dipukul,” jelasnya dikongsikan menerusi Instagram.
Adapun bagi kanak-kanak yang telah mumaiyiz pula, Ustaz Azhar Idrus menjelaskan, dibolehkan untuk memukul mereka jika melakukan kesalahan apabila tindakan itu memberi faedah kepada mereka.
Kesan Pukul Anak
Anda sudah biasa memukul anak jika mereka nakal? Tak kisahlah pukul gaya mana pun. Mungkin dengan menampar atau memukul punggung mereka. Tapi tahukah anda tentang kesan memukul anak ini?
Sebenarnya, memukul anak selalu dijadikan pilihan utama buat ibu bapa di Malaysia. Kita di sini diajar untuk mendidik anak dengan disiplin yang ketat.
Akan tapi, memukul mendatangkan lebih banyak keburukan berbanding kebaikan! Kesan memukul anak termasuklah trauma, anak membesar jadi ganas dan yang lebih buruk, anak bakal memukul anak mereka juga kelak!
Anda pasti tidak mahu jadi begitu, kan? Jadi, mari semak apa 5 kesan memukul anak dari sudut negatif, agar anda boleh mempertimbangkan untuk berhenti memukul anak sekarang:
1. Kesan memukul anak: tradisi kekerasan berulang
Masa kecil adalah masa untuk kanak-kanak meniru perbuatan orang dewasa. Kalau anda sudah terbiasa memukul anak, jangan hairan jika mereka akan memukul adik mereka pula.
Apabila ibu bapa kerap memukul anak, anak akan anggap “kekerasan” boleh dibuat untuk mendapatkan sesuatu. Maka mereka akan berperangai agresif.
Selepas itu, mereka akan mula agresif pada teman sebaya dan apabila dewasa, mereka akan jadi orang tua yang suka memukul anak.
Selain dari pukulan, kekerasan verbal seperti ugutan, cacian dan teriakan juga dianggap sebagai kekerasan.
2. Kesan memukul anak: merendahkan nilai diri anak
Semasa kecil, anak memahami tentang harga diri dari pandangan orang tentang dirinya. Jika anak kerap dipukul, mereka akan menganggap diri mereka ini tidak disayangi dan tidak dihargai.
Kekerasan akan membuatkan anak menyoal sama ada ibu bapa betul-betul menyayangi mereka atau tidak.
Sekejap anda menyayangi mereka, manakala sekejap lagi anda memaki-hamun dan mencerca mereka. Ini menimbulkan kekeliruan dalam nilai diri anak.
3. Memukul tidak membuatkan anak jadi berdisiplin
Menjadikan pukulan sebagai hukuman untuk mendisiplinkan anak sebenarnya tidak mengubah apa-apa pun. Sebaliknya, anda sedang menggalakkan mereka untuk membantah.
Seperti perumpamaan “semakin dilarang semakin dibuat“, itulah yang akan terjadi pada anak.
Sebenarnya, ibu bapa perlu bijak untuk membuatkan anak patuh. Nak buat anak patuh bukan bergantung pada kekerasan saja.
Prinsip untuk mendisiplinkan anak yang betul adalah dengan memberitahu mereka yang perbuatan mereka itu salah. Apabila anak tahu yang mana perbuatan salah dan betul, mereka akan melakukan benda betul.
4. Memukul buat anak makin marah lalu membenci ibu bapa
Anak kecil masih belum berfikiran rasional sama seperti orang dewasa. Ibu bapa fikir pukulan adalah hukuman untuk anak.
Tapi anak pula menganggap hukuman itu sebagai satu bentuk ketidakadilan, penghinaan dan rasa tidak dihargai.
Maka anak pun mula menyimpan rasa marah dalam hati mereka. Mereka juga akan menjauhkan diri dari si pemukul. Jika perbuatan memukul ini berterusan, jangan terkejut jika anak mula membenci ibu bapa.
5. Kesan memukul anak dalam jangka masa panjang
Beberapa kajian telah dilakukan untuk mengetahui apa kesan memukul anak dalam jangka masa panjang. Hasil kajian akan mengejutkan anda!
Anak yang biasa dipukul biasanya akan:
- menjadi orang yang egois dan anti sosial. Mereka akan menggunakan kekerasan untuk menyampaikan perasaan mereka
- mendapat gangguan psikologi jika jarang dipuji.
- kanak-kanak yang pernah dipukul akan memilih untuk memukul anak mereka juga kelak
- lebih agresif dengan orang lain
- lebih agresif pada pasangan 4 kali lebih tinggi berbanding individu yang tidak dipukul ibu bapa
- menjadi penjenayah dan melakukan kekerasan berlebihan
Normalkah Jika Rasa Bersalah Selepas Pukul Anak?
Rasa bersalah selepas pukul kanak-kanak adalah tindak balas emosi yang biasa. Adalah penting untuk diingat bahawa pukulan fizikal bukanlah cara yang berkesan atau sihat untuk mendidik kanak-kanak, dan boleh memberi kesan negatif jangka panjang kepada perkembangan mereka.
Jika anda berasa bersalah selepas pukul anak, lakukan beberapa perkara berikut:
- Tenangkan Diri: Jangan biarkan emosi menguasai diri. Tarik nafas dalam-dalam dan tenangkan diri anda sebelum bercakap atau berinteraksi lebih jauh dengan anak.
- Refleksi Kendiri: Nilaikan mengapa anda merasakan keperluan untuk mengambil tindakan fizikal. Adakah ia disebabkan oleh tekanan, keletihan, kekecewaan, atau beban berlebihan? Memahami pencetus boleh membantu anda menangani masalah masa depan.
- Minta Maaf: Jika boleh dan sesuai, minta maaf kepada anak. Jelaskan bahawa tindakan itu tidak sesuai dan anda berasa menyesal.
- Dapatkan Bantuan: Jika anda merasa sukar untuk mengawal emosi anda atau sukar untuk mendidik anak anda, pertimbangkan untuk mendapatkan bantuan daripada profesional, seperti kaunselor keluarga atau ahli psikologi kanak-kanak.
- Kepentingan Komunikasi: Bercakap dengan anak anda tentang tingkah laku mereka dan mengapa ia tidak boleh diterima. Bincangkan cara yang lebih baik untuk meluahkan emosi dan menyelesaikan konflik.
Cara Pukul Anak Dalam Islam
Menjadi satu tanggungjawab dan kewajipan ke atas setiap ibubapa yang beragama Islam untuk mendidik anak-anak mereka. Pendidikan kepada anak-anak itu berlaku dalam erti kata menyuruh ke arah kebaikan dan melarang daripada melakukan keburukan.
Di antara contoh nas yang memerintahkan kepada kedua ibubapa supaya memberikan didikan kepada anak-anak mereka adalah berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin ‘Amru bin Al- ‘Ash R.anh bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
مُرُوا أَوْلاَدَكُمْ بِالصَّلاَةِ وَهُمْ أَبْنَاءُ سَبْعِ سِنِينَ وَاضْرِبُوهُمْ عَلَيْهَا وَهُمْ أَبْنَاءُ عَشْرِ سِنِينَ وَفَرِّقُوا بَيْنَهُمْ فِي الْمَضَاجِعِ
Maksudnya: Perintahkanlah kepada anak-anak kamu untuk mengerjakan solat semasa mereka berumur tujuh tahun. Dan pukullah mereka untuk sekiranya mereka solat ketika mereka berumur sepuluh tahun dan asingkanlah mereka daripada tempat tidur kamu.
Riwayat Abu Daud (495)
Di dalam hadis di atas, perintah daripada syarak adalah ditujukan kepada ibubapa untuk memberi didikan kepada anak-anak mereka terutamanya dalam melaksanakan ibadah solat. Zahir daripada hadis di atas adalah, kedua ibubapa boleh untuk memukul anak-anak mereka sekiranya anak-anak itu meninggalkan solat semasa berumur sepuluh tahun.
Perkara paling asas yang perlu kita fahami adalah, konsep merotan dan pukulan kepada anak-anak dalam Islam adalah lebih kepada proses pendidikan dan membentuk adab, dan bukannya bersifat menjatuhkan hukuman.
Justeru, syarak meletakkan beberapa dhawabit (kriteria) dalam menjalankan kedua-dua proses tersebut. Kami ringkaskannya seperti berikut:
1. Dalam merotan anak-anak, sebatan tidak boleh dilakukan melebihi 10 kali. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abi Burdah al-Ansari R.anh bahawa Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: Tidak disebat seseorang itu melebihi 10 kali sebatan kecuali pada (hukuman) had daripada hudud-hudud Allah SWT [Riwayat al-Bukhari]
2. Rotan pula hendaklah dengan niat untuk mendidik anak-anak serta membentuk peribadi mulia pada diri mereka dan bukannya untuk menghukum dan mencederakan mereka.
3. Berkenaan dengan memukul pula, ibu bapa dilarang untuk memukul ke bahagian muka anak-anak. Ini kerana, terdapat larangan daripada Nabi SAW dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah anh bahawa baginda bersabda:
Maksudnya: Apabila salah seorang daripada kamu bergaduh maka hendaklah dia menjauhi (dari memukul) muka. [Riwayat Muslim]
Hal yang demikian itu kerana, muka seseorang itu adalah tempat yang lembut dan menghimpunkan keseluruhan keindahan. Bahagian anggota padanya juga lembut dan boleh rosak apabila dipukul.
4. Memukul juga tidak boleh menyebabkan kerosakan dan kemudaratan pada tubuh badan anak-anak. Ini sebagaimana yang kami nyatakan, tujuan dipukul adalah bersifat ta’dibi (memberi pendidikan) dan bukannya ta’qibi (memberi hukuman dan seksaan).
Cara Mendisiplinkan Tanpa Perlu Pukul Anak
Mendidik anak tanpa perlu menggunakan kekerasan fizikal adalah pendekatan yang lebih berkesan dan positif. Berikut adalah beberapa cara untuk mendisiplinkan kanak-kanak tanpa memerlukan tindakan fizikal:
- Komunikasi Terbuka: Galakkan kanak-kanak bercakap dan mendengar dengan penuh perhatian. Bincangkan perasaan mereka dan dorong mereka untuk berkongsi fikiran dan idea.
- Peraturan dan Sekatan: Tetapkan peraturan dan sempadan yang jelas. Terangkan akibat melanggar peraturan, tetapi juga memberi ganjaran kepada tingkah laku positif.
- Pengukuhan Positif: Beri pujian dan ganjaran untuk tingkah laku yang diingini. Fokus pada peneguhan positif untuk memotivasikan kanak-kanak melakukan perkara yang baik.
- Model Tingkah Laku Positif: Jadilah contoh positif dalam tingkah laku anda dan cara anda bertindak balas terhadap tekanan atau kekecewaan. Kanak-kanak cenderung untuk meniru tingkah laku orang dewasa di sekeliling mereka.
- Menyediakan Pilihan: Beri kanak-kanak pilihan untuk memberi mereka rasa kawalan. Contohnya, “Adakah anda mahu membersihkan bilik anda sekarang atau selepas makan malam?”
- Perbincangan dan Rundingan: Bincangkan keputusan dengan anak anda dan berikan mereka peluang untuk memberikan input. Gunakan pendekatan demokratik untuk membuat keputusan yang bersesuaian dengan tahap perkembangan mereka.
- Memberi Penjelasan dan Kefahaman: Terangkan sebab di sebalik peraturan dan sekatan. Bantu kanak-kanak memahami konsep seperti tanggungjawab dan akibat.
- Libatkan Kanak-kanak dalam Penyelesaian Masalah: Galakkan kanak-kanak mencari penyelesaian bersama apabila berlaku konflik. Ini boleh membantu mereka berasa bertanggungjawab terhadap tingkah laku mereka.
- Berikan Sokongan dan Kasih Sayang: Pastikan anak-anak anda tahu bahawa anda sentiasa menyokong dan menyayangi mereka. Hubungan yang kukuh dan positif boleh membantu kanak-kanak memahami peraturan dan sempadan dengan lebih baik.
Mendidik anak memerlukan kesabaran dan konsistensi. Jika anda menghadapi masalah atau memerlukan bantuan tambahan, pertimbangkan untuk berunding dengan profesional seperti ahli psikologi kanak-kanak atau kaunselor keluarga.
Semoga artikel ini bermanfaat.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman The Asianparent Malaysia
Baca juga: Langkah Keselamatan Anak Di Luar Rumah, Ibu Ayah Ajarkan Mereka Tentang Stranger Danger
Baca juga: Bila Waktu Sesuai Hantar Anak Ke Taska/Daycare? Panduan Lengkap & Tips Buat Ibu Ayah Kali Pertama
Baca juga: Dispraksia Pada Kanak-Kanak: Punca Dyspraxia, Gejala Dispraxia Dan Rawatan Yang Berkesan