Pembentukan disiplin anak di rumah harus menjadi tanggungjawab utama ibu bapa. Jika anda mengabaikan disiplin ini, anak-anak akan membesar tanpa panduan yang betul dan sekaligus menyebabkan mereka ‘naik lemak’ dan kurang berakhlak.
Ya, semua ibu bapa menyayangi anak-anak mereka dan ingin berikan anak yang terbaik sahaja namun jika anak dibiarkan manja keterlaluan, mereka akan berani untuk memijak kepala anda. Setelah ini terjadi, anda akan dapati untuk sukar anda mengawal mereka lagi-lagi apabila mereka menginja usia remaja.
Oleh itu, cara ibu bapa membentuk disiplin anak mereka adalah sangat penting. Namun ada beberapa cara disiplin di rumah yang salah yang sering ibu bapa lakukan. Kami di theAsianparent akan ujarkan satu per satu.
8 Cara Disiplin Anak di Rumah Yang Salah & Tidak Patut Dilakukan
#1 Menengking anak
Jika anda selalu menengking anak, mereka berpotensi menjadi penakut, suka menyendiri dan tidak terbuka dalam pergaulan bersama orang lain atau masyarakat.
Anak juga akan meniru sifat yang sama; suka menjerit-jerit dan berkelakuan kasar dalam pergaulannya. Mereka akan mengalami kesukaran untuk mengawal emosi mereka dan mudah marah.
#2 Elak ancaman kosong sebagai cara disiplin anak di rumah
Ancaman kosong tidak akan mengajar anak untuk menghadapi akibat daripada tindakan mereka. Sebahagian daripada mengajar anak untuk berdisiplin, anak perlu dihukum apabila melakukan kesalahan. Ancaman yang diberikan ibu bapa yang tidak pernah dilakukan hanya akan mengelirukan anak.
#3 Tidak satu kubu dengan pasangan
Kalau satu melarang, tetapi yang satu lagi membolehkan, ini akan menunjukkan anak bahawa ayah dan ibu tidak “sepakat”.
Lebih-lebih lagi, kalau ibubapa berdebat di depan anak mengenai kesalahan yang dilakukan. Ini hanya akan menyebabkan anak lebih suka berpihak kepada pihak yang “menguntungkan” dan sesuai dengan keinginannya.
#4 Gagal untuk menetapkan peraturan
Peraturan dan undang-undang yang anda ingin anak patuhi mesti jelas dan ditetapkan. Ini akan memudahkan anak untuk memahami apa yang dikehendaki darinya: apa yang boleh dilakukan dan apa yang tidak dapat dilakukan.
Tanpa peraturan dan struktur, anak tidak akan belajar cara kelakuan yang betul dan menguasai disiplin diri. Sebab tu disiplin anak di rumah harus ditekankan dan dipraktik selalu walaupun hati ibu lembut dan senang ditawan.
#5 Disiplin anak di rumah tidak menjadi dengan rasuah
Jangan mengajar anak untuk berkelakuan baik dengan pemberian ganjaran atau rasuah. Pujian dan hadiah memang boleh menggalakkan anak untuk berbuat baik, tetapi, jangan sampai anak anda menganggap bahawa dia akan menerima hadiah setiap kali dia berbuat baik.
#6 Membuat bandingan
Jangan sering kali membanding-bandingkan kebolehan ataupun kelemahan anak dengan orang lain contohnya, antara adik-beradik, anak jiran, saudara, sepupu, kawan sekelas atau sesiapa sahaja.
Memang perbandingan itu dilakukan dengan niat yang baik iaitu untuk mendorong anak dan memberi semangat kepada anak. Tetapi, sekiranya perbandingan itu dibuat antara adik-beradik, ini akan menanam perasaan cemburu dan iri hati.
Perbandingan yang dibuat dengan orang lain juga boleh menyebabkan anak mudah merasa rendah diri dan hilang kekuatan bersaing.
#7 Mengalah apabila anak merengek
sumber: drprem.com
-
Jangan berikan perhatian istimewa ketika anak merengek.
-
Jangan penuhi permintaannya sehingga anak menyedari bahawa cara yang telah dilakukan itu tidak betul.
- Sebaliknya, ajak anak untuk berkomunikasi dengan baik. Misalnya, “Kalau merengek macam ni.. ibu tak tahu dan tidak faham apa yang kamu mahu. Cuba cakap baik-baik dengan ibu, beritahu elok-elok dengan ibu apa yang kamu mahu.”
-
Berikan kata-kata puji apabila anak berkelakuan baik dan tidak merengek, contohnya, “Ibu bangga kamu tidak merengek ketika ibu panggil makan tadi.”
#8 Menunjukkan contoh yang tidak baik
Ibu bapa yang menunjukkan perlakuan yang tidak baik, boleh mempengaruhi pemikiran dan kelakuan anak secara negatif.
Kelakuan seperti tidak suka mengikut peraturan, menghisap rokok, meminum minuman keras, menagih dadah, bersikap ganas, malas untuk bersenam dan sebagainya.
Cara terbaik untuk mengajar anak anda untuk menjadi baik adalah untuk menjalani kehidupan yang boleh diteladani. Kalau ibu bapa sendiri bukan role model yang baik, cara hidup anak mereka juga akan terjejas.
Semoga point-point di atas sedikit sebanyak dapat membantu kita semua mengesan kelemahan yang berlaku semasa mengajar anak cara berdisiplin.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Mesti Buat! Ini 5 Cara untuk Disiplinkan Anak Yang Belum Faham Peraturan
Baca juga: Disiplin Terlalu Tegas Dari Ibu Bapa Tak Berjaya Besarkan Anak Yang Bijak!
Baca juga: Kesilapan Biasa Dilakukan Oleh Ibu Ketika Mendisiplinkan Anak
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!