Baru-baru ini, telah tular video rakaman seorang kanak-kanak kecil yang dikurung dalam lokar. Ia telah mencetuskan rasa marah di kalangan rakyat negara China.
Video yang dirakam di sebuah rumah mandian awam itu menunjukkan seorang pekerja sedang membuka lokar dan seorang ibu mengeluarkan anaknya yang sedang menangis dari lokar kayu tersebut.
Anda boleh tonton video tersebut di bawah ini:
Ibu Bapa Yang Pemalas
Menurut laporan laman web China Kan Kan News, pasangan suami isteri itu telah meninggalkan anak mereka di dalam lokar kerana malas untuk menjaganya ketika mereka pergi mandi.
Pekerja yang membantu membuka lokar itu untuk pasangan tersebut nampak terkejut apabila melihat ada seorang kanak-kanak di dalam lokar kayu terbabit.
Setakat ini belum ada laporan lanjut tentang berapa lama kanak-kanak itu telah dikurung dan sama ada kanak-kanak itu kanak-kanak lelaki atau perempuan.
Walau bagaimanapun, menurut laporan itu, kanak-kanak tersebut tidak menunjukkan sebarang gejala-gejala lemas.
Pendapat Netizen Yang Berang
Ramai telah mencaci pasangan tersebut di Weibo, dengan mengatakan perbuatan itu sebagai satu perbuatan cuai, mementingkan diri sendiri dan tidak bertanggungjawab.
Masakan tidak – takkan anda sanggup mengurung anak anda dalam lokar, kemudian anda bersenang-lenang pergi mandi dengan seronok?
Seorang netizen berkata: “Anak itu kelihatan tidak berdaya ketika dikeluarkan. Bayangkan perasaan kanak-kanak itu selepas ditinggalkan dalam ruang yang gelap dan kecil tanpa kedua-dua ibu bapanya.”
Seorang lagi netizen mengecam tindakan ibu bapa terbabit dengan berkata: “Tergamak betul ibu bapa dia berlaku cuai. Kanak-kanak bukanlah objek. Kalau dah susah dan malas sangat, jangan pergi mandi air! “
Ramai juga yang bimbang kanak-kanak itu mungkin akan mengalami klaustrofobia akibat pengalaman yang traumatik ini.
Baca juga:
Anak Tak Dengar Cakap Kerana Ibu Bapa Guna 8 Cara Disiplin Yang Salah
Trauma Klaustrofobia
Klaustrofobia adalah sebuah keadaan psikologi yang menyebabkan kebimbangan atau ketakutan apabila di tempat atau ruangan yang tertutup dan sempit.
Perasaan takut adalah perkara yang biasa apabila terdapat ancaman benar, tetapi orang yang mengalami klaustrofobia boleh menjadi takut tanpa sebab.
Klaustrofobia boleh disebabkan oleh peristiwa traumatik yang dialami semasa kanak-kanak contohnya:
- Telah terperangkap atau dikurung di ruang yang kecil
- Telah dibuli atau didera
- Mempunyai ibu bapa dengan klaustrofobia
Tetapi ia adalah agak mencabar untuk hidup dengan keadaan ini kerena terdapat banyak kegiatan harian yang boleh mencetuskan serangan panik seperti:
- Lif
- Terowong
- MRT, LRT
- Pintu berpusing
- Tandas awam
- Mesin pencuci kereta
- Pesawat
Beserta dengan rasa takut yang luar biasa, serangan panik juga boleh menyebabkan gejala fizikal, seperti:
- Berpeluh
- Menggeletar
- Panas atau menggigil
- Sesak nafas atau sukar bernafas
- Rasa tercekik
- Sakit dada atau rasa sesak di dada
- Mual
- Sakit kepala dan pening
- Berasa lemah
Walaupun klaustrofobia boleh dirawat dengan menjalankan terapi atau memakan ubat, sokongan dari keluarga dan teman-teman sangat penting kerana rawatan mengambil masa yang lama.
Kita kurang pasti kalau pasangan cina itu telah mengurung anak mereka atas sebab-sebab lain, tetapi jika kanak-kanak itu dikurung disebab melakukan kesalahan, ini bukan caranya.
Ya, memang benar kanak-kanak itu mungkin tidak akan engkar lagi, tetapi fikirkan risiko kesan jangka panjang kesihatan psikologinya.
Sumber: Daily Mail, Independent, NHS
Baca juga:
Kesilapan Mendisiplin Anak Ibu Bapa Sering Lakukan, No 2 Paling Buang Tenaga Ya!