Layan Anak Anda Sebagaimana Nabi Melayan Kanak-Kanak

Share this article with other mums

Dengan melihat bagaimana Nabi Muhammad melayan kanak-kanak kecil, kita turut boleh mempraktikkannya dalam pergaulan hari-hari kita bersama anak-anak. Ia merupakan satu gaya keibubapaan yang hebat dan berkesan. Jom tengok cara nabi melayan kanak-kanak!

Dalam peribadi Nabi Muhammad, sesungguhnya, ada suri tauladan yang boleh kita ikuti dan amalkan dalam kehidupan seharian kita.

Sebagai seorang ibu dan ayah, kita perlu sentiasa melayan dan mendidik anak kita dengan cara yang terbaik, mengikut kemampuan masing-masing. Tetapi, pernahkah anda terfikir, bagaimana cara nabi melayan kanak-kanak?

Haa…di sini, ada sedikit perkongsian dari Dr. Hesham Al-Awadi, seorang profesor dari Universiti Kuwait dan penulis buku yang bertajuk “Muhammad: Bagaimana Baginda Boleh Membuatkan Anda Menjadi Seorang yang Luar Biasa.”

Cara Nabi Melayan Kanak-Kanak – Amalkannya Dengan Anak-Anak Anda

Jika kita membaca sirah nabi, akan ada banyak peristiwa bagaimana Nabi Muhammad berinteraksi dengan cucu serta kanak-kanak di sekelilingnya. Pelajarilah dan amalkannya ketika kita berinteraksi dengan anak-anak kita di rumah.

1.     Baginda meraikan hari lahir mereka

Dalam satu hadis, rasulullah bersabda, “Anak kecil itu dipertaruhkan dengan aqiqahnya, maka sembelihlah binatang untuknya pada hari ketujuh, cukur rambutnya, dan berikan nama kepadanya.”

Jadi, sebagai tanda menghargai dan dengan tujuan untuk menggembirakan anak-anak, kita juga patut meraikan hari istimewa mereka.

2.     Baginda mendoakan kanak-kanak

Anas bin Malik menceritakan: Ibuku pergi berjumpa rasulullah dan berkata, “Aku membawa Anas untuk berkhidmat kepadamu, wahai pesuruh Allah. Jadi doakanlah untuknya.”

Rasulullah bersabda, “Ya Allah, perbanyakkanlah harta dan keturunannya.”

Jadi, sebagai ibu atau ayah, kita juga patut memperbanyakkan doa untuk anak-anak kita dan berkata perkara yang baik-baik terhadap mereka.

3.     Baginda memberikan kata gelaran manja

Anas bin Malik berkata: “Aku ada seorang adik lelaki dan apabila rasulullah datang ke rumah kami, dia akan memanggilnya Abu Umair.”

islamic parenting

Source: Muslimmatters.org

Apabila kita memanggil anak kita dengan gelaran manja, ia dapat merapatkan hubungan antara anak dan ibu ayah.

4.     Baginda bersikap jujur dengan kanak-kanak

Ada satu hadis yang menceritakan bagaimana rasulullah ternampak seorang ibu memanggil anaknya dan berkata: “Mari ke sini, ibu akan memberimu sesuatu.”

Rasulullah lantas bertanya: “Apakah yang kamu ingin berikan kepada anakmu?”

“Saya bercadang untuk memberikannya kurma.” Maka, rasulullah berkata: “Jika kamu tidak memberikannya, ia akan direkod sebagai penipuan.

Lihat? Amat penting untuk kita bercakap jujur dengan anak kita. Elakkan daripada memberikan janji palsu atau bergurau dengan menipu. Kita akan dipertanggungjawabkan ke atasnya!

5.     Baginda mendukung anak kecil di bahunya

Satu hadis ada menceritakan: “Aku ternampak Nabi mendukung Al-Hasan (cucunya) di atas bahunya dan berkata: ‘Ya Allah, aku menyayanginya, maka sayangilah dia!‘”

Ia merupakan satu tanda sayang dan belas kasihan pada kanak-kanak. Jadi, selepas ini, apabila anak anda meminta untuk didukung, penuhilah permintaannya.

Niatkan ia sebagai mengikut sunnah dan mencontohi adab nabi pada kanak-kanak – pasti akan ada pahala untuk anda!

6.     Baginda memberi perhatian kepada kanak-kanak

Rasulullah akan memberikan layanan yang sepenuhnya kepada sesiapa sahaja, walaupun kanak-kanak. Ada satu ketika, baginda sedang menyampaikan khutbah dan cucunya datang kepadanya; dia berjalan dan terjatuh.

muslim parenting style

Source: Babies-cute.com

Baginda lantas turun dari mimbar, mengangkat dan meletakkan si kecil di hadapannya.

Ibu bapa hari ini sepatutnya mengambil contoh dari sikap indah dan cara nabi melayan kanak-kanak ini. Letakkan ke tepi smartphone anda dan berikan perhatian kepada amanah anda – anak-anak!

7.     Baginda menghormati perasaan si kecil

Rasulullah juga amat menghormati perasaan kanak-kanak. Baginda bersabda: “Seseorang itu tidak patut duduk di antara seorang lelaki dan anaknya.”

Ia merupakan satu tanda hormat kepada si anak. Walaupun dia kecil, kita masih perlu mengambil kira perasaannya.

Contohi sikap ini dan hormati perasaan anak-anak kita serta kanak-kanak lain.

8.     Mengiktiraf keinginan kanak-kanak untuk bermain

Walaupun rasulullah merupakan seorang yang hebat – seorang utusan Allah, pemimpin kerajaan dan tentera – baginda masih mengambil kira perkara-perkara yang ramai antara kita anggap sebagai tidak penting.

Sebagai contohnya, baginda mengiktiraf naluri semulajadi kanak-kanak yang suka bermain. Seorang anak kecil, Umair, di zamannya mempunyai anak panah dan Siti Aishah juga mempunyai anak patung.

Jadi, sebagai ibu bapa, kita perlu berlapang dada. Izinkan anak kita untuk mempunyai permainan dan bermainlah dengannya.

9.     Baginda tidak menyalah atau merendahkan maruah kanak-Kanak

Apabila Nabi Muhammad bercakap-cakap dengan anak kecil, baginda tidak akan menggunakan nada yang kasar. Jika si kecil melakukan kesilapan, baginda tidak akan menyalahkannya atau merendahkan maruah si kecil itu.

muslim parenting

Source: Deviantart.com

Anas bin Malik berkata: “Aku berkhidmat kepada nabi selama 10 tahun dan baginda tidak pernah sekalipun berkata ‘ Ahh’ kepada aku dan tidak pernah menyalahkan aku dengan berkata ‘Mengapa kamu buat itu dan ini?‘, atau, ‘kenapa kau tidak membuat itu dan ini?’.”

Kita, sebagai ibu bapa, perlu memerhati kata-kata kita. Didikan itu perlu dilakukan secara berhemah, dan bukannya dengan nada yang merendah-rendahkan anak kita.

10.  Baginda memberikan hadiah kepada anak kecil

Apabila baginda menerima hadiah buahan-buahan di Madinah, baginda akan bersabda: “Ya Allah, berkatilah kami di dalam bandar kami ini dan di dalam buah-buahan kami”.

Baginda kemudiannya akan memberikan buah tersebut kepada anak yang paling kecil yang berada di situ.

Apa yang kita boleh amalkan dari cerita ini? Jadikan ia habit untuk memberikan hadiah, tidak kira sama ada kecil atau besar, kepada anak-anak kita.

Tujuannya bukanlah untuk melimpahinya dengan kemewahan, tetapi lebih kepada menggembirakan hati si kecil itu!

Gaya Keibubapaan Seperti Mana Cara Nabi Melayan Kanak-Kanak

Semoga kita semua dapat meniru gaya keibubapaan yang hebat seperti mana yang ditunjukkan oleh nabi kita, Nabi Muhammad, dalam layanannya terhadap kanak-kanak di sekelilingnya!

Anak itu amanah dari Allah. Peliharalah amanah ini dan didiklah mereka sebaiknya supaya mereka dapat membesar menjadi insan yang soleh, gembira dan berguna.

Bahasa Melayu Gaya Hidup Keibubapaan Parenting tips Pendapat blogger