8 mainan berbahaya yang harus dijauhkan daripada anak anda!

Tahukah anda yang 8 mainan ini selalu dimain oleh anak? Sedangkan ia amat berbahaya untuk mereka!

Memilih mainan yang sesuai untuk anak adalah perkara yang penting untuk mengelak dari tersalah beli mainan anak yang berbahaya. Mainan yang dibeli untuk anak haruslah sesuai buat umur mereka.

Satu lagi, ibu bapa juga perlu tahu tentang bahayanya membiarkan anak bermain dengan mainan plastik yang sangat lama.

Sudah tentu pengeluar mainan kanak-kanak akan cuba memastikan produk mereka selamat untuk pengguna, tetapi kemalangan boleh berlaku pada bila-bila masa. Jadi ibu bapa, jom semak apa 8 mainan anak yang berbahaya ini agar anda tidak memberinya pada anak!

8 mainan anak yang berbahaya dan patut dielak

1. Mainan dengan reben dan tali yang panjang

Salah satu mainan anak yang berbahaya dan sering dianggap tidak berbahaya adalah mainan bertali

Pada tahun 2016, terdapat lebih dari 174,000 kecederaan kanak-kanak di bawah umur 15 tahun yang berkaitan dengan mainan anak yang berbahaya di Amerika Syarikat.

Kemalangan yang paling biasa berlaku adalah anak tercekik dan lemas akibat mainan yang mempunyai tali. Di Kanada, belon lateks adalah punca utama kanak-kanak tercekik, yang tidak berkaitan dengan makanan.

Jadi ibu bapa perlu berhati-hati. Biarpun teddy bear itu kelihatan comel dan tidak berbahaya, reben atau tali yang diikat pada leher teddy bear itu masih berpotensi untuk menyebabkan kanak-kanak itu tercekik.

2. Mainan yang ada tepi-tepi yang tajam

Selalu periksa mainan untuk bahagian-bahagian yang longgar, dan buang mainan anak yang berbahaya

Antara mainan yang senang pecah adalah mainan yang diperbuat dari kaca atau plastik yang senang rapuh. Mainan kayu dan logam yang tidak berkualiti serta mainan yang mempunyai pepenjuru yang tajam juga berpotensi untuk mencederakan kanak-kanak!

Satu contoh mainan anak yang berbahaya ialah mainan dinosaur yang mempunyai bentuk badan yang tajam seperti ekornya atau tangannya.

Anak patung lama yang mempunyai pin dan barang kemas juga boleh tertanggal dan mencederakan anak. 

Pastikan ibu bapa selalu memeriksa mainan anak, biarpun yang lama mahupun yang baru supaya tiada bahagian-bahagian yang longgar. Jika anda kurang pasti dengan mainan anak, mungkin sudah tiba masanya membuang mainan itu. 

3. Mainan yang ada bahagian-bahagian kecil

Walaupun kebanyakan mainan disertakan dengan label amaran mengikut umur yang mengingatkan bahayanya anak tercekik, ibu bapa masih perlu berhati-hati. Biarpun mainan itu sesuai dengan umur anak, ia mungkin mempunyai bahagian-bahagian yang boleh pecah.

Bahagian-bahagian ini boleh masuk ke dalam hidung, telinga atau tekak kanak-kanak.

Apabila membeli mainan untuk anak berumur 4 tahun ke bawah, pilih mainan yang bersaiz BESAR. Mainan yang terlalu kecil atau bersaiz sama dengan mulut kanak-kanak akan meningkatkan risiko anak tercekik.

4. Mainan yang mengeluarkan bunyi kuat

Mainan anak yang berbahaya adalah mainan yang mempunyai tahap bunyi yang terlalu kuat.

Walaupun mainan jenis ini tidak akan menyebabkan anak tercekik, tetapi ia mungkin boleh menjejaskan pendengaran anak. Pastikan ibu bapa cuba dulu mainan anak untuk memastikan ia pada tahap bunyi yang selamat.

Peringatan: Sistem auditori anak anda masih berkembang, jadi telinga mereka lebih sensitif terhadap bunyi bising berbanding telinga orang besar.

Mainan anak yang berbahaya seperti bunyi sesetengah pistol boleh mencederakan gegendang telinga!  

5. Mainan yang dapat ditunggang dan trampolin

Sesetengah mainan tidak sesuai untuk kanak-kanak kecil dengan kordinasi tubuh badan yang tidak berapa baik

Mainan yang dapat ditunggang seperti ride-on scooter bukan mainan yang sesuai untuk kanak-kanak yang lebih muda. Ini kerana koordinasi tubuh badan mereka masih belum berapa baik dan ini boleh meningkatkan risiko kecederaan.

Trampolin juga seringkali dikaitkan dengan kecederaan kanak-kanak.

Jika ibu bapa masih membiarkan anak bermain dengan skuter atau trampolin, pastikan anda sentiasa mengawasi dan pegang anak apabila mereka sedang bermain.

6. Mainan tajam yang boleh ditembak

Walaupun busur dan anak panah, dart, serta mainan yang dapat dipanah atau ditembak memang menyeronokkan untuk kanak-kanak, ia adalah contoh mainan anak yang berbahaya! Bayangkan akibatnya jika anak panah terkena mata anak!

Jika anak suka sangat jadi watak Disney seperti Merida dari kartun Brave atau Hawkeye of the Avengers, adalah lebih selamat untuk membelikan anak panah dengan sedutan getah.

7. Mainan bermagnet

Jauhi magnet kuat dari anak dan tanggalkan magnet longgar pada mainan supaya ia tidak menjadi mainan anak yang berbahaya

Menurut Health Canada, mainan bermagnet sangat berbahaya untuk kanak-kanak terutamanya jika mereka tertelan magnet tersebut. Satu magnet boleh menarik magnet yang lain dan apabila ditelan, ini boleh menyebabkan dinding usus anak koyak!

Selain itu, magnet juga boleh membelitkan usus sehingga menyebabkan usus itu tersekat.

Pastikan ibu bapa buang magnet-magnet yang kuat di dalam rumah serta magnet longgar pada mainan anak. Jangan lupa untuk mengingatkan anak supaya tidak memasukkan magnet ke dalam mulut mereka.

8. Mainan dengan bateri kecil

Pada bulan Januari 2018, perkongsian seorang doktor di Twitter mengenai bahayanya bateri butang telah tular. Di Amerika Syarikat sebanyak 2,800 kanak-kanak telah dikejarkan ke hospital akibat tertelan bateri butang dengan tidak sengaja.

Pada tahun 2016 pula, seorang kanak-kanak kecil telah menelan bateri butang secara tidak sengaja dan bateri itu telah membakar sebuah lubang di paru-parunya. Tiada keraguan bahawa mainan yang menggunakan bateri butang adalah antara beberapa mainan anak yang berbahaya.

Ingat: Ibu bapa perlu sentiasa memantau anak-anak kecil apabila mereka sedang bermain dan elakkan dari membiarkan bermain dengan 8 mainan di atas. Biasakan diri dengan langkah-langkah pertolongan cemas jika anak tercekik dan hubungi 999 dengan segera. 

 

 

 

 

Sumber: Consumer Product Safety Commission (CSPC)World Against Toys Causing Harm (WATCH)INSIDER

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia

Baca juga:

Anak tercekik? Apa perlu saya buat?

 

Penulis

Rosanna Chio